HONDA CR-V generasi keenam.
HONDA CR-V generasi keenam.
Muhamaad Razis Ismail


(Yang ke Thailand baru-baru ini untuk sesi pandu uji teaser media Honda)

Baru-baru ini Honda Malaysia secara rasmi membuka tempahan bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) yang ditunggu-tunggu, 'Comfortable Runabout Vehicle' (CR-V) generasi keenam serba baharu di semua 101 pengedar seluruh negara.

Pelancaran CR-V serba baharu yang dijadualkan Disember ini membolehkan Honda Malaysia menutup 2023 dengan nota memberangsangkan.

Pada hari sama, penulis bersama beberapa rakan media dari Malaysia diterbangkan ke Chiang Mai, Thailand untuk melihat CR-V generasi keenam ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.0L e:HEV dan Turbo 1.5L VTEC.

Pada hari pertama, penulis diberi peluang memandu uji CR-V enjin Turbo 1.5L VTEC berwarna Lunar Silver Metallic untuk ke Chiang Rai membabitkan perjalanan sejauh 240 kilometer.

Pertama kali melihat CR-V enjin Turbo 1.5L VTEC ternyata Honda berjaya menampilkan kelainan untuk keluaran CR-V generasi keenam kali ini.

Apa tidaknya, keseluruhan reka bentuk luaran kenderaan ini nampak lebih tegap, berkotak dan 'sporty' berbanding generasi terdahulu.

Kombinasi gril depan dengan corak 'mesh' dan bukaan bampar lebih lebar yang dipadankan dengan lampu depan LED yang lebih langsing menjadikan CR-V model ini nampak lebih premium. Di bahagian belakang pula, reka bentuk lampu yang unik dapat menyerlahkan karakter kenderaan ini di jalanan.

CR-V serba baharu didatangkan dengan pemegang pintu yang anggun dengan roda aloi bersaiz 18 inci 'Berlina Black' yang menonjolkan penampilan lebih moden.

Daripada luar, model CR-V ini kelihatan kecil namun sebenarnya saiznya lebih panjang iaitu 68 milimeter (mm) dan lebih lebar iaitu 10 mm.

Sebaik melangkah masuk, rata-rata rakan penulis mempunyai pendapat sama iaitu ruang dalaman kenderaan ini yang luas dan tidak jauh beza dengan Honda Civic termasuk penggunaan corong pendingin hawa seperti sarang lebah dan tombol boleh laras.

Bagaimanapun, tambahan kemasan kayu di papan pemuka dan kulit pintu menyerlahkan ciri premium dan elegan di bahagian dalam.

RUANG dalam yang nampak lebih ‘sporty’.
RUANG dalam yang nampak lebih ‘sporty’.

ENJIN turbo 1.5L VTEC turbo.
ENJIN turbo 1.5L VTEC turbo.

PENGENDALIAN yang cukup stabil dan tidak menghampakan di jalan berselekoh.
PENGENDALIAN yang cukup stabil dan tidak menghampakan di jalan berselekoh.

Di ruangan kokpit, meter kelajuan menggunakan digital sepenuhnya dan sistem infotainmen dengan resolusi paparan lebih jelas. Ciri stereng balutan kulit mempunyai pelbagai butang untuk audio serta Kawalan Pelayaran Adaptif, serta padel penukaran gear di belakangnya memudahkan pengguna ketika pemanduan.

Secara peribadi penulis amat menyukai fungsi memori tempat duduk pemandu untuk memberi keselesaan terutama perlu menempuh perjalanan yang jauh. Biarpun pertama kali memandu, penulis dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

Pada masa yang sama, keselesaan penumpang turut tidak diabaikan. Ruang kelegaan kaki dan kepala lebih luas disediakan dengan dilengkapi corong pendingin hawa di bahagian belakang serta pengecas gajet. Paling menarik, kerusi penumpang di bahagian belakang juga boleh dilaras.

Ruang bonet belakang yang luas boleh memuatkan empat beg bagasi yang dapat memenuhi keperluan penumpang yang ramai.

Penulis menyukai ciri-ciri keselamatan disediakan termasuk sistem kamera multi-view dengan pandangan 360 darjah, sistem Honda Sensing yang ditingkatkan dengan radar dan kamera wide-angle dan sensor sonar untuk kawalan brek pada kelajuan rendah.

Daripada segi prestasi, kenderaan dikuasakan dengan enjin turbo 1.5L VTEC ini mampu memberi kuasa maksimum 193 PS dan tork tertinggi 243Nm dengan respons pecutan yang dipertingkatkan.

Menariknya, CVT generasi baharu untuk enjin ini juga ditambahbaik penalaan enjin dan memastikan pemanduan yang lebih lancar.

Ketika memandu terutama di laluan berbukit dan memotong kenderaan lain, penulis dapat merasai kuasa memecut kenderaan yang lebih lancar dan ringan.

Bagi yang suka 'layan' laluan berselekoh, kenderaan ini sesuai untuk anda kerana pengendaliannya cukup stabil dan tidak menghampakan.

Secara keseluruhan, CR-V generasi keenam ini membuktikan kemampuan Honda dalam menghasilkan model SUV kenderaan bukan nasional yang serba lengkap daripada segi penampilan, prestasi dan keselesaan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 6:43 AM