SHUNSUKE ketika acara penutup Isuzu Smoother Drive 2024 di Shah Alam.
SHUNSUKE ketika acara penutup Isuzu Smoother Drive 2024 di Shah Alam.

PROGRAM tanggungjawab sosial korporat (CSR) Isuzu Malaysia menerusi 'ISUZU Smoother Drive 2024' melabuhkan tirainya baru-baru ini selepas selesai melakukannya dari 11 Mac hingga 29 Mac lalu.

Ia mencatatkan jarak perjalanan keseluruhan 3,554 kilometer (km) yang berakhir di Pusat Isuzu Shah Alam yang melibatkan 11 unit trak jenama itu ke seluruh Semenanjung Malaysia dan sebahagian kawasan di Sabah serta Sarawak.

Program ini bertujuan menyerahkan sumbangan kepada komuniti kurang bernasib baik disertai oleh 23 pengedar yang mengambil bahagian di 26 lokasi yang melibatkan sumbangan seperti barangan keperluan harian, makanan dan minuman, pakaian daripada pelanggan, kakitangan, pengedar serta orang ramai.

Di Semenanjung Malaysia, enam trak yang terdiri daripada dua unit trak tugas sederhana Euro 5 FVR Smoother AMT dan empat unit trak tugas ringan Euro 4 ELF Smoother AMT memulakan perjalanan dari kilang pemasangan Isuzu Hicom Malaysia (IHM) di Pekan, Pahang.

Sepanjang tempoh 19 hari program ini berlangsung, trak berkenaan perlu tiba di setiap pengedar yang mengambil bahagian pada tarikh yang telah ditetapkan.

Ia kemudian ditugaskan mengambil barangan sumbangan dan menghantarnya ke rumah kebajikan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik, golongan kurang upaya dan warga emas di setiap lokasi terbabit.

Selepas menghantar sumbangan ke rumah kebajikan, trak itu akan pulang semula ke pengedar untuk acara pameran dan majlis berbuka puasa sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan serta orang ramai atas sokongan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata sangat berbesar hati mengetahui program 'ISUZU Smoother Drive 2024' mampu memberi manfaat kepada sebegitu banyak rumah kebajikan di Malaysia.

"Kami juga menggerakkan trak FVR Smoother AMT dan ELF Smoother AMT yang baharu dilancarkan untuk melaksanakan program ini dan berharap inisiatif ini akan dapat meringankan beban rumah kebajikan dan menaikkan semangat mereka terutama pada musim perayaan yang bakal tiba.

"Sebagai jenama trak popular di Malaysia, Isuzu komited untuk memastikan usaha kami merangkumi spektrum yang lebih luas dalam mencipta kehidupan lebih baik serta sentiasa memberi kepuasan kepada pelanggan menerusi penyelesaian trak yang boleh dipercayai untuk meningkatkan aspek kelestarian sehinggalah membuat perubahan sosial yang mampu

menambah baik kehidupan orang lain di sekeliling kita," katanya.

Kedua-dua model trak FVR Smoother dan ELF Euro 4 dilancarkan ke pasaran Malaysia pada awal Mac lalu sebagai maklum balas terhadap perubahan industri dan landskap alam sekitar yang memerlukan jentera lebih cekap dan prestasi yang seimbang di antara emisi lebih bersih dan kemapanan.

Sebagai tambahan, Isuzu Malaysia kini menawarkan rangkaian penuh trak tugas ringan hinggalah prime mover yang dilengkapi teknologi Smoother AMT.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 6:51 AM