PENDAKIAN Gunung Seceda mengambil masa dua jam dari stesen kereta kabel.
PENDAKIAN Gunung Seceda mengambil masa dua jam dari stesen kereta kabel.
KEUNIKAN puncak Gunung Seceda yang berketinggian 2,400 meter.
KEUNIKAN puncak Gunung Seceda yang berketinggian 2,400 meter.
Muhamad Adib Haikal Awang Mansor


SETIAP kali berbicara mengenai Itali, ramai yang hanya berfikir negara itu cuma terkenal dengan bandar besar seperti Rom dan Venice selain sinonim dengan makanan piza serta spageti.

Walhal, di sisi lain, negara berkenaan sebenarnya mempunyai kawasan alam semula jadi yang tercantik di dunia, namun ia kurang diketahui dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pada 21 Jun tahun lalu, penulis mengembara ke negara terbabit secara solo selama tiga hari dua malam untuk ke kawasan pergunungan Dolomites yang terletak dalam satu wilayah di Itali.

Sebagai seorang yang suka melakukan aktiviti mendaki dan menikmati keindahan alam semula jadi, sudah tentu tempat ini menjadi sebahagian daripada senarai wajib tempat yang penulis ingin lawati. Malah, tempat berkenaan juga pernah digelar sebagai satu daripada 'syurga' kepada pendaki.

Hasil selidik, penulis juga mendapati gunung di sana mempunyai struktur unik dan menarik yang tidak dapat dilihat pada tempat lain di dunia ini. Keunikan pergunungan terbabit sedikit sebanyak menarik minat penulis berkunjung ke tempat itu.

Sebenarnya, tidak pernah terlintas di fikiran penulis suatu hari nanti impian ke tempat itu tercapai. Ini kerana banyak faktor yang membuatkan penulis sukar untuk ke sana termasuk tidak banyak informasi yang diperoleh di Internet berkenaan kemudahan, kenderaan awam dan tempat penginapan.

Bagaimanapun, dengan azam yang kuat, penulis tidak berputus asa dan terus mencari panduan dan maklumat sebanyak yang boleh untuk menjayakan impian ke Dolomites.

Sebenarnya penulis tidak ke sana dari Malaysia. Secara kebetulan penulis dihantar syarikat untuk jalani latihan dan perlu menetap di Austria selama tiga bulan bermula awal April. Jadi, penulis mengambil kesempatan ke Dolomites bermula dari Villach, Austria.

PENULIS di dalam ‘gua’ yang dibina/digali semasa Perang Dunia Pertama sebagai lorong perhubungan antara askar berlatarbelakangkan Tre Cime Di Lavaredo.
PENULIS di dalam ‘gua’ yang dibina/digali semasa Perang Dunia Pertama sebagai lorong perhubungan antara askar berlatarbelakangkan Tre Cime Di Lavaredo.

Secara ringkasnya, perjalanan penulis bermula dari Villach pada tengah malam 21 Jun tahun lalu menuju ke Bolzano/Bozen iaitu satu bandar di Itali.

Setibanya di sana, penulis terus menaiki bas bergerak menuju ke kaki gunung, Val Gardena tempat penulis mula mendaki Gunung Seceda dan bermalam di atas sana, Rifugio Firenze(Mountain Hut Firenze).

Keesokan hari, penulis turun dari Seceda dan mula bergerak ke Toblach/Dobiacco menaiki bas ke Rifugio Auronzo, tempat memulakan pendakian ke Cadini di Misurina. Selesai mendaki, penulis pulang semula ke Rifugio Auronzo untuk bermalam di situ.

Hari terakhir, penulis bermula dari 'mountain hut' yang sama, tetapi menggunakan trek yang berbeza untuk mendaki ke kawasan seterusnya iaitu Tre Cime di Lavaredo. Selesai mendaki, penulis berpatah balik ke Toblach/Dobiacco untuk menaiki kereta api pulang ke Villach, Austria.

Di kawasan pergunungan Dolomites ini sebenarnya terdapat banyak lokasi yang sangat cantik dan menarik, cuma disebabkan masa yang terhad, penulis hanya memilih untuk pergi ke tiga tempat yang agak popular iaitu Seceda, Cadini di Misurina dan Tre Cime di Lavaredo.

PENULIS bergambar berlatarbelakangkan Gunung Seceda.
PENULIS bergambar berlatarbelakangkan Gunung Seceda.

Puncak gunung di situ mempunyai struktur yang unik dan menarik. Sebagai contoh, Gunung Seceda mempunyai pembentukan geologi dan landskap yang amat unik. Formasi puncaknya yang condong memang tidak asing lagi bagi pencinta gunung-ganang dan menjadi tarikan utama setiap pelancong yang datang ke sini.

Selain itu, Tre Cime di Lavaredo, yang bermaksud Tiga Puncak Lavaredo juga mempunyai keunikannya yang tersendiri. Terdiri daripada tiga puncak yang berbentuk unik dan menarik, puncak itu sudah menjadi simbol ikonik bagi kawasan itu.

Di situ juga terdapat gua yang dibina sebagai lorong perhubungan oleh tentera Austria dan Itali semasa Perang Dunia Pertama. Tempat ini adalah bekas medan pertempuran kedua-dua negara itu dan diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Antara fakta menarik dan perkara yang unik di wilayah ini adalah tempat berkongsi nama dalam dua bahasa.

CADINI Di Misurina antara tarikan bagi pendaki yang berkunjung ke Dolomites.
CADINI Di Misurina antara tarikan bagi pendaki yang berkunjung ke Dolomites.

Hal ini kerana wilayah ini mempunyai sejarah yang menarik apabila dahulunya ia wilayah di bawah naungan Austria sebelum menjadi kawasan jajahan Itali.

Disebabkan itu juga, kawasan ini mempunyai pengaruh Austria yang kuat termasuk daripada segi budaya dan struktur pembinaan.

Bagi penulis, penduduk di sana semuanya sangat ramah dan saling bertegur sapa apabila berjumpa.

Ketika di dalam bas dan kereta api, mendaki gunung mahupun di hotel pula, penulis banyak berbual serta berkongsi pengalaman dengan pengembara dari negara lain.

TRE Cime Di Lavaredo yang membawa maksud Tiga Puncak Lavaredo.
TRE Cime Di Lavaredo yang membawa maksud Tiga Puncak Lavaredo.

Sepanjang berada di sana antara cabaran yang dihadapi penulis adalah kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan sistem kenderaan awam di sana.

Kesilapan kecil seperti tersalah naik bas atau kereta api memang amat mudah terjadi dan perkara ini agak sukar untuk ditangani melainkan anda sudah memahami sepenuhnya bagaimana sistem berfungsi.

Selain itu, sesetengah orang di sana juga tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Halangan bahasa ini juga menjadi antara cabaran dan penggunaan aplikasi 'Google Translate' sedikit sebanyak dapat membantu penulis sekiranya perlu berkomunikasi dengan orang di sana.

Secara keseluruhannya, penulis dapat simpulkan bahawa Dolomites mempunyai keindahan alam yang unik dan sangat-sangat memukau hati. Sebagai seorang pencinta alam semula jadi, Dolomites, penulis ibaratkan seperti 'syurga' di atas dunia.

RIFUGIO Locatelli, antara ‘mountain hut’ yang dijumpai dalam perjalanan untuk melengkapkan trek mengelilingi Tre Cime
RIFUGIO Locatelli, antara ‘mountain hut’ yang dijumpai dalam perjalanan untuk melengkapkan trek mengelilingi Tre Cime

Walaupun pelbagai cabaran yang dihadapi sebelum dan semasa berada di sana, segalanya dapat dilupakan dengan mudah apabila dipukau dengan keindahan Dolomites.

Kepada anda yang berhasrat ke sana, penulis sarankan untuk membuat 'penyelidikan' terlebih dahulu mengenai destinasi yang ingin dituju kerana wilayah ini agak besar dan banyak kawasan tarikan pelancong. Rancang betul-betul perjalanan dan buat persediaan yang secukupnya!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 6:20 AM