HIMPUNAN Lamborghini terbesar di tanah tinggi.
HIMPUNAN Lamborghini terbesar di tanah tinggi.
Lizam Ridzuan


KELAB Pemilik Lamborghini Malaysia (LOM) berjaya mengadakan perhimpunan terbesar di negara ini yang diadakan di Genting HIghands, Pahang.

Lebih 168 kereta sports Lamborghini mengambil bahagian dalam aktiviti itu pada ketinggian 1,865 meter dari aras laut yang mencatatkan Malaysia Book of Records (MBR) di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LOM, Datuk Roslan Rosdi berkata, pemilik mula berkumpul sekitar jam 10.38 pagi hingga 12.38 tengah hari pada hari acara berlangsung di hadapan bangunan ikonik hotel Resorts World Genting dan ia mencatatkan sejarah tersendiri.

"Percubaan mencatatkan rekod terbaharu kelab ini mencerminkan akan pemikiran bertaraf global serta usaha sama yang dijalinkan bersama pemilik jentera mewah dari Itali itu bagi menjayakan acara ini.

"Pencapaian ini juga berjaya mencatatkan rekod dunia baharu kerana perhimpunan yang besar di tanah tinggi tidak pernah diadakan sebelum ini dan kami berbesar hati kerana berjaya melakukannya," katanya.

Beliau juga berkata, perhimpunan dan aktiviti seperti itu juga menaikkan nama Malaysia di persada dunia selain menonjolkan keazaman yang tinggi dalam kalangan pemilik.

Selain itu, di lokasi acara turut dipamerkan traktor Lamborghini yang diapit dua model GT Lamborghini sebagai satu daya tarikan dan unik.

Program pada hari itu dengan pemilik Lamborghini memulakan pemanduan dari Gunung Ulu Kali melalui jalan selekoh dan berkumpul di Kuil Chin Swee sebelum meneruskan pemanduan ke puncak Genting.

Antara model unik dan 'rare' yang ada dalam acara ini seperti Murcielago, Aventador SVJ dan kenderaan utiiti sukan (SUV), Urus.

Pengarah Pemanduan LOM, Datuk Bernard Teo berkata, acara itu sebagai kesinambungan program yang pernah dilakukan sebelum ini di Kuala Lumpur dengan lebih 112 Lamborghini yang hadir yang turut mencatatkan MBR pada 2022.

"Kali ini kami mahu tampilkan kelainan dengan ke tanah tinggi di Genting Highlands yang berjaya mencatatkan satu lagi rekod untuk disimpan sebagai kenangan dan pencapaian kelab," katanya.

Turut hadir ketika acara ialan Naib Presiden Resort World Genting, Winnie Lim.

Selepas selesai capaian rekod, aktiviti LOM diteruskan dengan majlis makan malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting dengan tema 'The Bulls Night'.

Ada pelbagai aktiviti diadakan seperti hiburan, tarian daripada penari Istana Budaya, pertunjukan fesyen serta pesembahan penyanyi terkenal, Datuk Zainal Abidin.

Ditubuhkkan pada 2014, LOM bermula dengan 50 ahli berdaftar dan kini lebih 210 ahli secara keseluruhan dan mereka juga aktif dengan aktiviti amal serta sering menyumbang kepada pihak yang memerlukan, rumah anak yatim dan orang tua di serata negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 6:55 AM