SERLAH gaya maskulin.
SERLAH gaya maskulin.
Lizam Ridzuan

Lebih 137 Ford Mustang dan pemilik kenderaan sport coupe berkumpul di Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Kelab Mustang Malaysia, ia diiktiraf sebagai perhimpunan terbesar kereta jenama berkenaan di negara ini seterusnya mencatatkan rekod baharu dalam Malaysia Book of Records.

Kelab yang ditubuhkan pada 2018 itu kini mempunyai 245 ahli berdaftar yang tujuan asalnya berkongsi maklumat berkaitan kenderaan ikonik maskulin Amerika Syarikat itu.

Presidennya, Alfred CK Joseph berkata, selain sebagai platform menggalakkan pemanduan berhemah, ia juga dapat memupuk semangat keharmonian kaum melalui minat yang sama terhadap kereta.

"Kami rasa teruja dapat bersama-sama mencipta sejarah untuk kelab yang semakin berkembang ini. Ia adalah hasil kerjasama ahli yang menjayakannya," katanya.

HIMPUNAN kereta dan pemilik Ford Mustang.
HIMPUNAN kereta dan pemilik Ford Mustang.

Sijil pengiktirafan disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Christopher Wong.

Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion sebagai pengedar utama Ford di negara ini, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, pihaknya akan sentiasa menyokong aktiviti anjuran pemilik Ford di negara ini.

"Ia adalah kejayaan yang besar buat mereka dan rasa berbangga atas komitmen dan sokongan diberikan setiap ahli untuk mencipta rekod baharu itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 6:33 AM