Buku Indahnya Hidup Bersyariat.
Buku Indahnya Hidup Bersyariat.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Buku Indahnya Hidup Bersyariat karangan Allahyarham Datuk Ustaz Ismail Kamus, diterjemah ke dalam Bahasa Jepun bagi pembacaan penganut Islam di negara berkenaan.

Usaha murni itu hasil inisiatif Masjid Putra Heights, Subang Jaya, Selangor menerusi program Infaq Ilmu dan Dakwah ke Jepun.

Ketua penyelaras program berkenaan, Datuk Zulkifli Abdul Malek berkata, program itu tercetus selepas perbincangan pihaknya dengan Japan Dakwah Centre yang memaklumkan bahawa kurangnya buku fardhu ain dalam Bahasa Jepun untuk dibaca dan dipelajari penganut Islam di Jepun.

Katanya, program ini dilancarkan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, genap setahun yang lalu di saluran TV3 program Malaysia Hari Ini menerusi tajuk Nur Islam di Negara Matahari Terbit.

"Alhamdulillah ia mendapat sokongan ramai penyumbang individu dan korporat.

"Bank Kerjasama Rakyat turut tampil selaku penyumbang utama untuk program berkenaan.

"Kami bersyukur di atas kesudian Tuan Hj Waharp dan Datuk Dr Ustaz Zahazan daripada Telaga Biru kerana membenarkan pihak kami untuk menterjemah buku berkenaan," katanya pada majlis pelancaran buku Indahnya Hidup Bersyariat Edisi Bahasa Jepun, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri DiJabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri.

Menurut Dr Zulkifli lagi, buku itu akan diedarkan dan disumbangkan secara percuma kepada rakyat Jepun sama ada yang menganut agama Islam atau pun tidak.

Katanya, antara penerima buku itu ialah Sekolah Jepun Kuala Lumpur, Japan Club of Kuala Lumpur, JACTIM dan semua agensi kerajaan Jepun yang beroperasi di Malaysia.

"Turut menerima buku itu institusi pengajian tinggi di Malaysia yang menjalankan program berkaitan Bahasa Jepun dan pelajar Jepun yang kini menuntut di universiti awam serta pusat pengajian tinggi swasta seluruh negara.

"Selebihnya, ia akan disumbangkan kepada Islamic Centres atau pusat-pusat Informasi Islam di seluruh Jepun melalui Japan Dakwah Centre.

"Terima kasih Duta Besar Jepun di Malaysia, Hiroshi Oka di atas kesudian beliau mewakili rakyat Jepun untuk menerima buku ini," katanya.

Sementara itu, Masjid Putra Heights dengan kerjasama Persatuan Alumni Dasar Pandang keTimur (ALEPS) akan meneruskan program kemasyaratan di Jepun yang akan menjurus kearah program dakwah yang tersusun dan bersepadu.

Mereka juga akan berkerjasama dengan ALEPS bagi mengutip dana untuk Tabung Pembinaan Masjid Shizuoka di Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 10:17 PM