PESERTA Twin Peaks Gunung Perak yang mengambil bahagian dalam Program Pendakian 121 Puncak sempena ulang tahun JPSM.
PESERTA Twin Peaks Gunung Perak yang mengambil bahagian dalam Program Pendakian 121 Puncak sempena ulang tahun JPSM.
Zuhainy Zulkiffli


Hujan lebat tanpa henti selama dua hari sudah cukup membayangkan jalur pendakian Gunung Perak, Pendang, Kedah, yang licin dan pastinya mencabar fizikal dan stamina.

Cabaran itu dilalui sembilan peserta termasuk dua malim gunung dan seorang wakil Jabatan Perhutanan Negeri Kedah ketika pendakian Twin Peaks Gunung Perak. Ia menerusi aktiviti yang dianjurkan Persatuan Sukan Mendaki Negeri Kedah (HACCK) baru-baru ini.

Aktiviti berkenaan adalah bagi mengambil bahagian dalam Program Pendakian 121 Puncak Sempena Ulangtahun Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang berlangsung serentak di seluruh Malaysia serta mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) berikutan Pendakian Gunung Serentak Terbanyak.

Keunikan Gunung Perak atau dikenali sebagai Bukit Perak dalam kalangan penduduk tempatan ialah mempunyai dua puncak yang masing-masing berketinggian 800 meter (puncak kedua) dan 868 meter di puncak utama.

Pelbagai spesies flora dan fauna terdapat di hutan simpan berkenaan selain beberapa anak sungai yang indah serta mengalir deras.

Permulaan pendakian kira-kira jam 9 pagi dari Taman Rekreasi Sungai Rambai, disambut dengan hujan lebat dan sudah tentu mengundang makhluk kecil penghuni hutan yang digeruni - pacat.

BATUAN besar turut berada di sepanjang jalur pendakian.
BATUAN besar turut berada di sepanjang jalur pendakian.

Tiada cabaran lain yang menanti melainkan laluan yang licin, berlumpur, curam dan pemakaian kasut dengan tapak bersesuaian juga amat penting bagi menjaga keselamatan serta keselesaan kaki.

Belum pun sampai 30 minit pendakian peserta sudah diuji apabila struktur tanah bagi laluan cerun yang diredah menjadi berlumpur dan sukar dipijak.

Pendakian itu sesekali disertai dengan hilai tawa berikutan pelbagai telatah lucu peserta ketika melepasi laluan sukar berkenaan.

Cabaran seterusnya apabila meredah 'jalan balak' yang hampir menegak dengan menggalas beg sandang masing-masing berkapasiti 60 liter, dipenuhi keperluan bagi bermalam di kem pada puncak kedua gunung berkenaan.

PEMANDANGAN awan tebal dari puncak kedua Gunung Perak.
PEMANDANGAN awan tebal dari puncak kedua Gunung Perak.

Berikutan penat mengerah kudrat, peserta berehat seketika bagi menyegarkan badan setiap kali menemukan anak sungai.

Sesuatu yang sukar digambarkan dengan penceritaan ialah apabila melihat perbezaan warna pohon di dalam hutan berkabus, mencetuskan pemandangan indah dengan diselang seli bunyi unggas dan haiwan lain.

Saat paling mencabar dirasai ketika kurang 500 meter sebelum tiba di puncak kedua apabila peserta terpaksa menempuh laluan licin dan menegak menyebabkan ada yang jatuh tersungkur beberapa kali.

Jatuh, jatuh dan bangun semula, bayangan keindahan puncak kedua yang diselimuti kabus juga menyebabkan peserta nekad menempuh cabaran itu.

Ketika hampir jam 5 petang, cuaca dingin bertukar angin kencang dan seketika kemudian suasana hutan berubah menjadi gelap menyebabkan peserta memasang lampu di kepala (head lamp).

Nikmat yang tidak dapat diungkap dengan perasaan sebaik tiba di kem puncak kedua bagi bermalam dan peserta mempersiapkan 'tempat tidur' selain mencari punca air yang mengalir di celahan batu.

 JALUR pendakian bercerun yang berselut dan licin berikutan hujan lebat selama dua hari cukup menguji stamina serta fizikal peserta.
JALUR pendakian bercerun yang berselut dan licin berikutan hujan lebat selama dua hari cukup menguji stamina serta fizikal peserta.

Bagi setiap tadahan, potongan buluh digunakan bagi memenuhi isian botol yang berkapasiti satu liter selama hampir setengah jam setiap satu.

Tiada aktiviti khusus yang dilakukan pada malam itu selain merancang pergerakan pada hari kedua sambil menikmati hidangan nasi bersama gulai ikan talang dan rendang pucuk ubi.

Keesokan harinya, peserta dikejutkan dengan hujan lebat kira-kira jam 5 pagi dan dimaklumkan beberapa kawasan di sekitar utara turut mengalami banjir.

Selesai bersarapan, taklimat dan bacaan doa, pendakian ke puncak utama diteruskan pada jam 8 pagi selain peserta perlu tiba sebelum jam 2 petang bagi melengkapkan syarat program berkenaan.

Begitu juga jalur pendakian ke puncak utama yang licin, namun digagahi juga bagi menjayakan misi dan dengan kesabaran, peserta tiba di puncak berkenaan sekitar jam 11 pagi.

Ketibaan peserta disambut dengan angin kuat serta kabus di sekitarnya dan sudah tentu peluang itu diambil bagi merakamkan gambar sebagai kenangan.

Laluan licin ketika menuruni gunung menyebabkan peserta beberapa kali jatuh terduduk dan ia saat yang paling diingati bagi penulis setiap kali berbual mengenai gunung itu.

Bagi penulis, jika ingin 'menduga' trek di Gunung Perak, perlu cuba semasa musim hujan berbanding ketika musim kering dan ketika itulah pendaki menemukan kepuasan sebenar.

Pastinya cabaran sebegini adalah paling dinanti penggemar aktiviti pendakian selain mencari pengalaman serta ilmu ikhtiar hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 7:00 AM