PEMANDANGAN pergunungan di Warung Kopi Merapi di Jogjakarta.
PEMANDANGAN pergunungan di Warung Kopi Merapi di Jogjakarta.
Hafiz Ithnin


Pemuda berusia 33 tahun ini sudah menghimpun catatan peribadi dalam pengembaraannya di 11 negara. Foto yang merakam budaya dan keunikan masyarakat asing biasanya menjadi penyebab dia berkelana.

Namun, pada pengembaraan kali ini, Mohamad Shazreen Mohamad Yunus atau lebih mesra disapa penulis sebagai Azreen berkelana kerana kopi.

Pada hemat penulis, tidak mustahil untuk dia mengembara kerana apabila menyorot media sosial peribadinya, pelbagai kedai kopi di ibu negara sering dikunjungi.

Sebut sahaja nama kedai kopi ternama mahupun jarang dikunjungi di Kuala Lumpur, dia sudah bereksprementasi mengenai rasa dan perbezaan secangkir kopi sentuhan barista yang berbeza.

Sebelum berangkat, secara tidak sengaja dia memaklumkan kepada penulis hajatnya untuk mengembara selama lima hari ke Indonesia.

Lebih tepat perjalanannya dari Jakarta ke Jogjakarta untuk menikmati sepuas-puasnya rasa kopi di negara jiran itu selama lima hari empat malam.

"Puas!," ujarnya kepada penulis tatkala ditanya pengalaman mengembara mencari rasa kopi di dua lokasi itu sambil menyelami pengalaman pelbagai barista di kafe yang sempat dikunjunginya.

Katanya, Indonesia ialah pengeluar kopi ketiga terbesar di dunia menurut laporan CNN Indonesia, seperti biji kopi Acheh Gayo, Toraja, Bali Kintamani dan Sumatera sangat terkenal kerana kebanyakan kedai kopi serata dunia menggunakan kopi seperti itu.

NOTA barista atau pembuat kopi mencadangkan mencuba kopi warisan yang terkenal dan agak lama.
NOTA barista atau pembuat kopi mencadangkan mencuba kopi warisan yang terkenal dan agak lama.

Azreen berkata, menurut pembacaannya jenama terkemuka kedai kopi terkenal antarabangsa sendiri mengguna biji kopi dipanggil Sumatera Indonesia dan hampir seluruh cawangan jenama itu menggunakan sumber yang sama.

"Ia menjadi sebab saya ingin mencuba kopi warung atau kafe di Indonesia dan syurga kedai kopi di Jogjakarta serta Jakarta.

"Bayangkan setiap jarak 20 meter, ada sahaja kedai kopi kerana peniaga di sana terlalu kompetitif, mempunyai aura tersendiri, seni bina lama yang menarik serta murah," katanya.

Oleh itu, dia membeli tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta kerana harganya lebih murah daripada terus ke Jogjakarta. Bagi menuju ke Jogjakarta, kereta api menjadi pilihan pengangkutan.

 AZREEN (kanan) bersama barista terkenal yang pernah berlakon dalam filem Ada Apa Dengan Cinta 2.
AZREEN (kanan) bersama barista terkenal yang pernah berlakon dalam filem Ada Apa Dengan Cinta 2.

"Hal yang sangat menarik di Indonesia, sistem pengangkutan awam mesra pengguna, di mana-mana tempat pasti ada laluan kereta api, harga juga murah dan senang dibeli menerusi aplikasi.

Katanya, pada hari pertama berada di Jakarta, dia terus mencari kedai kopi sekitar bandar utama berhampiran stesen kereta api iaitu kedai kopi Giyanti Coffee Roastery.

Konsepnya lebih ke arah seni bina lama bercirikan pintu gerbang selain bangunannya tampil dengan warna lebih menyerlah kerana paduan rona biru, kuning dan putih. Hiasan dalamannya juga dalam adunan moden dan lama.

"Seterusnya, saya ke kedai Kopi Kawisari yang terletak satu kilometer (km) dari lokasi sebelumnya. Konsep kedai kopi ini lebih kepada kafe di restoran besar dengan hiasan dalaman lebih gah antaranya mempunyai lukisan sebesar tiga meter (10 kaki) panjang dan tinggi.

KONSEP kedai kopi filem Filosofi Kopi menceritakan seni bina lama dan moden.
KONSEP kedai kopi filem Filosofi Kopi menceritakan seni bina lama dan moden.

"Kafe ini sudah wujud sejak 1870 dan memiliki seni bina lama yang cukup antik termasuk sejarah kopi terawal di sini," katanya.

Dia kemudian meneruskan pengembaraan ke Jogjakarta dengan menaiki kereta api di Stesen Kereta Api Gambir.

"Perjalanan kereta api dari stesen itu ke Stesen Kereta Api Tugu di Jogjakarta mengambil masa kira-kira lapan jam. Keadaan di dalam gerabak boleh dikatakan selesa untuk perjalanan jauh.

"Sementara kereta api tiba ke destinasi yang ingin dituju, sudah semestinya saya membuat pembacaan mengenai beberapa kedai kopi terkenal di Jogjakarta," katanya.

Katanya, kedai kopi pertama berada fikirannya adalah Klinik Kopi kerana kedai itu cukup terkenal sebagai satu daripada set penggambaran filem Ada Apa Dengan Cinta 2, lakonan Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra.

"Menariknya, sebaik tiba di kedai kopi itu baristanya masih orang sama meskipun sudah ditayangkan sejak tujuh tahun lalu.

"Pembuat kopi itu menceritakan mengenai setiap biji kopi, kelebihan, rasa buah-buahan, sitrus, manis, madu serta keseimbangan rasa setiap secangkir kopi yang dicipta untuk pelanggan," katanya.

Seterusnya, kedai kopi kedua dituju adalah Filosofi Kopi kira-kira 30 minit dari bandar utama. Lebih tepat di Jalan Malioboro.

"Kedai ini juga diilhamkan menerusi filem terkenal di Indonesia, Filosofi Kopi 1 dan 2 yang menceritakan setiap biji kopi itu mempunyai karakter tersendiri dari tempat berbeza seperti Daerah Medan, kawasan pergunungan dengan ketinggian 1,000 hingga 1,600 meter dari aras paras laut termasuk sekitar Flores, Sumatera dan Bali," katanya.

Katanya, tujuan asal ke Indonesia hanya mahu menikmati pengalaman dan merasa sendiri kopi terbaik daripada pengeluar kopi terbesar di dunia.

MELIHAT kereta api bergerak dari satu stesen ke satu stesen sambil menikmati kopi hangat di kedai kopi.
MELIHAT kereta api bergerak dari satu stesen ke satu stesen sambil menikmati kopi hangat di kedai kopi.

"Saya ingin menikmati setiap hirupan kopi dari setiap daerah berbeza, melihat cara pembuat kopi di sini, menghasil kopi terbaik dan berkongsi idea, ilmu dan menceritakan di sebalik karakter sebiji kopi.

"Ungkapan ada menyebut 'jauh perjalanan, luas pemandangan' bermaksud jika kita mengembara jauh di negara asing, berpeluang melihat perkara baharu, belajar dan mendapat pengalaman yang mahal untuk generasi akan datang," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 7:00 AM