REAKSI muka merah, genggaman tangan dan ketap bibir antara tanda jelas individu sedang marah.
REAKSI muka merah, genggaman tangan dan ketap bibir antara tanda jelas individu sedang marah.
Nurul Husna Mahmud


"Saya jarang jumpa sebarang program khusus dibangunkan untuk kendali emosi marah atau urus perasaan marah di negara ini.

"Sedangkan emosi marah ini menjadi punca bagi kebanyakan kes berkait dengan jenayah yang cukup serius dan sadis,"

kata Mantan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Norisham Abd Ghani.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam kajian kemarahan remaja dan pernah ditauliahkan dengan sijil profesional pengurusan kemarahan II oleh satu badan dunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, melihat masyarakat ketika ini memerlukan solusi saat bergelut dengan masalah itu terutama dalam situasi pandemik Covid-19.

Mudahnya untuk setiap orang berasa marah, tetapi kesukaran untuk memahami dan mengendali supaya emosi itu tidak 'mencederakan' orang sekeliling adalah sukar.

Kata beliau, masyarakat umum perlu tahu definisi marah itu adalah satu bentuk emosi yang dipelajari dan turut diiringi dengan emosi lain seperti kecewa, sedih dan sebagainya serta dirangsang sesuatu perkara atau keadaan.

"Normal bagi setiap individu untuk mengalami perasaan marah apabila ada sesuatu yang menyebabkan mereka kurang selesa atau provokasi.

"Apabila mereka marah akan ada lonjakan tenaga yang mana disusuli reaksi tertentu sama ada boleh dilihat menerusi fizikal, verbal atau pemikiran.

"Boleh jadi perilaku agresif seperti membaling barang itu satu yang nampak atau marah secara fizikal dan verbal yang mana menggunakan kata-kata kesat dengan tujuan menyakiti hati orang yang dimarahi.

MEMBUNUH biasanya insiden sadis yang berpunca daripada perasaan marah.
MEMBUNUH biasanya insiden sadis yang berpunca daripada perasaan marah.

"Paling akhir iaitu marah dalam fikiran adalah lebih merbahaya kerana dia tidak luahkan dan satu bentuk pembinasaan diri sendiri (self destructive) apabila dipendam.

"Sebenarnya ini boleh mendorong kepada tahap menyimpan dendam kesumat dan seterusnya membawa kepada perancangan untuk pembalasan kepada orang yang menjadi punca," katanya.

Kategori atau bentuk ekspresif emosi marah ini juga dibezakan menerusi boleh dilihat iaitu luaran dan tidak boleh dilihat iaitu dalaman.

Merujuk perbezaan antara ciri-ciri kemarahan lelaki dan perempuan, kata Dr Norisham, kajian terkini mendapati tiada perbezaan membabitkan kemarahan wanita serta lelaki.

"Jika 15 tahun dahulu, kajian kemarahan membabitkan lelaki dan perempuan banyak bezanya.

"Tetapi, menerusi pembacaan dan rujukan dengan jurnal berkaitan mendapati tiada lagi perbezaan ketara membabitkan ciri-ciri atau skala kemarahan lelaki dan perempuan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

MARAH juga menjadi punca perceraian atau masalah rumah tangga.
MARAH juga menjadi punca perceraian atau masalah rumah tangga.

"Kalau adapun mungkin disebabkan faktor peranan jantina itu dalam sosio masyarakat seperti kedudukan dalam keluarga. Sebagai contoh ibu dikatakan suka marah setiap hari dengan cara verbal kerana berurusan dengan isu remeh anak-anak.

"Berbanding bapa yang lebih ambil peranan pada isu lebih penting dan biasanya menggunakan intensiti kemarahan beraras tinggi berbanding ibu untuk tunjukkan dia sebagai ketua keluarga selain perlu dihormati," katanya.

Menjelaskan sama ada marah itu wajarkah dipertontonkan atau tidak, jelas Dr Norisham, ia adalah subjektif dan marah perlu diluahkan supaya tidak menjadi bebanan pada diri.

Ciri-ciri marah yang rasional kata pakar itu ialah ada hadnya dan tidak mendatangkan bahaya kepada individu yang dimarah atau dirinya sendiri.

"Sangkaan umum mengenai emosi marah ini selalunya buruk kerana boleh lihat kesannya dan reaksi agresif apabila ingin lepaskan.

"Sedangkan sifat marah itu perlu ada untuk keadaan tertentu sebagai satu bentuk pertahanan diri atau kondisi berjaga-jaga apabila diri diancam," katanya.

Tambahnya keadaan itu membina mitos bahawa emosi itu suatu yang jahat tidak boleh dipakai dalam semua keadaan.

MARAH digunakan sebagai tunjuk kuasa.
MARAH digunakan sebagai tunjuk kuasa.

Mitos lain mengenai marah ialah apabila ramai percaya dengan tunjuk reaksi emosi itu juga antara cara untuk tunjuk kuasa.

"Meskipun dalam banyak keadaan individu menggunakan kemarahan untuk mengawal orang lain terutama merujuk kepada mereka yang mempunyai pangkat dan sebagainya, mungkin pada detik itu ia berkesan.

"Tetapi, lain situasinya jika individu itu sudah tamat perkhidmatannya, orang tidak lagi hormat padanya dan dia akan berasa tempoh berpencen itu sunyi tanpa ada kenalan.

"Begitu juga jika bapa yang garang apabila sering menggunakan kemarahan untuk memastikan kedudukannya sebagai ketua keluarga, isteri dan anak-anak akan menyisihkan dirinya kerana takut. Dia pula akan rasa kesunyian kerana keluarga tidak ingin mendekatinya," katanya.

Dr Norisham berkata, mitos lain yang cukup popular ialah kemarahan itu juga dikaitkan dengan faktor genetik. Tepatnya ia dipelajari dan dirangsang faktor persekitaran.

Seperti keadaan ketika ini, faktor persekitaran ekstrem seperti Covid-19 menjadikan emosi marah mudah 'hinggap' kepada sesiapa sahaja.

Lebih buruk andai berlaku kepada individu yang ada personaliti pemarah.

"Menjadi tidak normal apabila dia menjadi marah setiap masa untuk semua perkara.

PERANAN dalam masyarakat terutama kedudukan keluarga menyebabkan perbezaan ekspresi marah antara lelaki dan perempuan.
PERANAN dalam masyarakat terutama kedudukan keluarga menyebabkan perbezaan ekspresi marah antara lelaki dan perempuan.

"Kalau di rumah hal isteri masak ikan tawar pun boleh pecah pinggang mangkuk. Itu belum lagi dia berdepan provokasi, individu ini berpotensi untuk timbulkan masalah.

"Cegah insiden seperti pukul isteri atau rosakkan barang jiran atau buat kacau di sini sana, perlu ada kesedaran untuk dia mendapatkan bantuan atau sokongan psikologi.

"Instrumen seperti ujian personaliti boleh digunakan untuk mengenal pasti sama ada marah dialami itu adalah normal atau disebabkan dia lahir dengan personaliti sedemikian.

"Saya gunakan Instrumen Kemarahan Diri Sham (IKEDS) iaitu inventori psikologi yang saya bina sendiri disesuaikan mengikut status individu itu bujang atau berkahwin.

"Pada saya ia penting sebagai langkah untuk proses seterusnya iaitu mengurus atau mengendalikan kemarahan mereka. Biasanya mereka ini diajar dengam teknik pernafasan untuk bantu mereka bertenang sebelum terus bertindak," katanya.

Beliau juga membangunkan modul

khas pengendalian marah atau pengurusan marah yang boleh diguna kepada semua peringkat rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 7:01 AM