PESERTA konvoi bergambar di hadapan Kelly’s Castle.
PESERTA konvoi bergambar di hadapan Kelly’s Castle.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Susunan 80 topi keledar termasuk 58 peserta membentuk perkataan ‘Daulat Tuanku’ menjadikan Perak International Bike Week Volume 1 (PIBW 2017) yang diadakan serentak Hari Keputeraan Sultan Perak ke-61 dianggap sebagai unik.

Program selama tiga hari itu berjaya mengumpulkan ratusan peminat motosikal tempatan selain dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei.

Lebih menarik, program anjuran Kelab Bikers Perak (Apps Bikers) bersama 10 kelab motosikal lain yang mendapat kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Perak menampilkan kelainan apabila peserta turut meraikan Hari Keputeraan Sultan Nazrin Muizuddin Shah.

Pengerusi Program PIBW 2017, Azmi Hashim berkata, program perhimpunan peminat motosikal itu diadakan di Bulatan Aman Jaya, Meru, sempena Tahun Melawat Perak 2017 dan mendapat sambutan luar biasa apabila kehadiran pengunjung mencecah 25,000 orang.

SEBAHAGIAN motosikal Harley-Davidson yang hadir di PIBW 2017.
SEBAHAGIAN motosikal Harley-Davidson yang hadir di PIBW 2017.

“Ini adalah penganjuran pertama bertemakan ‘Revolusi Dunia Permotoran’ dan kami anak jati Perak dari Apps Bikers bangga dapat menzahirkan ketaatan kepada Sultan Perak sempena hari keputeraan baginda pada 3 November lalu.

“Selain itu, program ini adalah platform terbaik untuk belia menonjolkan bakat dalam bidang permotoran secara berhemah, pada masa sama mencungkil bakat muda seperti anak jati Kampung Gajah, Perak, Khairul Idham Pawi yang mengharumkan nama negara dalam perlumbaan Moto GP.

“Secara tidak langsung, program ini turut membantu mempromosi sektor pelancongan tempatan kerana turut dihadiri pemilik motosikal dari luar negara,” katanya.

Azmi berkata, PIBW 2017 dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Tambah Azmi, objektif utama program adalah untuk mengeratkan ukhwah dalam kalangan peserta sama ada dari dalam atau luar negara.

TOPI keledar membentuk perkataan Daulat Tuanku.
TOPI keledar membentuk perkataan Daulat Tuanku.

“Antara aktiviti dianjurkan ialah slot belia Masjid Negeri Perak, pertandingan motosikal, lintas hormat dan persembahan bermotosikal daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta konvoi ke Kelly’s Castle, Batu Gajah dan Kompleks Silveritage, Ipoh.

“Program turut dimeriahkan dengan karaoke dan persembahan kebudayaan yang menampilkan tarian India, Cina dan tarian Sewang daripada masyarakat Orang Asli.

“Bagi menambah kemeriahan dan menggamatkan suasana, tujuh selebriti Yabang (Khalifah), Dwan (Olan), Afee (U-Topia), Ali (Lela), Zack (Massa), Nik (Putra) dan Kensolo (Auraindrapatih) turut menyampaikan lagu nostalgia era zaman kegemilangan mereka,” katanya.

Terdahulu, PIBW 2017 turut dimeriahkan dengan 15 ruang pameran daripada JPJ, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Tourism Perak, Lost World of Tambun, Perak FM serta Motac.

Selain itu, sebanyak 125 gerai menjual pelbagai produk berkaitan permotoran, jualan makanan daripada 20 kenderaan saji (food truck)selain kemudahan surau disediakan Belia Masjid Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 1:02 AM