ZAMARI merencanakan pendekatan terbaik untuk memastikan Kellie’s Catle menjadi antara  tarikan pelancong di Perak.
ZAMARI merencanakan pendekatan terbaik untuk memastikan Kellie’s Catle menjadi antara tarikan pelancong di Perak.
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Batu Gajah: Biarpun mempunyai sejarah pembinaan seakan kisah cinta Shah Jahan, Kellie's Castle memiliki daya tarikan tersendiri kerana dipercayai wujud entiti mistik di dalamnya sekali gus punyai unsur dark tourism.

Sebelum ia dibanjiri pelancong seperti yang boleh dilihat hari ini, rumah agam berusia lebih sedekad itu juga pernah terbiar sehingga sekitar 2012, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menaik taraf persekitaran bangunan dengan kompleks, ruang parkir dan mini teater.

Pengurusan operasi bangunan yang menjadi lambang kasih William Kellie-Smith kepada isterinya, Agnes ditugaskan kepada syarikat operator tempatan.

Berkongsi pengalaman ketika mengambil alih lokasi bersejarah itu, Pengarah Urusan, Zamari Muhyi berkata, pihaknya perlu merencanakan pendekatan terbaik supaya Kellie's Castle sentiasa dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.

"Orang ramai tertanya-tanya mengenai apa ada dalam Kellie's Castle. Mereka mahu tahu sejarah, tapi sisi itu sahaja tak selamanya dapat tarik minat pengunjung.

"Seni binanya cantik dan unik, antara bangunan tidak menggunakan paku. Tapi, saya fikir dua perkara ini saja tak cukup untuk menggamit orang ramai, ia masih perlukan daya pasaran.

"Orang banyak bercerita Kellie's Castle ini ada hantu. Pada saya, ini bagus kerana apa sahaja perkara orang tak suka atau banyak pendapat, kadang-kadang boleh ditukar kepada peluang," katanya.

Jelasnya, pada 2015, pihaknya cuba mencari entiti dikatakan wujud di beberapa lokasi di dalam rumah agam bersama sebuah syarikat penyiaran ternama tempatan dan berlaku insiden mistik dirakam kamera.

"Bermula dari itulah, kami perkenalkan paranormal night tour secara terkawal selama dua tahun yang dijalankan setiap hujung minggu. Bagi setiap sesi, lapan hingga 10 pengunjung diberi penerangan sebelum mereka ditinggalkan di beberapa lokasi hotspot dalam Kellie's Castle selama lapan hingga 15 minit.

"Sejak pakej itu diperkenalkan Kellie's Castle mendapat tumpuan ramai. Ada peserta yang kena tarik baju, bisik di telinga, ada kena peluk dan tampar pun.

"Kami tak jual hantu, kami tawar pengalaman mistik kepada anda yang berminat untuk merasai dalam bentuk terkawal. Mereka yang tertarik namun tak berani datang malam, boleh datang pada siang sewaktu masa operasi rasmi iaitu setiap hari bermula jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang," katanya.

Bercerita lanjut, Zamari berkata, pada Oktober 2018 pula, pihaknya membuka Kellie's Castle kepada pengunjung untuk masuk pada waktu malam pada jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam dengan pengunjung berjalan sendiri dan tiada had kemasukan.

Bagi Oktober itu sahaja, katanya, seramai 4,000 pelancong direkodkan.

Menurut beliau, cabaran dihadapi pihaknya dalam mengurus Kellie's Castle adalah up and down jumlah pengunjung lebih-lebih lagi pasca Covid-19 ini kerana kurangnya nilai 'keterujaan' (excitement).

Jelasnya, sebagai operator lokasi pelancongan, beliau perlu kreatif memikirkan perkara boleh dilakukan seterusnya untuk memastikan orang ramai tidak melupakan bangunan berkenaan apabila melawat Perak.

"Atas permintaan kami terima, kami merancang untuk mengadakan pakej sleep in the castle setiap hujung minggu Oktober ini di mana kemasukan diterhadkan kepada lapan hingga 10 orang pengunjung setiap malam.

"Peserta diberi penerangan terlebih dahulu di mini teater. Kemudian, kita asingkan mereka secara berpasangan dan bawa ke lokasi hotspot di dalam Kellie's Castle untuk mereka tidur di atas sleeping bag yang kami sediakan. Jika bertuah, mereka akan merasai kehadiran entiti mistik.

"Keesokkan paginya, semua peserta dikumpulkan di mini teater. Masing-masing boleh ceritakan pengalaman mereka sambil sarapan dan sangatlah baik, jika ada antara peserta dapat rakam kejadian mistik yang mereka alami," katanya.

Zamari berkata, pihaknya berterima kasih kepada Tourism Perak yang banyak menganjurkan program Perak Travel Fair melibatkan operator pelancongan menerusi inisiatif Perak Sejahtera 2030 bagi terus mempromosi Kellie's Castle kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

"Terbaru diadakan di NU Sentral, Kuala Lumpur pada 14 hingga 16 Julai lalu sempena Majlis Prapelancaran Tahun Melawat Perak 2024 dan ternyata orang ramai khususnya pelancong asing dapat pendedahan mengenai kewujudan Kellie's Castle dan produk pelancongan ditawarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 7:01 AM