OSOT (tengah) menyampaikan piala kejuaraan kepada pasukan PSM Perlis.
OSOT (tengah) menyampaikan piala kejuaraan kepada pasukan PSM Perlis.
Oleh Azahar Hashim

Kulim: Persatuan Siam Malaysia (PSM) Perlis muncul juara apabila menang tipis 1-0 ke atas PSM Padang Terap pada kejohanan bola sepak Piala Presiden Persatuan Siam Malaysia edisi ketiga di Stadium Mini Keladi, baru-baru ini.

Selaku johan, PSM Perlis membawa pulang piala pusingan dan pingat manakala pemain terbaik kejohanan menjadi milik pemain mereka iaitu Phul Sakh Lom.

Tempat ketiga dimenangi PSM Pulau Pinang manakala tempat keempat menjadi milik PSM Pusat.

Juara bertahan PSM Pendang gagal mempertahankan kejuaraan mereka apabila tidak layak ke separuh akhir.

Presiden PSM Osot Prayun berkata, kejohanan itu berjaya menggilap bakat muda hingga ada beberapa pemain pernah beraksi untuk pasukan negeri seperti Sakh Lom, Adrian Jurad Chamrong dan Samrasak Kram, selain Tha Nuk Tha Nin yang menjadi antara 12 peserta Mencari Ramli musim keempat.

Menurutnya, kejohanan itu juga dianggap sebagai landasan buat kelab bola sepak mengesan bakat baru untuk menyertai pasukan mereka jika berkelayakan.

“Di samping mencungkil bakat baru, ia juga dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat keturunan Siam di negara ini. Selain bola sepak, kami turut mengadakan perlawanan badminton, futsal dan bola tampar,” katanya.

Turut hadir Penasihat PSM Niran Tan Kran yang juga Hakim Mahkamah Seksyen Kulim; Setiausaha Agung PSM Raemorn Verak dan pengurus kejohanan Pala Murgu Vipharat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 8:45 AM