SHAHID menyerahkan Rekod Dunia Guinness kepada Natasha, sambil disaksikan Hans Isaac dan Greg Engeler semasa pelancaran Bahan Api Breaking Record Caltex di One World Hotel, Bandar Utama. Foto Aziah Azmee
SHAHID menyerahkan Rekod Dunia Guinness kepada Natasha, sambil disaksikan Hans Isaac dan Greg Engeler semasa pelancaran Bahan Api Breaking Record Caltex di One World Hotel, Bandar Utama. Foto Aziah Azmee
Lizam Ridzuan


CALTEX melalui Chevron Malaysia Limited berjaya mencipta Rekod Dunia Guinness di mana penggunaan bahan api Premium 95 dengan Techron berjaya mencatatkan rekod baru pemanduan dalam aksi yang dilakukan di Thailand, baru-baru ini

Pengerusi Negaranya, Shahid Ahmed berkata, rekod pendakian terpantas yang pertama di jalan berbukit Doi Chang itu dilakukan oleh Natasha Chang, pelumba profesional dari Jamaica yang kini tinggal di Amerika Syarikat.

“Kami menggunakan kereta berusia 28 tahun yang diisi bahan api Caltex dengan Techron melalui kawasan berketinggian 1,000 meter dari paras laut sejauh lapan kilometer (km) yang menyaksikan Natasha mencatatkan masa 6 minit 52.69 saat,” katanya pada majlis pengumuman rekod berkenaan di Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama, Rakan Selebriti Caltex Malaysia, Datuk Hans Isaac; Natasha Chang serta Pengurus Kejuruteraan Produk Caltex Asia Pasifik, Greg Engeler.

Aksi berkenaan yang mendapat liputan National Geographic menerusi program ‘Record Rides’ turut menampilkan hos televisyen KC Montero yang bersaing dan mencatatkan masa sekitar 7 minit 30 saat.

Melalui penarafan ini, Caltex membuktikan bahan apinya dengan formulasi aditif Techron membantu melindungi enjin dan dalam masa sama memastikan prestasi serta kelancaran pada tahap maksimum.

“Petrol yang kami gunakan ketika mencatat rekod dunia adalah sama seperti yang terdapat di stesen petrol Caltex yang menawarkan Premium 95 dan 97 dengan Techron.

“Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pengguna untuk merasai pengalaman pemanduan berbeza menggunakan bahan api berkenaan,” katanya.

Chevron Malaysia Limited yang beroperasi 80 tahun di negara ini mengendalikan 420 stesen petrol Caltex di seluruh semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 7:30 PM