MELAKAR setiap rekaan sebelum merialisasikan dalam bentuk busana sebenar.
MELAKAR setiap rekaan sebelum merialisasikan dalam bentuk busana sebenar.
Hafiz Ithnin

Bagi pereka fesyen muda ini menghasilkan koleksi kapsul sentuhan peribadi dari proses awal sehingga akhir memberi kepuasan tersendiri.

Jika ada yang memilih untuk mencetak motif atau corak di atas kain, tetapi tidak kepada pemilik nama Huda-Najihah Zainudin, 23, ini yang memilih untuk melukis dan menjahit sulaman bagi mendapatkan kesan yang diinginkan ke atas rekaannya.

Huda-Najihah berkata, koleksi kapsulnya yang mendapat inspirasi dari gua di sekitar Perak terutama di Lenggong mempunyai keunikan tersendiri terutama dari segi tekstur batu gua itu sendiri.

Jelasnya, lebih tepat rekaan itu berinspirasikan satu karya seni pertama yang sudah lama dilupakan di dunia iaitu lukisan gua.

"Lukisan gua mempunyai banyak bentuk dan motif yang mempunyai pelbagai makna. Fokus utama lukisan gua yang di ambil adalah dari Perak iaitu di lembah Lenggong dan Gua Tambun, Ipoh.

"Di Lembah Lenggong, lukisan gua dilaporkan sejak 1879 lagi. Terdapat lebih kurang 400 lukisan arang dijumpai di lima gua di sekitar lembah itu," katanya.

HUDA melukis motif di atas kain.
HUDA melukis motif di atas kain.

Hasil kajian yang dilakukan Huda-Najihah, dia difahamkan lukisan arang itu dihasilkan Orang Asli Negrito yang dulu menetap di sana lebih 100 tahun.

"Di Gua Tambun pula, lukisan gua ditemui pada tahun 1959 oleh seorang pegawai tentera British, Lt. RL Rawlings yang menjalani latihan rutin.

"Usia sebenar lukisan itu agak kabur dengan kebanyakan anggaran meletakkan ia berusia antara 2,000 hingga 5,000 tahun. Pada tahun 2009, sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia, mengenal pasti bahawa terdapat lebih 600 elemen seni batu yang berbeza, mungkin menjadikan Gua Tambun tapak seni batu terbesar di Malaysia," katanya.

Tambahnya, secara umum, kebanyakan lukisan gua yang dijumpai dari kedua tempat itu mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu berbentuk figura manusia seperti orang lidi, beberapa jenis haiwan seperti rusa, tapir dan ikan serta corak-corak keagamaan zaman purba.

MENYIAPKAN model untuk sesi fotografi.
MENYIAPKAN model untuk sesi fotografi.

"Lukisan gua berkenaan diolah dan dijadikan hiasan dalam rekaan pakaian saya dengan melukis menggunakan cat kain , mengecop atas stensil dan teknik celup serta ikat mengikut bentuk motif lukisan gua itu.

"Untuk menaikkan lagi kecantikan hiasan itu saya juga menjahit sulam mesin mengikut bentuk motifnya. Koleksi pakaian ini diberi nama Paleolithic Rage," katanya.

Jelasnya, dia berharap koleksi kapsul itu dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keunikan lukisan gua itu dan memberi pengetahuan seni purba yang semakin dilupakan.

Menjelaskan lagi, konsep rekaannya adalah 'utilitarian streetwear' untuk musim 'Fall/Winter 2023.' Konsep itu lebih kepada pakaian kasual yang praktikal tetapi mempunyai ciri-ciri artistik tersendiri.

HUDA mengambil inspirasi gua sebagai rekaan koleksi kapsulnya.
HUDA mengambil inspirasi gua sebagai rekaan koleksi kapsulnya.

"Penggunaan poket kargo, 'drawstring' dan kain mesh antara ciri-ciri utama dalam rekaan saya. Melalui konsep ini, saya sudah menghasilkan tiga pakaian untuk koleksi fesyen yang diilhamkan ukisan gua di Perak.

"Motif-motif lukisan gua yang unik dan bervariasi ini diterapkan dalam rekaan dengan menggabungkan elemen moden.

"Bayangan rekaan saya diambil daripada gaya jalanan longgar dan digabungkan dengan elemen gua yang besar dan bertekstur.

"Pemilihan warna juga ada neutral dan rona alam yang sinonim dengan warna-warna dinding di gua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 10:23 AM