FREMANTLE Harbour menempatkan bot.
FREMANTLE Harbour menempatkan bot.
Teks dan foto Nazirah Dzulkefli


SATU daripada senarai 'bucket list' penulis ialah ingin merasai pengalaman beraya di luar negara. Rasanya tidak keterlaluan kerana penulis turut mengimpikan impian melanjutkan pelajaran ke luar negara. Satu tabiat unik sehingga hari ini ialah gemar melihat kiriman ucapan perantau dalam akhbar.

Atas alasan itu juga penulis memilih beraya di Perth, Australia pada 2019. Penulis sengaja memilih untuk terbang ke negara kanggaru itu pada Jun dan bertolak sehari sebelum raya untuk menjayakan impian itu.

Kebetulan mengenali orang tempatan berketurunan Melayu Singapura yang dikenali sebagai Kak Zuraini menerusi rakan, saya menghubungi beliau dengan meluahkan hasrat meraikan hari lebaran di sana.

Sebenarnya dalam hati ada rasa bimbang kerana ramai kenalan memaklumkan untuk terbang ke Perth agak susah berikutan ramai rakyat Malaysia terbang ke sana untuk bekerja secara haram.

Jadi, bagi mengelak sebarang konflik saya sediakan surat pengesahan jawatan untuk menyatakan saya hanya bercuti dan mempunyai kerjaya stabil Malaysia.

Berdebar juga kerana ini pengalaman melancong secara solo tanpa ada kenalan. Apatah lagi debaran bakal meraikan Aidilfitri di luar negara bersama orang asing, tetapi saya anggap semua itu pengalaman dilalui sekali seumur hidup.

Dalam penerbangan ke Perth juga saya merasai pengalaman bersahur dalam kabin dan sebaik tiba sekitar jam 5 pagi di lapangan terbang, saya terus letak bagasi di hostel tempat menginap sebelum mengambil peluang berjalan-jalan di bandar.

Percutian kali ini juga kebetulan jatuh pada musim sejuk jadi saya mengambil kesempatan membeli baju yang sesuai. Saya tidak memakai baju tebal sebaliknya hanya mengenakan selapis baju panas ketika mengelilingi bandar waktu itu.

Saya sempat melewati pusat beli-belah, Open Mall selain turut singgah ke Perpustakaan Wellington untuk mengecas bateri telefon. Bagi saya bandar Perth tidaklah sesibuk Kuala Lumpur sebaliknya persekitaran di situ lebih tenang dan damai.

Bagi anda yang melancong secara solo, Perth antara bandar selamat selain kemudahan pengangkutan sangat efisien membolehkan anda merancang jadual aktiviti percutian dengan tepat. Ini kerana pengangkutan baik kereta api atau bas semuanya saling berhubung dan menggunakan aplikasi khas.

Perjalanan hari kedua diteruskan dengan pengalaman beraya apabila Kak Zuraini menjemput saya dari hostel dan kami pergi ke masjid komuniti Islam di Perth. Tidak banyak bezanya cara umat Islam terutama Melayu di sini beraya.

Mereka mengenakan baju raya tradisi masing-masing. Di masjid perasaan sedikit berbeza kerana orang Muslim di sini terdiri daripada pelbagai negara dan bangsa selain Arab serta mualaf.

Usai solat Aidilfitri, saya bersama Kak Zuraini pulang ke rumahnya. Bercerita mengenai rumah Kak Zuraini, memang cantik seperti sering saya lihat dekorasi atau gaya rumah orang Inggeris atau Eropah.

Bukan itu saja persekitaran rumahnya sangat tenang kerana terletak di pinggir kota selain dia tinggal bersama keluarga termasuk ibunya.

MASJID Al Majid tempat penulis menunaikan solat sunat Aidilfitri.
MASJID Al Majid tempat penulis menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Kak Zuraini dilahirkan di Australia dan mendapat status pemastautin tetap kerana ibu serta bapanya sudah lama berhijrah ke Perth dari Singapura. Namun begitu tidak bermakna keluarga Kak Zuraini lupa susur galur Melayunya.

Dari segi juadah di rumahnya pula saya dapati sama dengan menu di Malaysia ketika meraikan Aidilfitri. Ada nasi himpit, rendang dan pelbagai jenis biskut raya. Semua berkumpul menikmati juadah bersama keluarga.

Malah saya sempat ikut Kak Zuraini beraya di rumah ibu mentuanya. Meskipun rasa janggal pada mulanya, tetapi cepat selesa kerana mereka begitu mesra meraikan saya dengan pelbagai juadah raya bersama jiran dan kenalan.

Paling unik, mereka turut meraikan raya dengan menonton program raya dari Malaysia. Pendek kata mereka ada kabel khas yang membolehkan mereka menikmati saluran televisyen dari Malaysia.

Jadual aktiviti percutian hari ketiga diteruskan dengan perjalanan ke The Pinnacles iaitu antara tarikan yang terdapat di Taman Negara Nambung. Kunjungan ke lokasi berkenaan menggunakan khidmat pakej pelancongan yang saya tempah ketika di Malaysia lagi.

Menarik mengenai kawasan ini ialah ada pelbagai batu kapur yang terbentuk secara semula jadi hasil hakisan ribuan tahun. Di kawasan itu juga terdapat hutan tempat kanggaru dan koala tinggal dalam habitat liar.

Anda yang bercadang ke destinasi itu perlu mengenakan kaca mata kerana keadaan angin bertiup kencang boleh menimbulkan rasa kurang selesa pada mata. Selain menikmati pemandangan batu unik, aktiviti gelongsor pasir atau 'sand boarding' boleh dilakukan di sini.

PENULIS juga ambil peluang mencuba aktiviti luncur pasir.
PENULIS juga ambil peluang mencuba aktiviti luncur pasir.

Pengalaman tidak dapat dilupakan ketika berada di destinasi itu apabila ada ahli rombongan membabitkan satu keluarga berbangsa Cina dari Singapura kehilangan telefon bimbit.

Menurut pemandu pelancong yang membawa kami ke kawasan itu, untuk temui kembali telefon bimbit yang tertimbus di dalam pasir sangat sukar. Ajaibnya ia ditemui oleh kumpulan rombongan lain!

Hari berikutnya diteruskan dengan mengunjungi sekitar bandar Fremantle. Selain menghabiskan masa bersantai di pantai, saya turut mengunjungi pelabuhan nelayan dan tarikan popular iaitu Rainbow Container serta menikmati sajian popular iaitu 'fish and chips'. Pada masa sama mengunjungi pasar dan kedai

Chemist Warehouse Cannington yang popular kerana menjual minyak wangi murah.

Tidak hanya memborong minyak wangi dan produk kecantikan saja malah saya turut bawa pulang produk pastri iaitu strudel epal yang cukup terkenal di Perth.

Walaupun pada mulanya berdepan dugaan iaitu kedai menjual strudel epal tutup pada Ahad, saya gigihkan diri membeli di pasar raya lain yang lebih jauh.

Sebelum pulang, saya turut berkesempatan menghadiri jamuan rumah terbuka selain merakam kenangan di Wellington University iaitu antara lokasi yang menjadi impian saya untuk belajar satu ketika dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 7:00 AM