Nurul Husna Mahmud

SIAPA sangka di sebalik karakternya suka berseloka dan ceria, Perunding atau Jurulatih Bertauliah Pengurusan Kemarahan, Dr Norisham Abd Ghani, 56, ini sebenarnya memiliki reputasi yang 'digeruni.'

Sebelum bergelar kaunselor bertauliah, beliau terlebih dahulu mewarnai dunia pendidikan apabila menyambung pengajian dalam sijil iktisas pendidikan dalam subjek Bahasa Melayu dan Muzik di Kampus Perguruan Maktab Tengku Ibrahim, Johor Bahru pada awal era 90-an.

"Saya lahir dalam keluarga besar iaitu sembilan adik-beradik dan saya adalah anak bongsu. Ibu suri rumah dan bapa pula bekerja di jabatan serang di pelabuhan.

"Tugas bapa langsung tiada kaitan dengan anggota keselamatan sebaliknya lebih kepada kerja menunda kapal atau membawa kapal ke pelabuhan. Boleh dikatakan bapa saya kerjanya merata dan hanya pulang sekali-sekala.

"Dulu saya ini sering ditugaskan menjaga anak buah. Saya perasan perlakuan ketika itu sudah suka 'marah-marah' dan 'ringan tangan' mencubit mereka. Malah, anak buah saya sampai sekarang masih ingat betapa garangnya 'Maksu' mereka ini," katanya.

Beliau mengakui tiada niat lain, kecuali ingin mendisiplinkan anak buah atau anak didiknya hingga tidak menyedari perlakuan garang itu suatu yang buruk.

DR Norisham prihatin dan sedia menggunakan kemahiran dalam membantu individu yang mempunyai konflik.
DR Norisham prihatin dan sedia menggunakan kemahiran dalam membantu individu yang mempunyai konflik.

"Dulu merotan atau pendekatan hukuman fizikal bagi mendisiplinkan kanak-kanak boleh diterima masyarakat," katanya yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Kumpulan Ganda Teluk Intan, Perak dan Sekolah Kebangsaan Sri Serdang, Selangor.

Akhirnya beliau mengambil keputusan menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang bimbingan dan kaunseling pada 1999 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor berbeza dengan bidang pengajarannya sebelum itu dalam bahasa Melayu dan muzik.

Bidang kaunseling itu menjadi titik perubahan beliau mengenali kelemahan diri iaitu sifat pemarah yang menjadikan dirinya memiliki personaliti agresif dan garang.

"Sebenarnya sampai sekarang masih ada karakter itu, tetapi mula berkurang seiring peningkatan usia. Mungkin juga benar kata, semakin matang dan banyak pengalaman, semakin bijak menangani sebarang konflik termasuk masalah dalaman diri," katanya.

Mengenai pengalaman lucu di sebalik memiliki karakter garang itu, kata Dr Norisham, namanya kerap dijaja baik guru sehingga peringkat murid jika mereka mahu mengawal murid yang nakal.

"Sejarah berkhidmat lebih 15 tahun mengajar di beberapa sekolah, rekod hanya sekali pernah berdepan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan sikap saya yang terlalu tegas dengan murid ketika itu.

PERNAH dijemput stesen televisyen untuk berkongsi kemahiran dan kepakaran dengan umum.
PERNAH dijemput stesen televisyen untuk berkongsi kemahiran dan kepakaran dengan umum.

"Namun, ia dapat diselesaikan dengan baik apabila saya mendengar rungutan bapa murid terbabit. Setiap hari saya cuba menjadi lebih baik dan sebab itu saya cuba mendalami bidang pengendalian emosi marah dengan harapan dapat perbaiki diri.

"Itu juga mendorong saya untuk pergi lebih jauh dengan menyambung pengajian sehingga peringkat tertinggi iaitu doktor falsafah (PhD) dan mempelajari lebih banyak skil untuk bantu intervensi emosi atau personaliti marah," katanya.

Malah, sehingga kini beliau turut aktif mengikuti program profesional yang dapat dimanfaatkan untuk melahirkan lebih ramai jurulatih pengurusan marah.

"Saya menyasarkan sekurang-kurangnya tahun depan saya dapat bangunkan akademi yang dapat melatih juruterapi untuk kendalikan sesi atau modul bersesuaian bagi pengurusan marah.

"Lebih ramai kaunselor atau pakar psikologi memiliki kepakaran ini lebih banyak pihak dapat memanfaatkan kemahiran berkenaan. Pengamatan saya seperti di luar negara, sudah ada subsidi atau syarikat insurans yang membenarkan tuntutan bagi individu menghadiri sesi terapi pengurusan marah.

"Kalau boleh saya mahu wujudkan program sedemikian dan Malaysia boleh menjadi rujukan bagi negara rantau sebagai persatuan atau pusat pengurusan marah yang mempunyai sistem lengkap. Bermula dengan saringan sehingga kaedah terapi khusus bagi menguruskan emosi terbabit.

HUBUNGAN kekeluargaan Dr Norisham erat.
HUBUNGAN kekeluargaan Dr Norisham erat.

DR Norisham turut mengisi waktu kualiti melancong bersama keluarga.
DR Norisham turut mengisi waktu kualiti melancong bersama keluarga.

"Ia beroperasi seperti mana rawatan penyakit yang lain mempunyai institusi dan kaedah rawatan tersendiri," katanya.

Mengenai tokoh yang menjadi rujukan beliau dalam merealisasikan impian memiliki akademi dan pusat pengurusan kemarahan, kata

Dr Norisham kelibat 'wirawan' lapangan bidang kaunseling dan psikologi menjadi contoh buat dirinya.

"Dari dulu memang penggiat lapangan ilmu bimbingan dan kaunseling sehingga psikologi bergelut isu sama iaitu stigma masyarakat yang memandang sinis mengenai khidmat ini.

"Tokoh seperti Tan Sri Datuk Wira Dr Nordin Kardi, Prof Emeritus Datuk Dr Amir Awang dan Datuk Dr Halim Othman antara rujukan saya untuk terus menabur budi kepada masyarakat.

"Biarpun baru bersara daripada jawatan sebagai mantan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia, saya masih ligat dengan perancangan menubuhkan akademi tahun depan. Selain kerap menganjurkan program advokasi berkait dengan kesihatan mental dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 7:00 AM