ISKANDAR Zulkarnain (kiri) dan Nur Qistina Balqish menderita kanser limfoma. FOTO Ihsan keluarga
ISKANDAR Zulkarnain (kiri) dan Nur Qistina Balqish menderita kanser limfoma. FOTO Ihsan keluarga
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Bukan sahaja berjuang melawan kanser limfoma, dua beradik turut bergelut dengan cabaran untuk mendapatkan dana bagi menjalani rawatan termasuk pembedahan yang membabitkan kos sebanyak RM60,000.

Iskandar Zulkarnain Azuan Isaidi, 13, disahkan menghidap kanser limfoma pada dua tahun lalu manakala adiknya, Nur Qistina Balqish, 12, disahkan menghidap penyakit sama pada Mei lalu.

Menurut ibu mereka, Siti Suhana Misdi, 36, anak sulungnya, Iskandar pernah menjalani pembedahan bagi membuang kelenjar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan menjalani ujian biopsi di sebuah hospital pakar di negeri ini pada 11 Mei lalu.

"Kini Iskandar kerap mengalami demam dan terdapat biji kelenjar di keliling leher semakin membesar dan merebak.

"Manakala kulit kedua kakinya menggelupas, berdarah dan bernanah hingga perlu menjalani rawatan susulan sekurang-kurangnya selama enam bulan di hospital pakar berkenaan," katanya yang tinggal di Jalan Penyiaran 29, Taman Universiti di sini.

Siti Suhana berkata, manakala anak keduanya, Nur Qistina mula mengalami beberapa simptom termasuk cirit-birit dan demam sebelum disahkan menghidap kanser limfoma.

Menurutnya, ketika itu perasaan ahli keluarganya bercampur baur kerana tidak sangka anak kedua terpaksa mengharungi dugaan sama seperti anak sulung.

Katanya, doktor mendapati ada kelenjar di belakang kepala dan ketumbuhan di belakang hidung Nur Qistina.

"Walaupun pada awalnya agak sukar bagi saya dan suami bagi menerima suratan takdir, namun kami berfikir positif dan meneruskan perjuangan bagi menyelamatkan nyawa anak-anak kami.

"Doktor juga membuat keputusan untuk melakukan pembedahan segera bagi membuang ketumbuhan yang semakin membesar serta mengambil kelenjar di belakang kepala.

"Pembedahan dilakukan pada 9 Jun lalu dan Alhamdulillah semua lancar," katanya.

Siti Suhana berkata, Iskandar dan Nur Qistina memerlukan rawatan susulan kira-kira enam bulan termasuk pemeriksaan kesihatan setiap minggu sekali iaitu mulai Mei hingga Oktober depan selain Nur Qistina perlu menjalani pembedahan tonsil dalam tempoh masa terdekat.

"Saya bersyukur kerana kedua anak kami tabah dan mereka saling memahami situasi dialami dan menjadi sumber kekuatan sesama sendiri.

"Iskandar pernah merasakan penderitaan akibat kanser limfoma sejak dua tahun lalu namun dia kini menjadi sumber kekuatan adiknya.

"Anggaran kos rawatan bagi Iskandar dan pembedahan Nur Qistina adalah kira-kira RM60,000. Buat masa ini kami masih dalam proses mengumpul dana," katanya.

Menurut Siti Suhana, suaminya, Azuan Isaidi Khairudin, 34, bekerja sebagai pemandu van roti dengan pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 untuk menyara tiga lagi anak berusia antara setahun hingga lapan tahun serta ibu yang sakit berusia 65 tahun.

Katanya, kedua-dua anaknya masih menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan di hospital kerajaan, namun mula mendapatkan rawatan di hospital swasta selepas sebahagian pembiayaan ditanggung seorang hamba Allah.

"Ia bagi memastikan rawatan anak disegerakan kerana risiko penyakit mereka bertambah buruk amat tinggi dan ia dikhuatiri membahayakan nyawa.

"Demi menyelamatkan anak, sebagai ibu bapa kami sanggup mengharungi apa jua keadaan yang sukar dan mencabar serta berserah kepada Allah," katanya ketika dihubungi.

Orang ramai yang boleh menghulurkan sumbangan kepada Iskandar dan Nur Qistina dengan menghubungi Siti Suhana di nombor 019-7431909 atau terus ke akaun Bank Islam Siti Suhana di 01014027723844.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 4:56 PM