Nuraliawati Sabri


Melaka: Seramai 40 mangsa banjir dari empat taman perumahan termasuk satu kampung di Ayer Keroh, di sini, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air, pagi ini.

Kejadian dikatakan berlaku susulan hujan lebat berterusan lebih enam jam.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.20 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Padang Temu bersama 28 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, daripada maklumat awal diterima, tiga taman perumahan di Ayer Keroh terjejas iaitu Taman Melawis, Taman Kerjasama dan Taman Bukit Beruang Utama, manakala penduduk di Kampung Sungai Putat terperangkap.

OPERASI menyelamat mangsa banjir. FOTO Nuraliawati Sabri dan Ihsan bomba.
OPERASI menyelamat mangsa banjir. FOTO Nuraliawati Sabri dan Ihsan bomba.

"Kerja-kerja memindahkan 40 orang kini giat dijalankan dan mangsa akan ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah," katanya.

Beliau berkata, turut digerakkan bagi operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir adalah tiga bot dan satu lori angkut.

OPERASI menyelamat mangsa banjir oleh pasukan bomba di kawasan perumahan Ayer Keroh. FOTO Nuraliawati Sabri dan Ihsan bomba
OPERASI menyelamat mangsa banjir oleh pasukan bomba di kawasan perumahan Ayer Keroh. FOTO Nuraliawati Sabri dan Ihsan bomba

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin berkata, antara kawasan lain yang terjejas adalah Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Tanjung Minyak (daerah Melaka Tengah), Gangsa di Alor Gajah dan Tehel, di Jasin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 12:13 PM