PELANCARAN dua buku terjemahan mengenai kewangan Islam membuka ruang terhadap usaha memperkenalkan buku terbitan UUM Press di Jepun.
PELANCARAN dua buku terjemahan mengenai kewangan Islam membuka ruang terhadap usaha memperkenalkan buku terbitan UUM Press di Jepun.
Ruhaiza Rusmin

Universiti Utara Malaysia Press (UUM Press) melancarkan dua buku mengenai kewangan Islam di Pesta Buku Antarabangsa Tokyo 2016, baru-baru ini.

Dua buku ditulis pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi dan Perbankan (SEFB) itu diterjemahkan ke bahasa Jepun melalui kerjasama UUM Press dengan Japan-Malaysia Association (JMA) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Ini kali kedua buku terbitan UUM Press diterjemahkan ke bahasa Jepun. Tahun lalu, buku Politik Bangsa Malaysia menjadi perintis kepada usaha mengantarabangsakan nama Malaysia dan UUM ke peringkat antarabangsa.

Majlis disempurnakan Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris di Tokyo Big Sight sempena Pesta Buku Antarabangsa Tokyo ke-23.

Turut hadir Pengerusi dan CEO Kinokuniya Company Limited Masashi Takai, Ketua Pengarah Japan-Malaysia Association Pengarah UUM Press Prof Madya Dr Ram Al Jaffri Saad dan penulis buku Dr Zaemah Zainuddin dan Shariza Osman.

Dalam ucapan perasmiannya Ahmad Izlan berkata, UUM mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan Islam dan seharusnya menjadi penggerak terhadap usaha mempromosikan bidang itu di peringkat antarabangsa melalui penerbitan buku.

“UUM ada kepakaran dalam bidang ini kerana dilengkapi kemudahan dan infrastruktur terbaik serta mempunyai dua pusat pengajian khusus dalam bidang itu, iaitu Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan (SEFB) dan Perbankan serta Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS).

“Dengan penerbitan buku terjemahan ini, Malaysia berjaya mengeksport ilmu pengurusan kewangan Islam kepada masyarakat Jepun untuk difahami sebagai alternatif kepada sistem kewangan sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 1:36 PM