KINCIR air menjadi struktur ikonik di Cat Village.
KINCIR air menjadi struktur ikonik di Cat Village.
Teks & foto Mohd Shahril Iqbal Othman


PUNCAK Fansipan yang mencecah angka 3,143 meter dari aras laut menerima jolokan 'atap' Indochina kerana menjadi gunung tertinggi di wilayah Kemboja, Laos dan Vietnam.

Tujuan utama penulis ke Vietnam adalah untuk menjejaki puncak gunung berkenaan yang dikatakan memiliki panorama menarik.

Sebagai pencinta alam semula jadi, destinasi pergunungan itu adalah 'bucket list' bagi persinggahan wajib untuk sesi percutian ke negara republik sosialis itu.

Kebanyakan pelancong Malaysia lebih gemar untuk berada di Hanoi kerana ibu negara itu adalah 'syurga' membeli-belah selain 'terowong' masa yang menyajikan seni bina kolonial dan kesan tinggalan Perang Dunia Kedua.

Penulis sebenarnya lebih teruja dengan perancangan untuk melawat Sapa iaitu satu wilayah di sebelah barat laut Vietnam yang mempunyai panorama indah selain menjadi lokasi Gunung Fansipan.

Sapa secara tidak langsung adalah wilayah tanah tinggi kerana berdekatan dengan hamparan pergunungan Fansipan.

Fokus jelajah penulis yang turut ditemani seorang teman ke Vietnam pada Februari 2020 lalu selama empat hari lebih kepada Sapa.

Misi ke Sapa dimulakan dengan penerbangan ke Hanoi dari Kuala Lumpur yang memakan masa kira-kira dua jam. Bagi menyambung perjalanan ke Sapa yang mengambil masa kira-kira enam jam dari ibu kota Vietnam itu, kami menaiki bas khas yang sudah ditempah dari hotel tempat kami menginap ketika di Hanoi pada hari pertama.

Perjalanan ke Sapa bermula pada sebelah malam. Kami memilih kemudahan pengangkutan untuk ke kota pergunungan itu menggunakan bas kerana dilengkapi dengan katil.

Meskipun harga sedikit mahal iaitu RM90 untuk perjalanan sehala, ia berbaloi kerana kami lena sepanjang perjalanan.

Kami tiba awal pagi iaitu sekitar 5 pagi dan pemandu bas membenarkan kami berehat di dalam bas sementara menunggu siang. Kira-kira jam 7 pagi kami membuat keputusan untuk bergerak ke hotel.

Disebabkan terlalu awal, kami memutuskan untuk tinggalkan saja beg sementara bersiap untuk terus ke Sapa Station iaitu stesen kereta kabel akses ke Gunung Fansipan.

BAS dilengkapi katil cukup selesa untuk perjalanan ke Sapa.
BAS dilengkapi katil cukup selesa untuk perjalanan ke Sapa.

Gambaran sebagai tarikan di Fansipan ini boleh diibaratkan seperti kereta kabel di Langkawi yang digunakan untuk sampai ke puncak Gunung Mat Chinchang dengan dek tertentu untuk diteroka.

Begitu juga keadaannya di Gunung Fansipan dikatakan memiliki tarikan tersendiri iaitu taman dan dek perhentian tertentu yang mempunyai kuil seperti pemandangan seakan-akan di Tibet atau Tembok Besar China.

Cumanya untuk pengembaraan kali ini, penulis agak terkilan tidak dapat sampai ke puncak kerana faktor keselamatan iaitu angin agak kencang dan berkabus tebal. Jadi pengurusan pusat tarikan itu menghentikan operasi untuk dek perhentian kereta kabel di puncak.

Terpaksalah berpuas hati hanya dapat berada di dek kedua untuk menikmati panorama sekitar kawasan Gunung Fansipan. Bagi menjelajah gunung itu, pengunjung boleh habiskan separuh hari di sini kerana banyak lokasi menarik untuk dirakam sebagai kenangan. Kemudahan kereta kabel dengan bayaran akses untuk pakej lengkap adalah RM125 disediakan.

Terdapat juga kaedah lain untuk sampai ke puncak iaitu dengan mendaki dan anda yang gemarkan cabaran serta cukup stamina boleh gunakan cara ini.

SENI bina kuil antara bangunan terdapat di kawasan Gunung Fansipan.
SENI bina kuil antara bangunan terdapat di kawasan Gunung Fansipan.

Sebaik-baiknya tinjau dulu keadaan cuaca terutama kabus bagi memastikan impian untuk sampai ke puncak pada hari perjalanan dapat dicapai.

Sebelum terlupa, perjalanan ke Fansipan dari hotel hanyalah dengan berjalan kerana jaraknya dekat.

Cuma untuk hari seterusnya iaitu perjalanan ke Cat Village, kami menyewa motosikal kerana jaraknya kira-kira 30 minit menggunakan kenderaan.

Kami memilih menggunakan motosikal kerana lebih mudah selain dapat masuk ke kawasan kampung dan merasai suasana sepanjang perjalanan lebih santai.

Cat Village bukanlah kampung yang didiami kucing, sebaliknya ia kampung tradisi dikomersialkan untuk menerima pengunjung.

PENULIS bergambar di sebuah kampung di Sapa ketika perjalanan ke Cat Village.
PENULIS bergambar di sebuah kampung di Sapa ketika perjalanan ke Cat Village.

Kampung ini sangat luas dan terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian atas ialah kampung didiami penduduk sebenar, sementara di bawah pula adalah lokasi pelancongan.

Ada kincir angin, rumah kayu beratap rumbia dan pemandangan berlatarkan gunung selain air sungai yang mengalir sangatlah jernih sesuai untuk mereka suka bergambar.

Cabarannya pula ialah mereka yang mengalami masalah lutut atau berkaitan, lokasi ini tidak sesuai kerana perlu mendaki dan menuruni perkampungan yang berbukit itu.

Tidak lupa mengenai makanan sebenarnya ada kedai makanan halal, tetapi kurang pilihan variasi menu kecuali bagi restoran makanan Melayu berhampiran Hotel Aseana di Sapa yang menawarkan hidangan Melayu.

Rasa sungguh mengasyikkan apabila dapat 'pekena' teh tarik dalam cuaca sejuk. Di situ jugalah penulis terserempak dengan kumpulan pelancong dari Malaysia.

Di Sapa saya sempat membeli- belah pakaian 'pemberai angin'

(wind breaker) sebagai cenderahati untuk keluarga.

Bagi masyarakat tempatan di Sapa, pakaian sejuk adalah pakaian harian mereka. Tidak hairanlah ia dijual pada kadar mampu milik dan dengan kualiti yang baik.

Kesimpulannya pengembaraan ke Sapa satu pengalaman unik dan benar-benar memenuhi kriteria penulis yang begitu mencintai alam semula jadi. Penulis berhasrat kembali bagi melengkapkan misi untuk menjejak puncak Fansipan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 7:00 AM