UNIK torta painting dihasilkan Oh!MyPie.
UNIK torta painting dihasilkan Oh!MyPie.
Nurul Husna Mahmud


KERJA merata dan menyapu aising pada kek sudah dirasakan tugas remeh, inikan pula untuk melukis permukaan coklat yang menjadi lapisan atas pada biskut.

Apatah lagi karakter tekstur coklat yang mampu cair bila-bila masa sahaja, tugas melukis pada 'medium' itu pastinya mencabar.

Namun salah seorang pengasas Oh! MyPie, Nur Farahin Omar ini dilihat begitu tenang dari kerja-kerja melakar, mewarna sehinggalah kepada kemasan, semuanya tampak mudah.

Hakikatnya seperti artisan melakar dan melukis pada kanvas, kata gadis berusia 28 tahun itu, semuanya memerlukan pengetahuan, kemahiran dan minat yang mendalam.

"Konsep saya dengan rakan kongsi, Nur Shafa Suhaili Noor Azman, 27, menghasilkan produk bakeri yang enak dengan memiliki elemen visual menarik dan artistik.

"Ibaratnya kami mahu orang yang menikmati sajian pemanis mulut ini bermula dengan mata mereka dan kemudian barulah rasa.

"Jadi, pengalaman mereka menikmati sajian ini seperti satu perjalanan menghayati karya seni.

NUR SHAFA (kiri) dan Nur Farahin sering berbincang untuk hasilkan produk terbaik.
NUR SHAFA (kiri) dan Nur Farahin sering berbincang untuk hasilkan produk terbaik.

"Oleh kerana itu juga bukan sahaja tekstur dan rasa enak satu keutamaan, kami menitik beratkan persembahan serta visual supaya dapat menambat hati sesiapa saja yang menatapnya," katanya.

Tambah Nur Farahin, seawal produk pertama lagi elemen itu menjadi 'pengenalan'imej kepada setiap produk bakeri lain yang dihasilkan bersama Oh! My Pie.

"Torta Painting atau biskut dengan hiasan dilukis antara 'highlight' produk perniagaan kami kerana ia sesuai sebagai hadiah atau pemberian kepada orang istimewa atau dalam meraikan majlis tertentu.

"Mencabarnya mengenai torta atau 'torte' nama asalnya dipetik dari perkataan Perancis bermaksud biskut, diberi nafas estetika dengan 'topping' hiasan berupa lukisan yang diminta pelanggan.

"Setiap lukisan imejnya sentiasa berubah dan tidak sama. Saya perlu teliti keseluruhan dan kemudian sesuaikan dengan skala saiz biskut sama ada sembilan atau 25 keping.

MIRIP dengan hasil lukisan sebenar, The Great Wave Off Kanagawa.
MIRIP dengan hasil lukisan sebenar, The Great Wave Off Kanagawa.

"Kadang-kala gambar dikongsi pelanggan juga tidak sepadan dengan saiz dan terlalu rumit. Disebabkan minat dan sukakan seni, saya melihat ia cabaran perlu ditangani dalam menyiapkan tempahan pelanggan," katanya.

Beliau pernah menyiapkan sehingga 15 tempahan sehari ketika produk itu mula diperkenalkan pada September tahun lalu. Kini hanya mengehadkan tujuh hingga lapan tempahan sehari bagi memastikan kualiti visual serta produk lain dapat dikekalkan.

Sementara itu rakan kongsi dan juga teman baiknya, Nur Shafa Suhaili Noor Azman, menyifatkan maklum balas diterima setiap pelanggan menyatakan 'torta painting' suatu yang unik kerana memiliki nilai sentimental apabila turut menyertakan imej yang ditempah.

"Torta ini sebenarnya penambah baikan dan pengembangan idea daripada produk pertama kami iaitu pai. Cuma bezanya transformasi itu kepada biskut dengan isian pelbagai seperti coklat, karamel dan lain-lain."Topping atau hiasan atas adalah istimewa kerana kami menggunakan coklat putih premium sebagai pengganti kanvas dan catnya pula pewarna makanan.

"Cuma hasil kerja kami banyak cenderung kepada motif abstrak dan bunga. Pernah juga hasilkan potrait tetapi hanya satu imej ringkas kerana tiada kepakaran.

"Untuk sampai ke peringkat ini memang banyak prosesnya termasuk mengkaji kaedah terbaik termasuklah penggunaan bahan lain yang dapat membantu mengekalkan warna dan imej lukisan terbabit," katanya.

Proses itu mengambil masa seminggu hingga ke sebulan kerana perlu mengenal pasti bahan yang terbaik selain tidak menjejaskan tekstur dan rasa biskut.

Mengenai tempoh bagi menyiapkan torta painting, kata Nur Shafa itu bergantung kepada kesukaran lukisan ditempah pelanggan.

"Sebelum ini saya turun padang untuk bantu Nur Farahin melakukan kerja melukis ketika tempahan memuncak, kini saya fokus kepada kerja menghasilkan produk bakeri lain seperti kek dan makarun.

"Satu lukisan anggaran untuk lukis mengambil masa 15 minit hingga ke 45 minit bergantung tahap kesukaran gambar. Perlu sediakan biskut terlebih dahulu termasuk lapisan coklat pada permukaannya dan dibekukan. Kemudian barulah kerja melukis boleh dimulakan.

"Kalau coklat tidak beku dengan baik, cat akan tenggelam serta kerja melukis sukar dilakukan. Faktor persekitaran seperti suhu amat penting dalam menghasilkan produk bakeri kerana boleh memberi kesan terhadap tekstur selain rupa akhir," katanya.

Kata Nur Shafa, dia menzahirkan rasa syukur dengan sokongan dan penerimaan orang ramai terhadap produk itu apatah lagi, dia dan rakannya memulakan perniagaan bakeri sebaik berhenti kerja.

"Saya dan Nur Farahin ambil keputusan yang orang lain boleh kata ia kerja 'gila' iaitu berhenti kerja ketika pandemik.

"Ramai orang di luar susah mencari kerja, kami melakukan sebaliknya dan mengambil risiko mengorek simpanan untuk buka perniagaan bakeri.

"Alhamdulillah kami berada pada landasan betul dan rasa pengorbanan itu berbaloi. Kami lakukan sesuatu yang kami suka iaitu bakeri dan kongsikan dengan orang lain," katanya.

Selain itu, dia dan rakannya turut mahu berkongsi sisi unik seni menerusi penyediaan pada produk makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 7:00 AM