WAJIB ada gambar bersama bunga matahari.
WAJIB ada gambar bersama bunga matahari.
Nurdiyana Mohd Sarif


MELANCONG ke Khao Yai tidak pernah terlintas di fikiran sebelum penulis membeli tiket penerbangan promosi ke destinasi Bangkok pada 2019.

Khao Yai adalah daerah pedalaman di sebelah utara Thailand dan memerlukan pemanduan hampir tiga jam untuk sampai ke pusat tarikan terbabit.

Berdasarkan tip yang dikongsi rakyat Malaysia yang pernah berkunjung ke destinasi itu, tiada yang lebih mengasyikkan di Khao Yai melainkan rakaman momen indah bersama bunga matahari yang kembang pada sebelah pagi.

Sebaik tiba di Bangkok dengan penerbangan dua jam 15 minit dari Kuala Lumpur, percutian misi mencari bunga matahari bermula apabila penulis dan seorang rakan memilih untuk menyewa kereta bagi meneroka keindahan Khao Yai.

Kami melakukan persiapan selama dua bulan untuk mengatur perjalanan percutian selama lima hari empat malam berada di Thailand yang dua malam adalah di Khao Yai.

Ini termasuk lokasi yang wajib dilawati selain 'port' makanan halal. Kebanyakan maklumat hasil perkongsian daripada rakan komuniti Facebook, Backpackers Buddies Malaysia selain pencarian kami sendiri di Google.

Persiapan lain tidak kurang penting kami lakukan ialah tukaran mata wang Thailand yang terlebih dahulu dilakukan di Malaysia.

RESORT perkampungan Hobbit yang unik.
RESORT perkampungan Hobbit yang unik.

Destinasi pertama iaitu Primo Piazza iaitu taman haiwan dengan imej struktur bangunan berunsurkan elemen

'terracotta' di Itali.

Melengkapkan lagi suasana di situ adalah hamparan rumput seolah-olah mirip dengan imej padang ragut di Eropah yang luas dan strategik sebagai lokasi bergambar. Haiwan di sini juga sangat 'mesra' seperti alpaca, biri-biri Merino dan keldai.

Kami teruskan perjalanan ke Hobbit House di Baan Suan Noi Resort untuk melihat struktur hotel yang bertemakan perkampungan Hobbit. Terdapat pelbagai rumah yang cantik dan comel. Pengunjung boleh bergambar di dalam rumah Hobbit itu.

PENULIS (kiri) bersama rakan yang menemani ke Khao Yai.
PENULIS (kiri) bersama rakan yang menemani ke Khao Yai.

Pengunjung juga boleh menyewa pakaian karakter fantasi untuk bergambar di situ. Caj masuk dikenakan sekitar 150 bath bersamaan RM19.17 seorang.

Pengalaman lain yang menarik adalah detik kami bermalam di Hotel Botanica yang sangat cantik dan mendamaikan. Bilik kami menghadap pemandangan gunung berbatu Taman Negara Khao Yai.

Perjalanan diteruskan ke Jim Thompson Farm yang terletak di Takhop, Pak Thong Chai District, Nakhon Ratchasima Thailand pula. Pemanduan ke pusat tarikan itu mengambil masa selama dua jam dari Hotel Botanica.

Keunikkan Jim Thompson Farm adalah sesi lawatan yang dibuka operator itu kepada pengunjung hanya setahun sekali iaitu bermula pada Disember hingga Januari. Ketika ini musim bunga berkembang mekar dan buah-buahan juga masak ranum.

LADANG labu antara dilawati penulis.
LADANG labu antara dilawati penulis.

Rezeki kami kebetulan mengunjungi lokasi itu pada penghujung Disember sangat menikmati suasana dalam ladang yang luas dan mempunyai pelbagai jenis tanaman daripada bunga, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Di sini juga pengunjung boleh bergambar bersama ratusan labu yang sebenar.

Hotel kedua di Khao Yai, kami memilih untuk tidur di dalam suasana 'perkhemahan glamor' (glamping) di Khao Yai Mount Glamping. Berlatar belakang pemandangan Taman Negara Khao Yai, kawasan perkhemahan sangat selesa dilengkapi dengan pendingin hawa, televisyen dan tempat tidur.

PRIMO Piazza pengalaman seolah-olah berada di Itali.
PRIMO Piazza pengalaman seolah-olah berada di Itali.

Hari terakhir di Khao Yai adalah kembali kepada misi utama kami untuk melihat keindahan pokok bunga matahari di Maneesorn Sunflowers Khao Yai. Perjalanan yang mengambil masa hanya 15 minit dari 'glamping' membawa kami ke satu kawasan ladang dipenuhi bunga matahari tumbuh subur.

Tiba sahaja di situ, rasa kagum dengan pemandangan dan kecantikan bunga matahari yang kembang mekar di sebelah pagi. Bunga itu hanya mekar bermula pada Disember sehingga penghujung Januari sahaja.

Satu lagi kenangan tidak lupa ketika kami memandu ke Khao Yai adalah disaman kerana melebihi had laju. Kami begitu terpesona dengan keindahan kawasan pedalaman itu sehingga lupa memberi tumpuan kepada had laju di lokasi tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 7:00 AM