PENULIS tidak melepaskan peluang menikmati keindahan Pink Beach.
PENULIS tidak melepaskan peluang menikmati keindahan Pink Beach.
Sudirman Mohd Tahir


Nama Labuan Bajo mungkin masih asing dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, ramai beranggapan ia berada di Labuan yang terletak di kepulauan Borneo. Tidak ramai mengetahui keberadaan Labuan Bajo dalam peta dunia.

Ringkasnya, Labuan Bajo adalah bandar nelayan di hujung barat pulau besar Flores di wilayah Nusa Tenggara sebelah timur Indonesia.

Ia adalah ibu kota bagi daerah Manggarai Barat yang juga satu daripada lapan daerah di bawah pentadbiran utama Flores.

Pemilihan lokasi percutian penulis kali ini antara yang terbaik pernah dikunjungi.

Boleh dikatakan ia satu perjalanan yang berbaloi. Tidak hanya daripada segi pemandangan yang disajikan, tapi juga pengalaman.

Kali pertama penulis mengetahui mengenai kewujudan Labuan Bajo ini menerusi Sidang Kemuncak Asean ke-42 yang diadakan di situ pada Mei 2023.

PELBAGAI kafe menarik terdapat di Labuan Bajo.
PELBAGAI kafe menarik terdapat di Labuan Bajo.

Sejak itu, penulis mulai jatuh cinta dan memasukkannya dalam 'wish list' percutian tahun ini.

Berbaloikah jika ingin melancong ke Labuan Bajo? Ada tempat menarik apa yang boleh dikunjungi?

Biarpun dengan kemunculan destinasi ini sebagai lokasi percutian yang kian tular, Labuan Bajo kekal sebagai bandar nelayan yang penuh dengan nilai sentimental.

Tidak sibuk dan sesak seperti di Bali. Malah, jauh lebih tenang dan mendamaikan.

Di tengah-tengah keterujaan ini, apa yang pasti penduduk tempatannya sangat mesra dan santai seperti mana-mana tempat lain di Indonesia.

PENULIS berada di puncak Pulau Badar.
PENULIS berada di puncak Pulau Badar.

Melihat pada keindahan alam semula jadi, tidak keterlaluan jika penulis ungkapkan Labuan Bajo adalah syurga tersembunyi di timur Indonesia.

Sesuai dengan jolokannya, rantau ini juga dinamakan sebagai salah satu destinasi 'Lonely Planet's Best Value destinations'.

Destinasi ini juga gerbang menuju Taman Nasional Komodo yang menyimpan keindahan alam yang menakjubkan dan haiwan purba yang mendunia.

PENULIS turut menyaksikan sendiri haiwan komodo di Komodo National Park Indonesia.
PENULIS turut menyaksikan sendiri haiwan komodo di Komodo National Park Indonesia.

Bermula daripada haiwan endemik komodo di Pulau Rinca dan Pulau Komodo, deretan pulau, keragaman hidupan bawah laut, hingga pantai yang mempesona, semuanya menyatu di Labuan Bajo.

Menikmati pemandangan langit senja juga boleh menjadi cara lain menghayati Labuan Bajo. Lokasi strategik untuk menikmati keindahan senja ini berada tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo.

Penulis memilih destinasi Bukit Cinta, Puncak Amelia, dan Puncak Silvia, untuk mengabadikan langit senja yang menenteramkan jiwa.

Ada juga Gua Rangko yang memiliki pesona bak oasis dengan kolam air masinnya yang begitu menyejukkan.

Jika ke Labuan Bajo, perlu meninggalkan jejak di Taman Nasional Komodo. Kedua-duanya adalah entiti yang tidak dapat dipisahkan.

Untuk sampai ke sana, penulis menggunakan kapal laut sama ada feri atau kapal ekspres. Ada banyak pilihan perjalanan, dari pagi hingga waktu petang.

Sedikit info, Taman Nasional Komodo didaftar sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 1991 ini terdiri dari Pulau Komodo, Pulau Rinca, Pulau Padar dan beberapa pulau lain di sekitarnya.

Kehadiran komodo (Varanus komodoensis) yang juga 'raksasa' di dunia ini pertama kali dilaporkan dalam jurnal ilmiah pada 1912.

PEMANDANGAN keseluruhan di Pulau Badar.
PEMANDANGAN keseluruhan di Pulau Badar.

Jurnal itu ditulis Pieter Antonie Ouwens, Direktur Museum Zoologi Bogor. Penemuan itu menjadi awal mula kewujudan Labuan Bajo di mata dunia kerana banyak pelancong dan ilmuwan yang datang untuk melihat sendiri 'ora', sebutan komodo daripada warga tempatan.

Selain komodo, taman nasional ini juga terkenal akan panoramanya yang mempesona. Penulis tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar dan video.

Penulis seterusnya ke Pulau Padar yang ikonik dengan pulaunya yang berbentuk bukit serta penggredan laut biru di latar belakang.

Pulau yang mempunyai pasir pantai bewarna kelabu dan merah muda ini turut terkenal dengan aktiviti menyelam skuba dan snorkeling.

Pulau yang kaya dengan beberapa teluk ini sering dijadikan spot terbaik untuk menyaksikan fenomena matahari terbit dan matahari terbenam selain melihat hamparan pasir pantai yang mempunyai warna berbeza.

Spot lain yang tidak boleh ketinggalan adalah Pink Beach atau yang dikenal sebagai Pantai Merah Jambu oleh masyarakat tempatan.

Warna merah jambu di pantai ini berasal daripada haiwan mikroskopik dan pecahan batu karang berwarna kemerahan di sekitar pesisir pantai.

Pantai Pink ini menjadi antara tujuh pantai 'pink' yang cantik di dunia. Anda boleh mendaki ke puncak Bukit Sabana untuk menyaksikan keindahan pantai ini dari kawasan yang tinggi.

Penulis tidak melepaskan peluang untuk ke Manta Point yang terletak di Pulau Komodo ini. Ia juga wajib untuk dikunjungi, khususnya jika anda ingin melakukan aktiviti air.

Manta Point menawarkan peluang buat anda yang mahu menyaksikan spesies Manta Ray secara langsung.

Menariknya lagi anda juga boleh bermesra atau memberi makan kepada ikan itu. Namun, memandangkan penulis tidak boleh berenang, jadi penulis memilih untuk bersantai di atas kapal.

Sebelum penulis terlupa, jika ingin ke Labuan Bajo, akses termudah adalah menaiki kapal terbang. Memandangkan tidak ada penerbangan terus dari Kuala Lumpur, penulis perlu transit di Bali sebelum meneruskan penerbangan domestik ke Labuan Bajo.

Sebenarnya ada banyak lagi pilihan transit lain seperti dari Jakarta, dapat menuju Labuan Bajo dengan beberapa penerbangan seperti Batik Air dan Citilink.

Jika tidak ada komitmen kerja lain, mahu saja penulis melanjutkan percutian. Lima hari di Labuan Bajo masih tidak cukup untuk terus menikmati keindahan syurga dunia ini.

Labuan Bajo pasti akan dikunjungi lagi dan lagi!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 7:00 AM