REKAAN ergonomik dengan kerangka monocoque.
REKAAN ergonomik dengan kerangka monocoque.
Lizam Ridzuan


Mengambil nama sebuah pekan kecil Borgo Panigale di Itali, Ducati 959 Panigale mula diperkenalkan ke pasaran tempatan tahun lalu sebagai kesinambungan legasi model 899 Panigale yang dikeluarkan sejak 2013.

Rekaan keseluruhan menampilkan gaya dengan lampu hadapan LED sebagai ciri signatur dan fairing hadapan berfungsi sebagai perlindungan serta aerodinamik selain pada masa sama menyalurkan udara ke ruang enjin.

Bahagian belakang dengan rekaan lampu berbentuk X jelas kelihatan dan tampil menarik dengan lubang udara bawah tempat duduk dilihat lebih agresif.

Kerangka aluminium monocoque dengan tangki bahan api 17 liter direka secara ergonomik menjadikan posisi penunggang berada dalam keadaan selesa sama ada di jalan raya atau litar lumba.

SUSPENSI belakang boleh laras.
SUSPENSI belakang boleh laras.

Ducati 959 Panigale dijana enjin 955cc silinder berkembar-L Superquadro sejukan cecair yang menawarkan gaya dan karakter seakan-akan jentera perlumbaan.

Memiliki 150 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 102Nm menghasilkan tindak balas responsif sebaik pendikit dipulas dengan kotak gear enam kelajuan Ducati Quick Shift (DQS).

Kedudukan pelana 830 milimeter (mm) sesuai untuk kelajuan tinggi dan berat kering jentera sekitar 176 kilogram (kg) antara yang ringan dalam segmennya.

Jentera ini dipasangkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Bosch bersama angkup Brembo M4.32 untuk jarak membrek lebih pendek dan stabil ketika keadaan jalan raya basah atau kering.

Papan pemuka LCD teknologi Ducati Corse digunakan dalam siri perlumbaan Superbike Dunia dan MotoGP memaparkan kelajuan, suhu, rpm, waktu, trip, odometer dan mod tunggangan.

BREK hadapan dengan ABS serta angkup Brembo.
BREK hadapan dengan ABS serta angkup Brembo.

Jentera ini juga didatangkan dengan sistem Kawalan Brek Enjin (EBC) dan Kawalan Cengkaman Ducati (DTC) yang mengawal roda belakang daripada gelinciran bagi disesuaikan dengan tiga mod tunggangan seperti Race, Sport dan Wet.

Secara keseluruhan, Ducati 959 Panigale adalah ‘entry model’ untuk model Superbike Ducati seperti 1299 Panigale R dan V4

yang menawarkan jentera DNA perlumbaan pasukan Ducati.

Untuk pasaran tempatan, Ducati 959 Panigale adalah import sepenuhnya (CBU) dengan harga jualan bermula RM100,899 termasuk GST dengan dua tahun waranti tanpa had perbatuan.

DUCATI 959 PANIGALE

• ENJIN: 955cc Superquadro silnder berkembar-L

• KUASA MAKSIMUM: 150hp pada 10,500rpm

• TORK MAKSIMUM: 102Nm pada 9,000rpm

• TRANSMISI: Enam kelajuan dengan DQS

• KAPASITI BAHAN API: 17 liter

• CIRI KESELAMATAN: DTC, EBC, ABS

• HARGA: RM100,899 termasuk GST (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 12:44 AM