SERAMAI 600 penerima divaksin setiap hari.
SERAMAI 600 penerima divaksin setiap hari.
HM Digital

Syarikat perlombongan Vale Malaysia (Vale) menjalin kerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara dengan menjalankan program vaksinasi Covid-19 kepada pekerja industri maritim di Manjung, Perak.

Seramai 2,744 individu mendaftar bagi program ini membabitkan pekerja Vale, ahli keluarga dan 17 rakan niaga Vale. Sejumlah RM430,000 didermakan Vale bagi menjayakan inisiatif itu.

Sebuah Pusat Pemberian Vaksin industri (PPVIN) maritim dibuka di Ritz Garden Hotel dengan bekalan vaksin yang disediakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pusat ini juga dikendalikan sebuah syarikat perkhidmatan kesihatan terkemuka dunia, International SOS.

Ketua Pegawai Eksekutif Vale di Malaysia, Rodrigo Ribeiro de Ara˙jo berkata, pihaknya yakin vaksinasi menyumbang kepada kemampanan industri maritim di Manjung.

"Industri ini menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, terutamanya golongan muda.

"Melalui bantuan yang diberikan kepada industri serta peniaga kecil dan sederhana (PKS), kami berharap usaha ini dapat menjamin mata pencarian selain melindungi kelangsungan hidup warga Manjung memandangkan daerah ini terkenal sebagai sebuah bandar pelancongan dan maritim," katanya.

Mengulas mengenai pembukaan PPVIN, Rodrigo berkata, pusat ini akan membantu mengurangkan bebanan infrastruktur vaksinasi setempat.

"Ia sekali gus memberi ruang kepada kerajaan menumpukan perhatian dalam pemberian vaksin kepada penerima yang lain, terutamanya golongan rentan.

"Seramai 600 penerima akan divaksin setiap hari di pusat ini yang beroperasi sehingga penghujung Ogos," katanya.

Sementara itu, Pengarah JLM (WU), Mohd Hafiz Abdul Majid, menyambut baik usaha proaktif Vale dalam memberikan perlindungan vaksinasi ini.

"Ia tidak hanya tertumpu kepada kakitangan Vale dan ahli keluarga mereka semata-mata, malah turut membabitkan kakitangan syarikat-syarikat lain dalam industri maritim di Manjung.

"Buat julung kalinya, JLM (WU) mendapat sokongan daripada pelabur asing bagi tujuan ini. Inisiatif murni ini selari dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 6:35 AM