BANGUNAN ala Eropah di Sapa Center.
BANGUNAN ala Eropah di Sapa Center.
Mohd Zamirul Mohd Dzaki


Sapa yang terletak dalam wilayah Ga Lao Cai di utara Vietnam mungkin kurang popular dalam kalangan pelancong dari Malaysia berbanding daerah lain di Vietnam seperti Ho Chi Minh, Da Nang atau Hanoi.

Malah, Sapa yang juga terletak berhampiran sempadan Vietnam dan China itu menjanjikan suasana serta pengalaman menarik kepada mereka yang pernah berkunjung ke sana.

Penulis berpeluang mengembara secara solo ke Sapa selama tiga hari dua malam iaitu pada 22 hingga 24 December tahun lalu dan ia memberi kenangan dan pengalaman amat bermakna.

Terdahulu, penulis berada di Hanoi selama dua malam sebelum mengambil perkhidmatan Sapaly Express Train dari Stesen Keretapi Hanoi ke Stesen Keretapi Ga Lao Cai.

Kereta api yang bertolak dari Hanoi pada jam 10 malam waktu tempatan mengambil masa lapan jam untuk tiba. Perkhidmatan kereta api itu menyediakan kabin tempat tidur yang pastinya memberikan pengalaman menarik merentasi bumi Vietnam.

Sebaik tiba di Stesen Keretapi Ga Lao Cai, penulis menggunakan perkhidmatan van untuk ke Sapa Center. Tiket van, penulis beli daripada pekerja kereta api ketika dalam perjalanan dari Hanoi ke Sapa.

Perjalanan dari Stesen Keretapi Ga Lao Cai ke Sapa Center mengambil masa 45 minit hingga satu jam. Bagi mereka yang memilih menggunakan perkhidmatan 'sleeper bus' dari Hanoi, bas akan terus membawa penumpang ke Sapa Center.

Selepas tiba di Sapa Center penulis perlu berjalan kira-kira 10 minit untuk ke lokasi hotel yang sudah ditempah. Ada banyak hotel bertaraf lima bintang dan hotel bajet yang boleh ditempah mengikut keselesaan serta kemampuan masing-masing.

Sebagai pengembara solo, sudah tentu penulis memilih hotel bajet. Pada malam pertama penulis memilih Muong Hoa View Hotel.

Pemandangan dari hotel ini sangat indah dikelilingi bukit bukau yang menghijau sambil diliputi kabus. Menghirup kopi panas sambil menikmati keindahan alam dari balkoni hotel sahaja cukup menenangkan.

Pada hujung tahun Sapa mengalami musim sejuk yang mana suhunya sentiasa berada pada bawa 10 darjah Celsius pada sebelah siang. Selain suhu antara empat hingga enam darjah Celsius pada sebelah malam. Jika bernasib baik anda akan merasai turunnya salji di bumi Sapa. Oleh itu, sediakan pakaian musim sejuk sekiranya anda ingin ke Sapa pada hujung tahun.

Penulis mungkin kurang bernasib baik kerana ketika penulis di sana salji tidak lagi turun dan hanya diselaputi kabus tebal walaupun suhunya di bawah 10 darjah Celsius. Walaupun salji tidak turun pada ketika itu, kedinginan di bawah paras 10 darjah Celsius cukup membuatkan tubuh penulis menggigil.

Ketika penulis tiba di hotel, jam masih 9 pagi dan belum lagi waktu untuk mendaftar masuk. Bagaimanapun, pengurusan hotel membenarkan penulis membersihkan diri dan meletakkan beg terlebih dahulu di hotel sementara penulis mengambil peluang itu untuk bersiar-siar.

Penulis tidak menunggu lama, selesai sahaja sarapan, penulis mengambil teksi ke stesen kereta kabel untuk ke puncak Fansipan yang menjadi tumpuan utama bagi sesiapa yang berkunjung ke Sapa.

Fansipan adalah puncak tertinggi di Vietnam dan dikenali sebagai Roof of Indochina. Tidak lengkap kunjungan ke Sapa sekiranya tidak berkunjung ke sini. Untuk ke puncak Fansipan, penulis perlu menaiki perkhidmatan kereta kabel dan seterusnya kereta api kabel untuk tiba di puncak tertinggi.

Perjalanan ke puncak Fansipan dengan kereta kabel membawa penulis membelah kabus tebal sambil dihiasi alam hijau. Suhu cukup dingin ketika tiba di puncak Fansipan. Tiket bagi perkhidmatan ini boleh dibeli di Sapa Station atau secara dalam talian.

PENULIS di puncak tertinggi Fansipan Roof of Indochina.
PENULIS di puncak tertinggi Fansipan Roof of Indochina.

Setibanya di stesen kereta kabel puncak Fansipan, penulis perlu berjalan menaiki beberapa anak tangga sebelum perlu menaiki kereta api kabel untuk sampai ke puncak tertinggi Fansipan.

Awan dan kabus yang agak tebal ketika penulis berada di puncak Fansipan menjejaskan sedikit pemandangan di sekeliling penulis. Mungkin penulis tiba terlalu awal di puncak Fansipan dan kabus pada ketika itu masih tebal.

Selepas turun dari puncak Fansipan penulis pergi ke Cat Cat Village yang menjadi lokasi tumpuan utama juga pengunjung di Sapa. Di sini penulis dapat merasai dan melihat kehidupan seharian masyarakat tempatan iaitu suku kaum Red Dao, Tay, Giay, Phu La (Xa Pho) dan paling terkenal - Hmong.

Penduduk di sini mencari rezeki melalui jualan hasil pertanian, fabrik dan kraf tangan. Mereka ini adalah etnik minoriti di Vietnam yang jarang ditemui di wilayah lain.

Di Cat Cat Village juga, ada banyak kedai menyediakan perkhidmatan menyewa pakaian tradisional suku kaum di sana. Penulis tidak melepaskan peluang menyewa pakaian tradisional itu untuk bergambar. Bagi penulis ini adalah kenangan dan pengalaman yang amat menarik. Di Cat Cat Village juga penulis berpeluang melihat pelbagai jenis barangan kraf tangan dan makanan organik yang dihasilkan sendiri oleh suku kaum tempatan.

Pada hari kedua penulis memanfaatkan peluang membeli-belah di Cho Sapa, Sapa Market bagi membeli beberapa buah tangan untuk dibawa pulang. Ada banyak barangan seperti kraf tangan, pakaian dan makanan organik. Bagaimanapun, anda perlu bijak melakukan tawar-menawar ketika urusan jual beli di sini. Jika bijak menawar sudah pasti anda akan dapat membeli barangan dengan harga cukup berbaloi.

Pada sebelah petang, penulis bersiar-siar di dataran Sapa Center yang menjadi lokasi utama orang ramai bersantai. Di sini juga terdapat persembahan kebudayaan yang diadakan pada setiap petang oleh suku kaum tempatan. Sambil menghirup kopi panas dalam suasana suhu dingin, penulis berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan itu yang amat menenangkan jiwa.

Di kawasan sekitar Sapa Center ini dihiasi bangunan ala Eropah tinggalan penjajah Perancis yang membuatkan penulis merasai seolah-olah berada di Eropah.

Pada malam kedua penulis memilih untuk menginap di Sapa Center View Hotel yang terletak betul-betul di Sapa Center. Dari hotel ini penulis boleh menyaksikan kemeriahan suasana di Sapa Center pada sebelah siang yang dipenuhi orang ramai dan keindahan cahaya lampu mempesonakan pada sebelah malam.

Selain itu, banyak lagi tempat menarik yang boleh dikunjungi di Sapa seperti Muong Hoa Valley, Tram Ton Pass, Sapa Glass Bridge, Sapa Market dan pelbagai lagi. Tiga hari dua malam yang penulis peruntukan di Sapa tidak mencukupi untuk penulis menerokai semua tempat menarik di Sapa.

Pada hari ketiga, sebaik selesai mendaftar keluar dari hotel, penulis mengambil perkhidmatan teksi untuk ke stesen bas Sapa. Kemudian penulis bertolak pulang dari Sapa menggunakan perkhidmatan 'Sleeper Bus' terus ke Lapangan Terbang Hanoi bagi mengambil pesawat untuk pulang ke Malaysia.

Sapa sememangnya lokasi percutian sesuai untuk mereka yang mencari tempat percutian tenang, nyaman dan jauh dari kesibukan kota. Keunikan di sini sukar ditemui di tempat lain pasti membuatkan anda yang berkunjung ke Sapa bakal menyimpan seribu memori. Mengembaralah walaupun hanya bersendirian kerana anda tidak akan pernah sendirian dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 8:40 AM