Bangunan Masjid Kyoto, Jepun, yang berjaya dibeli hasil sumbangan wang oleh rakyat Malaysia, Singapura dan Brunei.
Bangunan Masjid Kyoto, Jepun, yang berjaya dibeli hasil sumbangan wang oleh rakyat Malaysia, Singapura dan Brunei.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


"SAYA (lakukan) sujud syukur sebaik mendapat tahu Masjid Kyoto di Jepun berjaya diselamatkan hasil bantuan umat Islam di Malaysia," ujar Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan.

Menurutnya, sifat dermawan rakyat Malaysia terbukti apabila mereka menyumbang lebih RM2 juta untuk menampung kos pembelian bangunan masjid itu selepas masalah dana dihadapi didedahkan pihak Muslim Care Malaysia.

"Wang sebanyak itu berjaya dikumpulkan dalam tempoh lapan hari sahaja selepas masalah berkaitan dana diperlukan komuniti Islam di Jepun didedahkan pada 14 Jun lalu.

"Ketika itu masa kian suntuk apabila penduduk Islam di sana hanya mempunyai masa sehingga 25 Jun ini bagi mengumpul baki bayaran sebanyak RM2.73 juta untuk melunaskan kos pembelian bangunan masjid pertama di wilayah itu," katanya.

Menurutnya, dia dan exco Muslim Care Malaysia amat bersyukur dan mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana menggerakkan hati dermawan Malaysia untuk menyumbang.

"Malah ramai rakyat Malaysia turut menggerakkan kempen untuk sama-sama membantu mengumpul dana sebanyak RM2.73 juta dalam tempoh singkat bagi menyelamatkan Masjid Kyoto yang terbengkalai sebelum ini.

"Masjid Kyoto adalah masjid ke 3 dibina oleh Muslim Care Malaysia & Japan bersama masyarakat tempatan Jepun selepas Masjid Toyama dan Masjid Chiba," katanya.

Menurutnya, derma turut disalurkan rakyat Singapura dan Brunei yang amat pemurah dan berbesar hati dalam membantu memastikan Syiar Islam terus tersebar di bumi matahari terbit ini.

Difahamkan sebelum ini, penduduk Islam di Kyoto, Jepun, hanya mempunyai masa sehingga 25 Jun ini bagi mengumpul wang sebanyak RM2.73 juta untuk melunaskan baki bayaran pembelian bangunan masjid pertama di wilayah itu.

Kos keseluruhan pembelian Masjid Kyoto, Jepun, membabitkan anggaran keseluruhan sebanyak 76.7 juta Yen ( RM3.05 juta ).

Muslim Care Malaysia Society mengambil tanggungjawab untuk membantu serta mengusahakan dana pembinaan masjid pertama di Kyoto itu bermula dengan dana deposit sebanyak 5.5 juta Yen (RM214,200).

Zulkifli berkata, pengumpulan dana ini turut dibantu oleh komuniti Islam di Jepun.

"Mereka memerlukan baki RM2.73 juta lagi untuk melunaskan bayaran penuh pembelian masjid itu. Wang deposit akan hilang sekiranya baki sebanyak 68.5 juta Yen (RM 2.73 juta) gagal diselesaikan. Keseluruhan baki itu perlu dibayar sebelum 25 Jun ini," katanya.

"Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh diajukan kepada Exco Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safuan Ujar ditalian +60134886447 atau Safuan ditalian +60134886447 selain melayari http://muslimcaremalaysia.my/project/pembinaan-masjid-pertama-kyoto-jepun/ ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 7:07 PM