SESUAI untuk tunggangan jalanan atau litar.
SESUAI untuk tunggangan jalanan atau litar.
Lizam Ridzuan


BUAT pertama kalinya Ducati memperkenalkan jentera Supermotard satu silinder menerusi model Hypermotard 698 Mono yang dilancarkan untuk pasaran global baru-baru ini.

Ia motosikal yang tangkas sesuai buat mereka yang gemarkan gaya tunggangan Supermotard dengan ciri signatur jenama itu.

Model ini dikuasakan dengan enjin 659cc Superquadro Mono menjana kuasa 77.5 kuasa kuda (hp) pada 9,750rpm dan tork 63Nm pada 8,050rpm.

Jentera ini paling berkuasa pernah dihasilkan untuk motosikal dengan satu silinder dan sekiranya dipasang dengan ekzos perlumbaan Termignoni tambahan sebanyak 7hp dapat dihamburkan serta tujahan meningkat sebanyak 4Nm.

Motosikal ini juga dipadankan dengan kotak gear 6 kelajuan serta dilengkapi Ducati Quick Shift (DQS).

Untuk rekaannya kekal dengan gaya asas Ducati seperti rekaan pelana rata, mudguard tinggi dan bahagian ekor tajam yang menyerlahkan gaya agresifnya.

Selain itu model ini dipadankan dengan rim aloi rekaan Y serta gaya unik ekzos berkembar terletak pada bahagian atas ekor motosikal serta lampu hadapan dengan fungsi lampu nyalaan siang (DRL) bentuk C berkembar memudahkan ia dikenali dari jauh.

METER LCD digital sepenuhnya.
METER LCD digital sepenuhnya.

Tampil lebih menyerlah dengan corak menarik gaya grafiti yang dihasilkan menggunakan pelekat air bagi kemasan lebih halus dan terbaik yang diinspirasikan seni jalanan.

Hypermotard 698 Mono juga dengan ciri elektronik yang lengkap seperti yang terdapat pada model Panigale V4 dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Selekoh, Kawalan Cengkaman, Kawalan Wheelie dan Kawalan Brek Enjin.

Ia juga dengan angkup brek Brembo M4.32 serta brek cakera hadapan 330 milimeter (mm) dan belakang 240mm, lengan hayun berkembar ringan dan penyerap hentakan belakang boleh laras dan fork hadapan Marzhocchi .

Posisi menunggang direka untuk menawarkan pengendalian maksimum gaya sporty untuk keselesaan sama ada di atas jalan raya atau ingin mencecah lutut ketika di litar.

ENJIN satu silinder paling berkuasa.
ENJIN satu silinder paling berkuasa.

Model ini akan berada dalam pasaran bermula Januari 2024 dalam pilihan warna Merah Ducati dengan kerangka powder-coated atau versi RVE dengan corak grafik, kerangka hitam dan DQS sebagai ciri standard.

Ciri lain dengan empat mod tunggangan iaitu Sport, Road, urban dan Wet serta Mod enjin (3 peringkat), meter LCD 3.8 inci digital dengan indikasi tukaran gear ketika sudah mencapai tahap ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 7:01 AM