MAKAN makanan yang berkhasiat ketika dalam proses pemindahan embrio.
MAKAN makanan yang berkhasiat ketika dalam proses pemindahan embrio.
Hafiz Ithnin


RAWATAN kesuburan in-vitro (IVF) antara alternatif bagi pasangan yang sukar mendapatkan zuriat kerana masalah kesihatan kesuburan.

Malah, sudah ramai yang berjaya mendapatkan zuriat selepas menjalani rawatan itu.

Namun, pasti ada yang ingin tahu penjagaan selepas pemindahan embrio ke dalam rahim.

Pengasas dan Perunding Kesuburan Metro IVF, Dr Tee Swi Peng menjelaskan penjagaan selepas pemindahan embrio ke dalam rahim adalah prosedur IVF yang perlu dititik beratkan kerana ia bakal berpotensi mengubah kehidupan daripada hanya berdua mungkin menjadi sebuah keluarga dengan kehadiran si kecil.

Katanya, tidak salah ambil masa untuk manjakan diri dengan berehat secukupnya terutama dalam memastikan tiada tekanan yang tidak elok untuk perkembangan implantasi.

Sebenarnya selepas pemindahan embrio, ia memerlukan masa untuk proses implantasi berlaku.

"Kajian menunjukkan kesan positif jika diet adalah seimbang ketika proses ini dan sepanjang kehamilan. Secara am, seorang wanita yang ingin hamil perlu mengikuti diet yang sesuai untuk kehamilan.

"Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran (cuci sayur-sayuran yang akan dimakan mentah dengan bersih), sumber serat yang baik, karbohidrat kompleks dan protein. Elakkan pengambilan makanan berisiko tinggi seperti keju yang tidak dipasteur yang mungkin mempunyai bakteria," katanya.

Pakar itu menambah, mengekalkan pengambilan kalsium dan vitamin serta mineral lain yang baik dengan memastikan pengambilan nutrien penting yang seimbang juga penting.

"Amat digalakkan berbincang dengan doktor mengenai pemakanan tambahan jika khuatir corak pemakanan kini tidak memenuhi keperluan pemakanan ketika atau selepas rawatan.

"Penting untuk kekal hidrat sepanjang proses IVF dan terutama pada peringkat awal implantasi dan kehamilan ini. Minum banyak air iaitu sekitar dua liter selalu disyorkan," katanya.

Jelasnya, terdapat segelintir pasangan merasakan bahawa rawatan kesuburan adalah proses yang memberikan tekanan secara fizikal dan emosi.

"Jika dapat ditangani dengan baik dan mengikut jadual berkala untuk berjumpa doktor dengan mengamalkan pengambilan makanan yang sihat, peratusan untuk memiliki cahaya mata adalah amat tinggi.

"Elakkan asap rokok, bersenam secara minimal dan cuba beberapa teknik untuk kekal tenang. Segala kebimbangan dan persoalan lain yang mungkin dialami adalah berbeza untuk setiap individu. Justeru itu, kemukakan kemusykilan dengan doktor kesuburan supaya tidak dibelenggu kebimbangan," katanya.

DAPATKAN nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan.
DAPATKAN nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan.

Dalam temu bual ini, turut disenaraikan antara soalan yang biasa diajukan pesakit kepada doktor:

Bolehkah saya bersenam selepas pemindahan embrio?

Tidak digalakkan untuk melakukan aktiviti berat selepas pemindahan embrio, tetapi ini tidak bermakna bahawa hanya perlu baring sepanjang dua minggu. Tiada kajian menyokong jumlah rehat atau baring yang banyak meningkatkan kadar implantasi. Pesakit biasanya dapat kembali seperti kehidupan hari yang normal, tetapi perlu berwaspada dengan aktiviti lasak, stres dan ambil masa untuk berehat.

Penantian dua minggu antara pemindahan embrio dan ujian kehamilan adalah masa untuk pesakit menjaga diri. Rawatan kesuburan boleh memberikan tekanan fizikal dan emosi. Tekanan berlebihan boleh memberi kesan buruk kepada kesuburan dan kesihatan secara umum, jadi penting untuk mencuba serta berehat yang bersesuaian.

Antara aktiviti yang tidak digalakkan adalah mandi, sauna dan bilik wap yang sangat panas atau sebarang aktiviti meningkatkan suhu badan kerana boleh menjejaskan peredaran darah dan nutrien kepada bayi.

Adakah sebarang ubat yang

perlu saya ambil selepas pemindahan embrio?

Ubat-ubatan sokongan luteal yang berikan doktor kesuburan perlu diambil secara konsisten dan pesakit perlu mempunyai perancangan komprehensif untuk ubat yang diperlukan sepanjang rawatan.

GAMBAR rajah proses IVF.
GAMBAR rajah proses IVF.

Pada temu janji yang awal diadakan bersama pesakit, sebarang ubat-ubatan yang diambil akan ditanya kerana pakar boleh memberikan nasihat sama ada ubat-ubatan yang sedang diambil boleh mempengaruhi rawatan atau kehamilan IVF.

Bagaimana pula dengan ubat tahan sakit?

Ia sering ditanyakan mengambil paracetamol pada dos yang disyorkan.

Bolehkah embrio turun dengan sendiri?

Tidak! Selepas embrio dipindahkan dalam rahim, ia bergantung kepada embrio untuk 'menanam' dan membesar.

Adakah posisi tidur yang tertentu berikutan pemindahan embrio?

Tiada kajian yang menunjukkan bahawa posisi tidur tertentu adalah lebih baik untuk implantasi embrio.

Saya penggemar kopi dan bolehkah kafein diambil ketika dalam proses pemindahan embrio?

Pengambilan terlalu banyak kafein juga dikaitkan dengan tumbesaran fetus tersekat yang boleh mengakibatkan berat ketika lahir rendah dan atau keguguran. Jadi, cuba untuk kurangkan kafein atau berhenti mengambilnya terus memandangkan pengambilan dalam jumlah yang sedikit pun mungkin mempunyai kesan. Pakar kesuburan anda mungkin mencadangkan supaya anda tidak mengambil lebih daripada 200 miligram (mg) kafein sehari sebaik sahaja anda hamil.

Adakah sesuai untuk engadakan hubungan kelamin?

Sepanjang proses dua minggu selepas pemindahan embrio, hubungan kelamin tidak digalakkan kerana hubungan kelamin boleh mencetuskan kontraksi rahim.

Saya mengalami kesakitan atau melihat beberapa tompokkan darah. Adakah sesuatu yang tidak kena?

Sekiranya kelihatan beberapa kesan tompokkan darah selepas prosedur pemindahan dan ketika implantasi - normal dan tidak perlu khuatir. Ada juga segelintir pesakit yang mengalami perut kembung, pendarahan yang banyak atau merasa kesakitan yang luar biasa maka perlu segera berjumpa doktor. Ini tidak bermakna bahawa proses IVF gagal. Sebaliknya perlu diselidik mengenai gejala yang dialami dengan segera supaya sebarang isu yang timbul boleh ditangani segera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 6:20 AM