LEBIH 350 motosikal sertai konvoi.
LEBIH 350 motosikal sertai konvoi.
Lizam Ridzuan


SETIAP negeri kini sudah mula menganjurkan aktiviti permotoran utama sebagai satu tarikan untuk peminat dua roda berkunjung ke negeri berkenaan.

Terbaharu ialah menerusi Perak Bike Week 2023 (PBW23) yang diadakan pada 29 Disember 2023 sehingga 1 Januari lalu di Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah yang menarik lebih 25,000 peminat dua roda.

Anjuran Royal Enfield Perak Owner Club (REPOC), ia juga penganjuran kali pertama untuk kelab itu serta permulaan tahun baharu dengan pelbagai lagi aktiviti permotoran menarik sepanjang tahun.

Sebelum itu PBW pernah diadakan di Taiping pada 2013 dan Ipoh pada 2017.

Presiden REPOC, Lukman Hakim berkata penganjuran acara ini sebagai platform bagi mengumpulkan peminat motosikal daripada pelbagai lapisan masyarakat serta menampilkan keunikan penggiat motosikal negeri Perak.

"Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti reruai jualan motosikal berkuasa tinggi daripada jenama Royal Enfield, Triumph, Aprilia, Vespa dan Piaggio serta pameran motosikal 'kustom' Rusty Garage antara yang menjadi tarikan ramai," katanya.

Pelancaran PBW23 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata pihaknya akan menyokong penuh acara sebegini pada masa hadapan.

SINGGAH di Kellie’s Castle.
SINGGAH di Kellie’s Castle.

Acara kemuncak ialah Heritage Ride of Perak dengan konvoi lebih 350 motosikal ke lokasi tumpuan pelancongan sekitar Batu Gajah seperti kapal korek TT5 dan Kellie's Castle.

Ia turut disertai oleh Pengarah Pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Mohd Nizam Mokhtar serta pemilik motosikal dari serata negara yang hadir bagi memeriahkan acara PBW23 itu.

Selain aktiviti penuh permotoran juga diadakan persembahan artis tempatan seperti Izzue Islam, Kumpulan Headwind, Naqiu dan Epol Roza (Drama Band) serta lebih 50 reruai jualan makanan dan minuman dan cabutan bertuah juga diadakan untuk memeriahkan acara.

Turut diadakan ialah aktiviti Perak Berselawat oleh Datuk Kazim Elias, Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 Peringkat Negeri Perak di sana.

Tampil lebih unik dengan tayangan wayang pacak filem Allahyarham Mamat Khalid yang sememangnya rapat dengan suasana dan hati rakyat negeri Perak.

Lukman berkata PBW23 bukan sekadar memeriahkan kalendar permotoran negara tapi pada masa sama melihatkankan potensi pelancongan di negeri itu seiring dengan Tahun Melawat Perak 2024.

Menerusi sokongan peminat, pemilik dan pengeluar motosikal, syarikat swasta dan kerajaan negeri, acara ini diharap dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri dan menarik lebih ramai peminat menunggang di Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 6:30 AM