SUV kompak pertama Maserati.
SUV kompak pertama Maserati.
Lizam Ridzuan


SELEPAS pengenalan super sport car sulung untuk Maserati iaitu MC20, Grecale pula memasuki pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, juga yang pertama untuk jenama Itali itu.

Bersempena sesi 'Malaysia Premier' model Maserati Grecale Serba Baharu yang diadakan baru-baru ini di Malaysia, Vroom berkesempatan bertemu dengan Pengurus Besar Maserati Australia, Asean dan India Bojan Jankulovski.

Beliau berkata, segmen itu julung kali ditawarkan oleh Maserati.

"Grecale mempunyai ciri rekaan unik pada bahagian luaran, dalaman serta versatil, terutama pada kerusi belakang yang praktikal dan selesa dengan ruang kaki yang paling luas dalam segmennya.

"Kapasiti butnya ialah 570 liter, bahagian kabinnya dilengkapi kemasan kulit malah sistem infotainmennya yang bersaiz 12.3 inci dipadankan dengan sistem pembesar suara 3D Sonus Faber," katanya.

Grecale ditawarkan menerusi tiga varian iaitu GT, Modena dan Trofeo.

Gt dan Modena dikuasakan enjin 1,995cc mild hibrid manakala Trofeo pula dengan enjin 3,000cc Turbo Berkembar V6.

BOJAN (kiri), Hamdan (tengah) dan Farid ketika majlis pengenalan Grecale.
BOJAN (kiri), Hamdan (tengah) dan Farid ketika majlis pengenalan Grecale.

Bojan berkata, model Gracale bakal menjadi SUV elektrik (EV) pertama untuk Maserati yang disasarkan untuk kelompok pembeli yang gemarkan limpahan teknologi terkini.

"Kami akan mulakan segmen EV dengan pengenalan model GranTurismo terlebih dahulu dan pada 2023, Grecale EV bakal menjengah pasaran.

"Pada 2025, kami akan melengkapkan penawaran model EV Maserati untuk pasaran dan pada 2030, tiada lagi model enjin bahan api dikeluarkan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Naza Italia-Maserati Farid Sulaiman berkata, pasaran EV bakal menjadi penawaran utama kenderaan di dunia dan tidak terkecuali, kenderaan mewah.

VARIAN Trofeo dengan enjin 3.0 liter V6 Turbo Berkembar.
VARIAN Trofeo dengan enjin 3.0 liter V6 Turbo Berkembar.

"Jika segala infrastruktur semakin lengkap, kami melihat EV juga bakal menjadi pilihan utama pelanggan, seiring dengan peredaran perkembangan teknologi semasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata, pembeli pasaran kenderaan mewah sememangnya sentiasa mengikuti perkembangan terkini jenama mewah seperti Maserati.

"Meskipun belum dilancarkan secara rasmi, kami sudah mula mendapat tempahan model Gracale kerana SUV ini sesuai bagi kegunaan urban serta gaya hidup," katanya.

Malaysia adalah negara Asean pertama memperkenalkan model Maserati Grecale.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 7:00 AM