OBESITI menganjak risiko jangkitan Covid-19 yang teruk di kalangan golongan muda. - FOTO Google
OBESITI menganjak risiko jangkitan Covid-19 yang teruk di kalangan golongan muda. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


KISAH ini begitu menyayat hati. Seorang wanita menghidap diabetes jenis 2, hipertensi (tekanan darah tinggi) dan obesiti namun kerana bimbang terkena jangkitan pandemik itu, dia tidak menghadiri rawatan perubatan berkalanya biarpun sudah mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19.

Dia juga memastikan dirinya mengikuti semua langkah pencegahan lain seperti hanya keluar rumah apabila ada urusan penting sahaja.

Malangnya, dia dijangkiti Covid-19 dan dimasukkan ke hospital pada hari keenam dalam keadaan kategori empat.

Keadaannya merosot dengan pantas dan dia dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Biarpun semua langkah sudah diambil termasuk memberi bantuan pernafasan melalui mesin, wanita itu akhirnya meninggal dunia pada usia 49 tahun akibat kegagalan pelbagai organ hanya selepas empat hari rawatan di hospital.

Nyata kisah menyedihkan ini mengesahkan apa yang diketahui dari peringkat awal iaitu faktor risiko untuk jangkitan Covid-19 yang teruk dan kematian adalah usia lanjut (lebih 60 tahun), diabetes, hipertensi, masalah buah pinggang, penyakit jantung dan obesiti.

Lebih banyak faktor risiko yang dihadapi, lebih tinggi kebarangkalian untuk meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Statistik Kebangsaan menunjukkan pemerhatian yang sama seperti di negara-negara lain. Data kematian Covid-19 terkini yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Klinikal Malaysia pada 29 Ogos lalu mendapati bahawa lapan daripada 10 kematian (82 peratus) berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi - tiga daripada 10 pesakit menghidap hipertensi, dua daripada 10 pesakit menghidap diabetes, satu daripada 12 pesakit menghidap penyakit buah pinggang.

Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia dalam satu kenyataan berkata, diabetes adalah penyumbang utama morbiditi yang teruk dan kematian akibat Covid-19.

JALANI gaya hidup sihat. - FOTO Google
JALANI gaya hidup sihat. - FOTO Google

PERLU jalani pemeriksaan berkala
PERLU jalani pemeriksaan berkala

Paras gula yang tinggi dalam darah menjejaskan sistem imunisasi badan dan mengurangkan kemampuan tubuh untuk melawan jangkitan.

Oleh itu, pesakit diabetes yang tidak terkawal dan dijangkiti Covid-19 menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk mengalami simptom Covid-19 yang teruk, pneumonia (radang paru-paru), perlu dimasukkan ke ICU dan kematian.

Ini terbukti apabila tiga hingga empat daripada 10 pesakit yang memerlukan rawatan rapi di hospital kerana jangkitan Covid-19 yang teruk atau yang meninggal dunia akibatnya, didapati menghidap diabetes.

Lebih menyedihkan adalah, satu daripada empat penghidap diabetes yang dimasukkan ke ICU akibat Covid-19 berakhir dengan kematian.

Statistik ini menekankan betapa penting bagi penghidap diabetes untuk mengelak diri daripada dijangkiti Covid-19.

Walaupun kebarangkalian untuk mereka mendapat jangkitan itu sama seperti orang lain, namun jika dijangkiti, mereka adalah tiga kali ganda berisiko untuk mendapat pneumonia Covid-19 yang teruk, kerosakan organ akhir lain, dan kematian.

Mengulas lanjut, data terkini daripada kajian berskala besar mengesahkan bahawa obesiti adalah faktor risiko yang tersendiri dan serius untuk jangkitan Covid-19 yang teruk. Malah, obesiti adalah faktor yang menganjak risiko jangkitan Covid-19 yang teruk dalam kalangan orang muda.

Ini bermakna individu berlebihan berat badan atau obes yang berumur bawah 50 tahun lebih cenderung untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.

Peningkatan obesiti di Malaysia memperlihatkan betapa teruknya tahap kesihatan populasi negara kita terutamanya berkaitan penyakit metabolisma.

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati bahawa satu daripada dua orang dewasa di Malaysia mengalami kelebihan berat badan atau obes dan satu daripada lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes.

VAKSIN dapat mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk dan kematian.
VAKSIN dapat mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk dan kematian.

Semua fakta yang tidak menyenangkan ini menyumbang kepada kenaikan statistik Covid-19 yang meningkat dan kadar kematian yang tinggi sejak tiga hingga empat bulan lalu.

Di saat sekatan sosial dilonggarkan dan orang ramai memulakan perjalanan (mungkin pulang ke kampung) adalah penting untuk anda mengekalkan semua langkah pencegahan bagi menghindari jangkitan Covid-19.

Perlu diingatkan, sentiasa kekalkan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka

dan kerap cuci atau basmi kuman di tangan anda, terutamanya apabila berinteraksi dengan ahli keluarga yang tidak divaksin seperti cucu anda.

Dapatkan vaksin Covid-19 jika anda belum berbuat demikian. Kajian mengesahkan bahawa vaksin-vaksin yang digunakan di Malaysia adalah efektif, termasuk penghidap diabetes.

Namun begitu, seperti kebanyakan vaksin lain, perlindungan yang diberikannya bukanlah 100 peratus. Anda masih boleh dijangkiti selepas menerima vaksin (jangkitan bolos), tetapi kebarangkalian mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk dan kematian amat rendah.

Penghidap diabetes biasanya mempunyai faktor risiko lain yang berkaitan seperti lanjut usia, hipertensi, obesiti, fungsi buah pinggang tidak normal dan penyakit jantung.

Malangnya, dalam keadaan pandemik ini, ramai penghidap diabetes tidak mengawal paras gula dalam darah, tidak ambil peduli akan tekanan darah dan membiarkan berat badan bertambah.

Ada juga yang tidak menghadiri pemeriksaan rawatan berkala. Mungkin ada yang menganggap masalah kesihatan mereka akan hilang hanya kerana mereka tidak keluar dari rumah.

Covid-19 mengancam semua orang, tetapi kesannya lebih teruk bagi golongan penghidap diabetes dan obesiti.

Oleh itu, jagalah diri dan kesihatan anda dan pastikan anda mendapat vaksin Covid-19 bagi mengelak dari dijangkiti virus itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 7:00 AM