Muhamaad Razis Ismail


Percutian secara perkhemahan bersama keluarga kini menjadi aktiviti rekreasi pilihan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Trend ini dilihat mula meningkat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Terbaharu, aktiviti 'glamour camping' atau lebih dikenali glamping mula mendapat perhatian.

Aktiviti glamping menjadi pilihan mereka yang ingin menjalankan aktiviti berkhemah bersama keluarga dengan menitikberatkan keselesaan sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

GIMIK perasmian MIGFEST 2022.
GIMIK perasmian MIGFEST 2022.

Baru-baru ini penulis berpeluang menyertai Festival Glamping Malaysia Antarabangsa (MIGFEST) di The Hooton Retreat, Jelebu, Negeri Sembilan selama tiga hari dua malam yang disertai 120 peserta termasuk 15 penyertaan dari Thailand dan Singapura.

Sepanjang program yang julung kali diadakan dusun durian ini, 200 pengunjung turut diberi peluang untuk merasai pengalaman melakukan glamping dan melakukan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan termasuk aktiviti terbang kelawar, memanah dan sebagainya.

Penulis turut teruja melihat dekorasi dan susun atur khemah milik peserta bagaikan membawa segala keselesaan di dalam rumah ke luar rumah.

Jadi tidak hairanlah, ada dalam kalangan peserta yang membawa khemah dan peralatan yang mencecah puluhan ribu ringgit. Malah ada yang membawa pokok keladi sebagai hiasan tambahan.

DEMONSTRASI penyediaan kopi.
DEMONSTRASI penyediaan kopi.

Antara khemah yang menarik perhatian penulis adalah The Roses Camp milik pasangan suami isteri, Mohd Farhan Mohd Arif dan Siti Ros Syahira Rosli.

Keunikan khemah ini, ia dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan perabot seperti kipas, dapur, rak kasut dengan susun atur yang kemas seperti rumah sebenar.

Mohd Farhan berkata, apabila melakukan aktiviti berkhemah dengan keluarga, aspek keselesaan dan keselamatan perlu diutamakan.

"Sebelum berkhemah, saya akan buat perancangan seminggu awal termasuk penyediaan barang keperluan untuk memastikan aktiviti perkhemahan berjalan lancar.

MOHD Farhan bersama isterinya bekerjasama menghias khemah.
MOHD Farhan bersama isterinya bekerjasama menghias khemah.

"Biasanya saya akan buat lakaran awal, untuk mendapat gambaran lebih jelas barang keperluan yang perlu dibawa. Pada masa sama, saya akan pastikan kawasan perkhemahan memiliki kemudahan asas termasuk tandas dan sebagainya.

"Hal ini penting, untuk memastikan keselesaan dan keselamatan ahli keluarga yang turut serta terjamin," katanya.

KANAK-KANAK diberi pendedahan dengan melakukan aktiviti luar.
KANAK-KANAK diberi pendedahan dengan melakukan aktiviti luar.

Jelasnya, melalui aktiviti glamping, dia dapat meluangkan masa bersama isteri dan anaknya sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

"Pada masa sama, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti bekerjasama membina khemah, memasak, dan sebagainya.

"Saya juga dapat bertukar pandangan dan pengalaman dengan kawan baharu yang berkongsi minat sama," katanya.

Selain itu, penulis turut bertemu Carriene Keh atau lebih dikenali sebagai Pinkycarcar yang aktif dengan aktiviti glamping sejak lima tahun lalu.

CARRIENE (tengah) dan keluarganya aktif berkhemah pada setiap hujung minggu.
CARRIENE (tengah) dan keluarganya aktif berkhemah pada setiap hujung minggu.

Keunikan khemah keluarga ini adalah hampir semua peralatan yang digunakan berwarna merah jambu.

Carriene berkata, hampir setiap minggu dia bersama suami dan dua anaknya akan melakukan aktiviti glamping di sekitar Selangor dan Pahang.

"Dengan aktiviti ini, anak boleh rasai pengalaman berada di luar rumah, melihat, menghidu dan menyentuh alam semula jadi," katanya.

PESERTA diajar untuk menyalakan api.
PESERTA diajar untuk menyalakan api.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Zakaria Mohd Nani melihat aktiviti glamping mempunyai potensi besar sebagai produk pelancongan.

"Biarpun ia masih baharu, kita dapat lihat ramai mula menjadikannya sebagai aktiviti keluarga pada hujung minggu dan tidak mustahil ia akan menjadi budaya dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"MIGFEST adalah inisiatif yang baik untuk memberi kesedaran berkenaan aktiviti ini supaya lebih ramai boleh terbabit.

"Tourism Malaysia akan terus mempromosikan produk ini kepada semua pelancong domestik dan ia boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa untuk menarik pelancong luar," katanya.

MIGFEST berjaya menarik penyertaan peserta antarabangsa.
MIGFEST berjaya menarik penyertaan peserta antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 6:02 AM