TOPI keledar ‘bertema’ yang dihasilkan melalui teknik airbrush.
TOPI keledar ‘bertema’ yang dihasilkan melalui teknik airbrush.
Nazdy Harun


MAMPU mengolah secara spontan sesebuah lukisan dengan teknik airbrush membolehkan seorang pemuda menjadikan kemahiran dimiliki itu sebagai punca rezeki.

Mohd Rozamil Mohd Yatim, 38, dari Kampung Raja Baran Chendering, dekat sini, berkata, dia berkecimpung dalam bidang airbrush sejak 18 tahun lalu.

Menurutnya, hasil kerjanya banyak diterjemahkan ke atas antaranya pada topi keledar, tangki, cover set motosikal selain badan kereta dan kepala lori.

Katanya, harga dikenakan pula mengikut reka bentuk dan cat yang ingin digunakan dan biasanya harga serendah RM1,000 sehingga RM6,000 dikenakan bergantung kepada kondisi yang diinginkan pemilik.

"Saya menggunakan cat akrilik, namun beza yang membuatkan sesebuah lukisan itu menjadi mahal terletak pada teknik yang digunakan.

"Kerja airbrush ini bukan satu kerja yang mudah kerana sedikit kesilapan akan mencacatkan permukaan yang dilukis dan kerja ini diibaratkan sekali jalan.

"Seboleh-bolehnya kesilapan mahu dielak sepenuhnya dan dengan kreativiti yang ada saya akan mengolah lukisan yang diinginkan pelanggan dengan sebaik mungkin.

"Boleh dikatakan mustahil untuk memadam kesilapan yang dilakukan kerana penggunaan cat sepenuhnya oleh itu sekiranya ada sedikit kesilapan, saya akan lakukan teknik olahan bagi memastikan ia kembali sempurna.

ROZAMIL melakukan kerja melukis menggunakan teknik airbrush pada topi keledar.
ROZAMIL melakukan kerja melukis menggunakan teknik airbrush pada topi keledar.

"Saya tidak menggunakan teknik menekap, sebaliknya melukis terus pada permukaan dengan menggunakan penyembur yang diisi dengan cat," katanya.

Menurutnya, buat masa ini dia memberi tumpuan menyiapkan reka bentuk 'bertema' pada topi keledar yang diminta pihak kilang.

Katanya, pengeluar topi keledar (kilang) menyerahkan 100 peratus tugas itu kepadanya termasuk idea dan reka bentuk sebelum diterjemahkan ke atas sebuah topi keledar.

Mohd Rozamil berkata, antara tema yang dihasilkan pada topi keledar antaranya RXZ Member, isu semasa seperti Palestin, tema kemerdekaan dan sebagainya.

Katanya, selain tema tertentu yang dipinta pihak kilang, mereka juga meminta dia menterjemahkan lukisan airbrush ini dengan menggambarkan suasana yang harmoni pada topi keledar.

"Biasanya topi keledar 'bertema' pengeluarannya terhad dan ia membuatkan sesebuah topi keledar itu mempunyai nilainya yang tersendiri.

"Tanggungjawab yang diberikan pihak kilang itu perlu dipikul sebaik-baiknya dan saya perlu berfikir bagaimana reka bentuk yang ingin dihasilkan sebelum mengolahnya," katanya.

ROZAMIL memilih cat sebelum melakukan kerja melukis menggunakan teknik airbrush.
ROZAMIL memilih cat sebelum melakukan kerja melukis menggunakan teknik airbrush.

Menurutnya, dengan kualiti cat yang digunakan biasanya lukisan airbrush yang dihasilkan pada permukaan kenderaan boleh bertahan melebihi 10 tahun dengan cara penjagaan yang betul.

Katanya, lukisan airbrush pada kenderaan kini menjadi pilihan berikutan semakin ramai individu yang inginkan kenderaan mereka mempunyai identiti tersendiri.

Beliau berkata, setiap pelukis airbrush memiliki 'air tangan' tersendiri dan permintaan bergantung kepada pemilik sesebuah kenderaan yang inginkan siapa pelukis pada kenderaan mereka.

Kata Mohd Rozamil, trend terkini pemilik kenderaan adalah adalah 'menconteng kenderaan' mereka dan ada yang inginkan anak-anak mereka mendedikasikan sebuah lukisan pada kereta ibu bapa mereka.

Mengulas mengenai permintaan, Mohd Rozamil berkata, selain mendapat tempahan dari seluruh negara, dia turut menerima tempahan terutama bagi reka bentuk dari negara Asean dan paling jauh, Amerika Syarikat.

Menurutnya, reka bentuk yang yang ditempah akan ditiru semula oleh pengilang bagi menghiasi produk mereka terutama berkaitan permotoran.

Katanya, tempoh untuk menyiapkan sesebuah tempahan lukisan airbrush bergantung pada 'mood' adakalanya satu hari pun boleh siap dan ada masanya hingga berlarutan tiga ke empat bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 6:30 AM