PEMANDANGAN Perth dari Kings Park.
PEMANDANGAN Perth dari Kings Park.
Norhayati Zainal

Impian memetik dan merasai kemanisan epal yang segar dari ladang sudah lama terdetik di hati. Akhirnya kami memilih bercuti ke Perth, Australia pada April tahun lalu bersesuaian dengan musim luruh di negara terbabit.

Pengembaraan dimulakan ke ladang epal di Perth Hill. Sepanjang perjalanan ke sana, kami teruja melihat pemandangan memukau ladang epal yang sedang berbuah lebat di kiri dan kanan jalan.

Selesai sesi taklimat ringkas mengenai peraturan melawat ladang, kami diberi baldi untuk memetik buah epal. Bagaimanapun, pelawat tidak dibenarkan memetik buah sesuka hati. Ia bagi mengekalkan mutu kesegaran dan keindahan ladang, hanya epal hijau dibenarkan.

Deretan pokok berdaun kuning keemasan di satu kawasan khas di sudut ladang dan dedaun yang gugur bertaburan bagaikan hamparan permaidani indah adalah sebahagian tarikan pelancong ke ladang itu.

Selain epal, ada pelbagai tanaman lain seperti cili, labu, terung, tomato dan pir yang semuanya boleh dibeli segar di situ dengan harga berpatutan.

TERUJA dapat penuhi impian memetik buah epal.
TERUJA dapat penuhi impian memetik buah epal.

Keesokan hari, seawal jam 7.30 pagi kami bertolak ke Pinnacles-Nambung National Park di utara Perth yang mengambil masa selama tiga jam dengan memandu kereta.

Kali ini, kami dihidangkan pelbagai jenis kaktus, rumput savanah dan tumbuhan lain di padang pasir. Banyak papan tanda di sepanjang jalan, mengingatkan pemandu supaya berhati-hati memandu kerana banyak kanggaru liar yang melintas secara tiba-tiba.

Kehadiran kami di Pinnacles disambut lalat yang suka hinggap di muka. Menurut pemandu pelancong, kehadiran lalat akan lebih banyak sekali ganda pada musim panas.

Landskap di sini sangat unik kerana terdapat sebuah padang pasir berwarna kuning dipenuhi formasi batu kapur berasal daripada cengkerang melalui proses luluhawa, pemendapan dan hakisan yang terbentuk secara semula jadi sejak ribuan tahun lalu.

Batu-batan berwarna kuning seperti melihat stalaktit atau stalagmit di dalam gua yang diterbalikkan. Kami kagum melihat fenomena alam yang sangat menakjubkan ini.

BATU-batan berwarna kuning seperti melihat stalaktit atau stalagmit di dalam gua yang diterbalikkan di Pinnacles.
BATU-batan berwarna kuning seperti melihat stalaktit atau stalagmit di dalam gua yang diterbalikkan di Pinnacles.

Selesai makan dan solat, kami dibawa ke Lancelin Sand Dunes, iaitu sebuah padang pasir boleh dijelajahi dengan berjalan atau menaiki ATV yang disewa.

Pengembaraan kami bermula dengan menaiki 4 x 4 'bus tour' di sekitar padang pasir ke beberapa tempat menarik yang berlatarbelakangkan Lautan Hindi sebelum dibawa meluncur pasir (sand boarding).

Keesokan harinya, kami dibawa melihat arca seni, Rainbow Sea Container di sebuah bandar pelabuhan, Fremantle yang dibina oleh Marcus Canning pada 2016 menggunakan kontena yang disusun secara melengkung dan dicat warna-warni seperti pelangi.

Selesai bergambar, kami berjalan di sekitar dermaga, melihat kapal berlabuh dan camar laut berterbangan sebelum membeli-belah di Fremantle Central Markets yang dibina pada 1897.

Di sini juga terdapat banyak bangunan memiliki seni bina lama yang menarik untuk dilawati seperti Fremantle Arts Centre, penjara lama dan Round House.

Selesai makan tengah hari di restoran Hawi Charcoal di Mirrabooka, kami terserempak dengan pelakon Zainol Macwilson dan sempat bergambar dengannya yang juga memiliki inap desa di Perth.

Selepas itu, kami ke Crawley Edge Boatshed/Blue House dibina pada 1940. Uniknya rumah bot yang juga ikon Perth, dibina agak ke tengah Sungai Swan, lalu dihubungkan dengan jeti kayu dari daratan. Berbeza dengan bangsal lain yang lazimnya dibina di tepian sungai. Menurut pemandu pelancong tidak sah jika ke Perth tidak mengambil gambar sebagai kenangan di situ.

Kami kemudian ke Taman Botani Kings Park yang menempatkan memorial perang dan tugu peringatan.

MELUNCUR pasir di Lancelin Sand Dunes.
MELUNCUR pasir di Lancelin Sand Dunes.

Pemandangan bandar Perth yang dikelilingi Sungai Swan dan langit yang membiru benar-benar memberi ketenangan di hati.

Tambah menarik terdapat pokok tua yang berusia 750 tahun yang bernilai tinggi dan dipelihara dengan baik. Selain itu, ada pelbagai jenis bunga, flora dan fauna menjadikan ia sesuai untuk aktiviti berkelah serta bersiar-siar.

Seterusnya kami dibawa ke Caversham Wildlife Park. Di sini kami berpeluang memberi makan kepada kanggaru dan bergambar dengan emu, wombat, koala serta burung kakaktua.

Kemudian kami menyaksikan pertunjukan cara peladang menunggang kuda ketika menggembala dan menghalau biri-biri masuk kandang, memerah susu lembu, menyusukan biri-biri, mengetam bulu biri-biri dan tambah menarik, persembahan itu diselang-seli dengan lawak jenaka serta penyertaan penonton terutama kanak-kanak.

Bagi peminat kereta antik pula, anda boleh mengunjungi Motor Museum berhampiran zoo dengan tiket berharga AU$15 (kira-kira RM44) untuk dewasa.

Kami akhiri pengembaraan dengan membeli ole-ole di syarikat coklat tertua di Australia, Whistlers Chocolate dan House of Honey untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Keesokan pagi, kami berangkat pulang ke Malaysia membawa bersama kenangan manis sepanjang berada di Perth yang memang sangat sesuai untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Bak kata seorang kawan, jika ingin ke negara orang putih yang paling dekat dan murah, Perth adalah tempatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 7:01 AM