SEMUA peserta berjaya menawan puncak Gunung Besar Hantu. FOTO Hafiz Ithnin
SEMUA peserta berjaya menawan puncak Gunung Besar Hantu. FOTO Hafiz Ithnin
Oleh Hafiz Ithnin


AYAM belum berkokok, matahari pun masih belum bangkit menyinari langit awal pagi itu. Kami ibarat pendaki ‘buta’ meredah dalam gelap untuk menawan Gunung Besar Hantu.

Lokasinya terletak di Taman Negeri Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan bukan sesuatu yang asing bagi mereka yang gemarkan aktiviti pendakian dalam negara.

Namanya, agak menakutkan namun bukan kisah di sebalik nama yang ingin diungkap.

Istimewanya sekumpulan 16 orang pendaki rata-ratanya pernah berkhidmat dan masih menjadi kakitangan di bawah Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) ibarat mengadakan perjumpaan besar pada hari itu.

Yang mana tidak pernah kenal dan bertegur sapa ketika di pejabat, ketika itu juga kami mula menjadi mesra. Bukan sombong ketika di pejabat tetapi, faham-faham sahajalah, kebanyakan kami mempunyai label wartawan dan editor dalam karier, pastinya sibuk dengan tugasan masing-masing.

MEMANASKAN badan sebelum memulakan pendakian di awal pagi. FOTO Hafiz Ithnin
MEMANASKAN badan sebelum memulakan pendakian di awal pagi. FOTO Hafiz Ithnin

Perjalanan dimulakan sekitar jam 5 pagi yang perlu menempuh laluan balak. Jauhnya boleh tahan kerana diikutkan jam pintar penulis, ada sejauh 4.5 kilometer perlu kami lalui sebelum masuk ke kawasan hutan yang menjadi permulaan lokasi pendakian.

Awal pagi itu juga sudah terasa sejuk dan disangkakan air menitik ‘manja’ adalah gerimis ternyata ia petanda hujan sepanjang hari yang akan kami tempuhi.

Berjalan dalam gelap dan laluan balak itu juga bukan sesuatu yang mudah kerana agak mencanak.

Kadangkala terdapat laluan terbuka seakan longkang dek dirempuh kenderaan pacuan empat roda di situ.

Terdengar juga suara salah seorang daripada kami seramai 16 orang ini yang mengatakan, “Apalah aku buat pagi-pagi buta merecik peluh. Kalau pada jam ini, pasti masih lena menarik selimut. Apatah lagi, hari hujan,” katanya.

Tergelak kami mendengar celoteh itu. Bagaimanapun, jika duduk di rumah pasti tidak dapat merasai pengalaman mendaki seperti itu dan melihat perangai masing-masing.

Sebaik tiba di Kem Sungai Kering, jam sudah menunjukkan sekitar enam pagi. Langit mula menunjukkan jalur sinarnya mengajak kami untuk menunaikan solat Subuh dan berehat seketika sebelum memulakan perjalanan meredah hutan.

SELESAI berehat di Kem Sungai Kering. FOTO Hafiz Ithnin
SELESAI berehat di Kem Sungai Kering. FOTO Hafiz Ithnin

Kopi panas dan biskut kering dihidang penunjuk arah yang mesra disapa Apak, ibarat menikmati menu ‘English breakfast’ selepas menempuhi laluan balak itu.

Kem Sungai Kering adalah kem pertama untuk pendaki berehat dan di situ terdapat laluan anak sungai. Bolehlah menjadi sumber untuk berwuduk dan mengambil air untuk membancuh kopi pagi itu.

Usai sekitar 30 minit berehat, perjalanan diteruskan. Dari air yang disangka embun, ia mula menjadi hujan lebat. Bagaimanapun, itu bukan penyebab untuk berpatah balik.

‘Kepala’ kumpulan kami, Zainuri Misfar atau mesra disapa Abang Zack (pelakon Hantu Kak Limah yang begitu sinonim dengan dialog “Bala-bala”), sudah mengingatkan kami semua, supaya jangan lupa untuk membawa baju hujan. Ternyata peringatan beliau itu ada benarnya.

LALUAN pendakian yang panjang. FOTO Hafiz Ithnin
LALUAN pendakian yang panjang. FOTO Hafiz Ithnin

Sepanjang laluan mendaki ke puncak kami melalui laluan yang sentiasa mencanak. Mudahnya, tiada diskaun langsung untuk menikmati laluan mendatar. Jika ada pun hanya sekejap.

Perjalanan ketika itu menyasarkan Kem Orkid sebagai tempat berehat kedua. Ia mengambil masa sekitar tiga jam sahaja dari Kem Sungai Kering. Kem Orkid agak luas dan sesuai untuk mereka yang ingin berkhemah di situ. Pada hemat penulis mungkin boleh memuatkan 30 khemah pada satu-satu masa.

Nampaknya hujan tidak menunjukkan tanda untuk berhenti. Berjalan dalam hujan sambil disapa angin, ketika berehat sebentar di Kem Orkid dirasakan sangat sejuk hingga ke tulang. Baiklah diteruskan perjalanan daripada berhenti lama, setidak-tidaknya dapat memanaskan tubuh kerana bergerak.

Memandangkan cuaca hujan, laluan menjadi berselut dan licin. Ada antara kami sudah lama menggantung beg galas mendaki sudah pasti mengambil masa untuk ‘panas’ kembali dalam pendakian kali ini.

BEREHAT sebentar di Kem Orkid. FOTO Hafiz Ithnin
BEREHAT sebentar di Kem Orkid. FOTO Hafiz Ithnin

Ada juga rakan pendaki kelihatan agak emosi dan tidak mahu meneruskan perjalanan. Bagaimanapun, sokongan rakan lain yang setia di belakang terus memberi semangat untuknya meneruskan perjalanan.

Semakin hampir tiba di puncak, dihidangkan dengan panorama hutan lumut yang menarik. Tumbuhan yang sinonim dengan kawasan lembap itu tumbuh melata. Cantik, walaupun bersulam lumpur.

Sekitar jam satu tengah hari, kami semua berjaya menawan puncak Gunung Besar Hantu, berketinggian 1,462 meter itu diiringi dengan sorakan dan ucapan syabas antara satu sama lain.

Puncak Gunung Besar Hantu tidak begitu besar dan rasanya tidak begitu sesuai untuk berkhemah jika datang dalam kumpulan yang besar.

Apatah lagi, di puncaknya agak terbuka dan hanya pokok renek berada di sekitarnya.

MEREDAH anak sungai antara yang perlu dilalui peserta dalam pendakian. FOTO Hafiz Ithnin
MEREDAH anak sungai antara yang perlu dilalui peserta dalam pendakian. FOTO Hafiz Ithnin

Selepas hampir sejam kami berada di puncak untuk makan tengah hari, kami pun memulakan perjalanan turun menempuhi laluan berselut.

Perjalanan turun sebenarnya lebih mencabar daripada mendaki kerana kami perlu mengatur langkah supaya tidak jatuh tergelincir dan tercedera.

Nampaknya, perjalanan turun mengambil masa lebih lama dan kesemua kami tiba di tempat permulaan pendakian pada jam 9.30 malam.

Namun, itulah pengalaman pendakian yang tidak dapat dilupakan dan jika dikenang semula pasti ada sahaja cerita lucu yang terkeluar daripada kami mengenai pendakian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:00 AM