HARON bersama karya seninya.
HARON bersama karya seninya.
Teks dan foto Nor Hairulnizam Wahid


MENIKMATI suasana inap desa di kawasan bendang pastinya menyajikan pengalaman yang sukar dilupakan.

Menyaksikan fajar dan senja di tepian sawah atau mengail di tali air berhampiran menjemput suasana desa yang sekian lama tidak dirasai.

Bagaimana pula jika pengalaman visual anda terus dijamu keindahan hasil seni ilham pelukis tersohor negara?

Inilah konsep yang cuba ditampilkan pelukis Haron Mokhtar, 58, menerusi inap desanya, Galeri Merah Teratak Anak Amas di Sungai Besar, Selangor.

Semuanya bermula dengan saranan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 2015 tatkala Haron menghadap baginda atas urusan kerja seninya.

"Baginda menceritakan bagaimana pelukis di luar negara memiliki galeri di kawasan pedalaman dan secara tidak langsung membantu penduduk kampung membangunkan kawasan mereka," kata pemenang Bakat Muda Sezaman 1987 itu.

Hasrat Sultan Sharafuddin mula direalisasikan Haron apabila baginda sendiri berkenan merasmikan pameran solo pelukis itu tiga tahun kemudian.

MURAL menyambut kedatangan tetamu.
MURAL menyambut kedatangan tetamu.

"Sambutannya sangat besar dan saya mendapat pulangan kewangan yang menjadi modal mendirikan galeri dan inap desa di sini. Realitinya dalam tempoh tiga tahun itu saya melukis dengan niat membina galeri ini dengan hasil jualan lukisan," katanya.

Kata Haron, tugas menyiapkan 44 lukisan bertemakan Nostalgia MCKK dan hasil jualan lukisan menerusi pameran lain turut membantunya melaksanakan impian itu sedikit demi sedikit.

"Lebih menggembirakan apabila pada 2021, DYMM Tengku Permaisuri Selangor turut menginap di sini untuk melihat apa yang saya usahakan.

"Memang kita ada niat (untuk membina galeri seumpama ini), tetapi jika tiada sokongan, ia hanya tinggal angan-angan. Saya perlu memberikan kredit kepada DYMM Tuanku," katanya merendah diri.

Bercerita mengenai galeri dan inap desanya, Haron berkata pada mulanya beliau hanya berhasrat membina galeri dan unit kediaman bagi memudahkan keluarga 12 adik-beradiknya berkumpul.

Nama Galeri Merah diabadikan berikutan ia dibina daripada batu bata merah yang tidak dicat, hanya bahagian dalamnya dicat putih. Teratak Anak Amas pula mengambil sempena nama Allahyarham ibunya, Amas Awang.

Galeri ini turut memuatkan sebuah studio mini, sementelahan Haron sendiri mempunyai studio utama di lokasi lain.

KOLAM renang turut jadi tarikan pengunjung.
KOLAM renang turut jadi tarikan pengunjung.

"Hanya selepas galeri ini mula didatangi rakan, barulah saya terbuka hati untuk menjadikannya sebuah inap desa," kata bapa kepada empat anak itu.

Jelas Haron, galeri berkenaan selain menempatkan koleksi lukisannya, turut berfungsi sebagai ruang solat jemaah dan bilik acara buat masa ini. Kolam renang di bahagian tengah inap desa pula menjadi tarikan, khusus bagi penghuni cilik.

Pengunjung juga boleh berbasikal sambil menghirup udara segar dan jika ingin menikmati barbeku pada sebelah malamnya, ia juga turut disediakan pengurusan inap desa berkenaan.

Apa yang menarik, karya seni beliau bukan saja dipamerkan di galeri itu, tetapi juga di dinding luar dan laman inap desa, berkenaan. Ia seolah-olah previu bagi yang ingin menikmati keindahan seni visual pelukis yang pernah menganjurkan lapan pameran solo dan ratusan pameran secara berkumpulan.

"Saya ingin membawa gaya sendiri yang memasukkan imej seni dengan reka bentuk ringkas dan boleh dihargai orang lain, tidak keterlaluan dan sedap mata memandang.

"Memang saya ada terfikir untuk membuat gaya mewah, tetapi jiwa saya adalah jiwa marhaen" kata Haron yang mengimpikan untuk membawa masuk karya pelukis lain ke galerinya selain membuka akademi lukisannya satu hari nanti.

Latar belakang sederhana itulah yang membentuk jiwa dalam karya beliau apabila dasar Pandang Ke Timur yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya membentuk identiti lukisannya seperti yang dikenali kini.

SUASANA fajar di sawah padi yang memukau.
SUASANA fajar di sawah padi yang memukau.

MENGIMBAU suasana desa sebenar .
MENGIMBAU suasana desa sebenar .

"Melihat kepada karya luar negara seperti Jepun, Korea, China sehingga ke Parsi, Indonesia dan Pakistan, apa yang boleh saya katakan mereka memiliki jati diri yang kuat.

"Saya amati negara kita ketika itu menuju ke arah perpaduan kaum dan ia kekal sehinggalah ke hari ini apabila kita ada konsep 1Malaysia dan Keluarga Malaysia. Dari situlah titik tolak saya membina karya.

"Malah saya kemudian memilih motif rumah yang ketika kecil dahulu saya sering melukis rumah dan bangunan. Bagi saya, rumah dan bangunan melambangkan pelindung kepada status sosial, ekonomi serta politiknya manakala bahagian bawahnya adalah objek yang mewakili bangunan berkenaan.

"Ruang kosong di bahagian tengah pula sebagai ruang bernafas untuk karya dan ruang berfikir untuk pemerhati. Apabila kita melihat lukisan dari tengah, membawa ke atas ke bawah, itulah konsep Pandang Ke Timur seolah-olah kita menghayati sebuah lukisan Cina, yang akhirnya membolehkan saya menerima anugerah," katanya.

Bagaimanpun, selepas hampir lima tahun beroperasi, Galeri Merah Teratak Anak Amas disifatkan Haron sebagai anugerah Allah yang paling istimewa untuknya dan beliau berhasrat berkongsi kegembiraan itu dengan semua.

"Saya berterima kasih kepada pelanggan yang membeli lukisan saya dan merealisasikan impian dapat membina galeri serta inap desa di tengah sawah," kata Haron.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 7:00 AM