PANDU uji smart #1 ke Pulau Pinang.
PANDU uji smart #1 ke Pulau Pinang.

Kenderaan elektrik (EV) untuk perjalanan jauh sememangnya sangat mencabar terutama jika memikirkan kebimbangan jarak dan lokasi pengecasan.

Untuk itu satu pandu uji media 'The Long Media Drive 2024' model smart #1 diadakan baru-baru ini dari Subang Jaya menuju ke Pulau Pinang yang dianjurkan oleh pengedar utama jenama itu, Pro-Net (smart Malaysia).

Model ini dilancarkan sejak November tahun lalu menerusi tiga varian iaitu Pro dan untuk pandu uji ini media disediakan dengan Premium (motor tunggal) dan Brabus (dwi-motor).

Aktiviti media dimulakan dengan Pengalaman Pemanduan Dinamik yang diadakan di litar go kart di USJ dengan beberapa aktiviti disediakan.

Antaranya seperti pecutan dan membrek, selekoh, slalom, menukar lorong dan pengalaman mencuba teknologi Bantuan Parkir.

Selesai itu, konvoi bergerak dengan tiga media di dalam satu kenderaan dan penulis memulakan pemanduan dengan varian Premium terlebih dahulu.

Secara ringkasnya model ini tampil gaya ranggi untuk luaran dan dalaman dan berada di dalam kabinnya juga selesa untuk kami bertiga.

Menerusi varian Premium ia dijana dengan motor elektrik pada bahagian belakang yang menawarkan kuasa 272PS dan tork 343Nm.

Ketika memulakan perjalanan menerusi kuasa yang dibekalkan daripada bateri lithium-nickel 66kWj (untuk varian Pro 49kWj dengan jarak perjalanan 315 kilometer (km)) ia mampu mencapai jarak sehingga 440 km (WLTP) dengan satu pengecasan penuh.

Setiap media sudah diberi senarai untuk berhenti mengecas di beberapa lokasi sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang dan kami mengambil keputusan untuk singgah di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Bukit Gantang di stesen Caltex yang menyediakan pengecasan aliran terus (DC) 50kW dan aliran ulang-alik (AC) 20kW.

SALAH satu lokasi pengecasan ke utara.
SALAH satu lokasi pengecasan ke utara.

Kami mengambil masa sekitar 30 minit untuk pengecasan DC dari 26 peratus bateri ke 56 peratus dengan kos sekitar RM33.07 sebelum menyambung perjalanan terus ke Pulau Pinang dan setibanya di sana masih ada berbaki lebih 100 km dengan penggunaan tenaga sekitar 14.3 kwj untuk setiap 100km.

Kebetulan kami diberi cabaran penggunaan kW paling efisien untuk dipilih sebagai pemenang maka ia adalah pemanduan yang berhemah kerana bukan kelajuan tertinggi ingin dicapai tetapi lebih kepada jarak capaian.

Catatan terbaik dicatatkan ialah 14.0 kwj untuk varian Premium dan Brabus 16.2 kWj untuk setiap 100 km.

Keesokan harinya kami berpeluang memandu pulang varian Brabus pacuan semua roda (AWD) yang lebih berkuasa namun jarak perbatuan lebih kurang berbanding Premium.

Selepas bergerak dari hotel di Telok Bahang dan ke salah satu pengedar smart di sana, kami meneruskan perjalanan dengan bateri hampir 100 peratus namun jarak perjalanan dan ingin cuba kuasa pecutannnya maka sudah pasti mengambill lebih kuasa bateri dan memutuskan untuk berhenti mengecas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Tapah menggunakan pengecas AC 13.545 kWj selama 50 minit dengan kos sekitar RM10.60.

Setibanya di Ulu Bernam kami melakukan sekali lagi pengecasan dengan baki bateri 6 peratus tidak memungkinkan kami boleh tiba di Pusat Kecemerlangan Proton (COE), Subang Jaya yang juga menempatkan ibu pejabat smart Malaysia.

Menerusi pengecas DC 60.458kWj selama hampir satu jam membolehkan bateri mencapai sehingga 94 peratus dengan kos sekitar RM96.13 dan sangat mencukupi untuk sampai ke COE yang hanya berjarak 80km dari sana.

Melalui pengalaman kami memandu EV model ini terutama Brabus meskipun dengan pacuan semua roda dwi-motor ia memakan masa lebih lama seperti contoh kami bergerak dari Pulau Pinang dari jam 1 tengah hari dan tiba di Subang Jaya sekitar 9 malam.

Apabila menggunakan sepenuhnya tenaga maka sudah pasti kuasa baterinya akan lebih cepat dikerah dan perlu berhenti dua kali untuk pengecasan.

RUANG kabin smart #1 Premium.
RUANG kabin smart #1 Premium.

Untuk ciri lain smart #1 dengan ruang kabin dengan konsep T pada papan pemuka dengan sistem infotainmen bersaiz 12.8 inci dengan pelbagai maklumat dan fungsi serta untuk pemandu dengan meter 9.2 inci serta didatangkan head-up display.

Varian Premium juga dengan sistem pengecasan tanpa wayar, sistem 13 pembesar suara Beat, kerusi balutan kulit larasan elektrik hadapan serta lampu suasana.

Menambah elemen praktikal ruang kargo dengan kapasiti 323 liter hingga 411 liter dan sekiranya kerusi belakang dijatuhkan ia mampu menambah ruang sehingga 986 liter.

Secara keseluruhannya smart #1 adalah model EV hasil kerjasama syarikat Geely dan Mercedes-Benz.

Ia menawarkan ciri teknologi yang lebih moden sesuai buat golongan sasarnya iaitu eksekutif muda yang aktif dan bergaya.

Untuk perjalanan jauh juga boleh dilakukan cuma perlu merancang dengan lebih baik lokasi pengecasan dengan aplikasi Hello smart yang mencadangkan lokasi yang bersesuaian sepanjang perjalanan.

Buat pemanduan dalam bandar adalah lebih ideal kerana saiznya yang kompak membolehkan ia mudah melalui kawasan dan parkir yang sempit.

Buat masa ini kebanyakan pemilik EV adalah yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan bagi disesuaikan dengan tujuan dan lokasi pemanduan.

Kos pengecasan yang kami gunakan pada tempoh dua hari itu adalah sekitar RM140 (tidak termasuk kos caj di hotel yang mana tiada data). Masa perjalanan ke Pulau Pinang sekitar 7 ke 8 jam sehala.

MEDIA permotoran tempatan yang menyertai sesi pandu uji.
MEDIA permotoran tempatan yang menyertai sesi pandu uji.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 6:49 AM