Oleh Siti Nadirah Hafidzin


TANYALAH sesiapa saja, tentunya masing-masing mengimpikan perjalanan hidup yang mudah dan bahagia khususnya dalam meniti kehidupan berkeluarga.

Lumrah hidup mana mungkin tidak dilanda badai, ada pasang surutnya juga suka dan duka.

Apabila mula diuji, siapa kita untuk menidakkannya? Namun percayalah manusia itu tidak akan diuji melebihi kemampuan diri.

Kekuatan dan semangat kental pasangan anak-beranak, Nurin Qistina Saiful Azrin, 11, yang disahkan menghidap kanser darah atau leukemia sejak berusia lima tahun dan ibu tercinta, Nor Jannah Ghani, 38, yang turut disahkan menghidap kanser limfoma April lalu benar-benar memberi inspirasi buat seluruh keluarga lain.

Mana tidaknya, saat setiap ibu bapa mengharapkan anak tersayang berada dalam keadaan kesihatan terbaik, keluarga ini diberi ujian hebat.

Menceritakan mengenai anak sulungnya itu, Nor Jannah membuka bicara, Nurin Qistina membesar sama seperti bayi dan kanak-kanak lain sebelum mula menunjukkan tanda perubahan apabila berusia lima tahun.

“Saya masih ingat, guru tadika beberapa kali mengadu anak saya mudah tertidur ketika dalam kelas selain cepat penat. Apabila sampai ke tadika dia kelihatan sangat penat dan kemudian terus tertidur.

“Tentu saja saya hairan kerana dia tidak tidur lambat dan mendapat cukup tidur di rumah.

“Pada mulanya saya menganggap ia perkara biasa mungkin disebabkan dia baru memasuki alam persekolahan, namun lama-kelamaan timbul rasa tidak sedap hati apabila seluruh anggota badannya mudah lebam dan dia juga selalu demam,” katanya.

Memandangkan Nor Jannah bertugas sebagai jururawat membuatkan dia segera membawa anaknya melakukan pemeriksaan darah bagi mengesan sebarang masalah kesihatan.

“Apabila ujian pertama dilakukan, bacaan darah anak dikatakan sangat rendah dan tidak berada pada tahap normal membuatkan saya cemas sebelum nekad membawanya melakukan ujian darah kali kedua.

“Ujian kedua juga mendapati bacaan darahnya semakin menurun sebelum doktor memaklumkan berkemungkinan Nurin Qistina dijangkiti demam malaria. Saya mempersoalkan keputusan itu kerana kami sekeluarga tidak pergi ke mana-mana lokasi lain sebelum doktor melakukan kajian sekali lagi dan mengesahkan dia menghidap leukemia,” katanya.

Katanya, keputusan diberikan itu membuatkan jantungnya seolah-olah terhenti terutama mengenangkan nasib anak sulung kesayangannya.

“Sebagai ibu, pastinya sangat sedih, bayangkanlah jika anak demam, selesema dan batuk pun kita sudah risau inikan pula menghidap kanser pada usia masih kanak-kanak. Berkat semangat diberikan suami dan ahli keluarga lain membuatkan saya kuat untuk berada di sisinya.

“Saya akan berusaha membantu Nurin Qistina melawan sakitnya itu selain mengikut semua nasihat doktor yang merawatnya dan mengikuti semua sesi kemoterapi ditetapkan,” katanya.

Kini selepas tempoh enam tahun, keadaan kesihatan Nurin Qistina semakin menunjukkan tanda positif.

“Paling utama saya selalu ingatkan supaya dia jaga kesihatan diri, jangan lakukan perkara mendatangkan penat selain jaga pemakanan.

“Apa yang boleh dielak saya akan cuba elak, ketika sesi kemoterapi, saya sesekali tidak akan menyediakan makanan yang mempunyai mayonis atau keju. Syukur, hingga ke saat ini, dia seorang anak yang kuat,” katanya.

TERIMA UJIAN DENGAN REDA

Nor Jannah berkata, paling utama dia bersama suami akan berusaha sedaya mungkin membuatkan anaknya itu gembira.

“Kami sekeluarga suka berjalan-jalan dan ia sudah menjadi antara rutin mingguan kami sekeluarga. Walaupun anak sulung mempunyai kanser, saya tidak mahu kegembiraan kami terhenti atas sebab itu.

“Lagipun, tidak salah kita buat anak gembira dan bahagia, paling utama saya mahu dia membesar dengan baik dan tidak merasai sedikit pun perbezaan dengan kanak-kanak lain,” katanya.

Menurutnya, apabila anaknya tidak sihat, dia tidak sesekali keluar berjalan-jalan kerana bimbangkan perkara tak diingini terjadi.

“Dalam tempoh enam tahun ini dia (anak) sudah selesai menjalani sesi kemoterapi, namun masih mempunyai rawatan susulan dengan doktor.

“Sebagai ibu, tiada apa yang saya harapkan melainkan melihat anak gembira dan terus membesar dengan sihat. Walaupun kini saya pula yang disahkan menghidap kanser, saya tetap terima ujian ini dengan reda,” katanya.

Dia juga perlu berusaha melawan kanser dihidapinya demi memastikan anak terus kuat.

“Beberapa bulan lalu apabila saya sangat lemah hingga tidak mahu makan, dua anak juga sedih hingga membuatkan mereka juga tidak mahu makan. Keadaan itu membuatkan saya tersedar yang saya perlu kuat kerana kekuatan seluruh ahli keluarga banyak bergantung kepada diri saya sebagai ibu.

“Disebabkan itu, walaupun sakit dan terlalu lemah, saya akan cuba untuk positif demi memastikan seluruh keluarga mampu kekal tersenyum dalam menjalani kehidupan ini. Semua orang mahu sihat, namun inilah yang dinamakan dugaan, saya tidak sesekali menyalahkan takdir dan mahu seluruh ahli keluarga terutama anak membesar dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai keadaan kesihatan dirinya, Nurin Qistina yang juga murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Gembira, Klang, Selangor itu berkata, dia mahu menjalani kehidupannya sama seperti rakannya.

“Ada kawan yang tahu saya ada kanser, ada juga tidak tahu kerana kini saya semakin sihat sama seperti mereka. Cuma saya selalu memakai topeng penutup hidup dan mulut apabila ke sekolah bagi memastikan tidak mudah dijangkiti virus disebabkan faktor cuaca tidak menentu.

“Saya juga akan pastikan tidak terlalu terdedah dengan cuaca, tidak boleh terlalu berpanas dan tidak juga boleh terkena hujan. Saya juga perlu jaga diri sendiri dan tidak mahu terlalu menyusahkan ibu dan ayah yang banyak berkorban masa, tenaga dan wang dalam memastikan saya kekal sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 5:30 AM
BERSAMA keluarga.
BERSAMA keluarga.
NURIN Qistina hidap leukemia sejak usia 5 tahun manakala ibu disahkan alami kanser limfoma. April lalu. FOTO & VIDEO: Roslin Mat Tahir
NURIN Qistina hidap leukemia sejak usia 5 tahun manakala ibu disahkan alami kanser limfoma. April lalu. FOTO & VIDEO: Roslin Mat Tahir