Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Kelebihan berbahasa Mandarin memudahkan Siti Nor Aishah Ahmad, 26, membabitkan diri dalam aktiviti dakwah kepada individu bukan Islam di negara ini memahami agama Islam.

Dia yang kini bergiat aktif dalam aktiviti dakwah bersama Hidayah Centre Foundation (HCF) sebagai sukarelawan pemandu pelancong masjid bagi program masjid terbuka yang kerap dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit.

Menurut Nor Aishah, dia mula bergiat dalam aktiviti keagamaan dan dakwah sejak di bangku sekolah menengah lagi dengan membabitkan diri dalam Badan Kerohanian Sekolah (BADAR), selain dilantik sebagai Naqibah serta Imam Puteri di asrama Sekolah Menengah Sains Muar, Johor.

“Bagaimanapun, di peringkat sekolah rendah dan menengah saya tidak mempunyai asas bahasa Mandarin. Tetapi selepas tamat persekolahan saya membuat pilihan bagi menyambung pengajian di peringkat sarjana muda Bahasa Cina di Beijing Language and Culture University (BLCU), Beijing, China di bawah tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada 2011.

“Sewaktu belajar di sana saya mula belajar dan menguasai bahasa Mandarin sehingga tamat pengajian selama lima tahun di BLCU.

“Ketika di BLCU juga saya banyak terbabit dalam aktiviti dakwah selepas menjadi sebahagian komuniti di Masjid Madian, Beijing antaranya dengan menyertai pelbagai aktiviti anjuran masjid seperti iftar Ramadan, sambutan hari raya, sukarelawan persembahan selawat dan sebagainya.

“Perkara itu membuatkan saya mudah menguasai bahasa Mandarin apabila sentiasa berinteraksi dengan penduduk negara berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program masjid terbuka di Masjid Al-Fa’izin, Desa Jaya, Kepong, di sini, baru-baru ini.

Dia yang kini menyambung pengajian peringkat Diploma Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim Johor Bahru berkata, selepas pulang ke negara ini dia mula membabitkan diri dengan aktiviti sukarelawan yang dijalankan HCF sejak awal Januari lalu.

NOR Aishah (kanan) dalam program Masjid Terbuka sempena Tahun Baru Cina di Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Kepong. FOTO Rosdan Wahid
NOR Aishah (kanan) dalam program Masjid Terbuka sempena Tahun Baru Cina di Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Kepong. FOTO Rosdan Wahid

Katanya, sejak pembabitannya dia kerap membabitkan diri dengan menjadi sukarelawan pemandu pelancong masjid menerusi program masjid terbuka yang dianjurkan HCF bagi memberi peluang kepada orang bukan Islam mendekati institusi masjid.

“Program ini dilaksanakan di masjid yang mahu bekerjasama dengan HCF melaksanakan program ini bagi menyantuni orang bukan Islam mendekati masjid.

“Menerusi program ini orang bukan Islam dibawa ke dalam masjid untuk berkongsi mengenai konsep rumah ibadat berkenaan selain memberikan medium bagi mereka untuk bersoal jawab berhubung ajaran Islam.

“Majoriti peserta yang hadir lebih selesa mendengar penerangan menggunakan bahasa mereka berbanding bahasa Melayu atau Inggeris,” katanya.

Menurut anak sulung daripada tujuh beradik itu, dia berharap menerusi program terbabit dia dapat memperbetulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat bukan Islam bagi memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara ini.

“Ada dalam kalangan peserta bukan Islam terutamanya masyarakat Cina salah faham dengan konsep yang dilaksanakan di masjid terbuka ini kerana ada yang berpendapat kami mahu mengislamkan mereka.

“Tetapi sebenarnya kami hanya mahu memberikan kefahaman kepada mereka mengenai Islam supaya tidak berlaku salah faham dan dapat memperbetulkan persepsi negatif terhadap agama Islam,” katanya.

Nor Aishah turut berharap lebih ramai masyarakat bukan Islam membabitkan diri sekiranya program masjid terbuka terbabit dilaksanakan di kawasan penempatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 5:49 AM