ZAFRUL (empat kanan) bersama  Isabel (lima kanan) dan Timbalan Ketua Misi Duta Amerika ke Malaysia, Manu Bhalla (dua kiri) melancarkan pembukaan pejabat baru Tesla Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad
ZAFRUL (empat kanan) bersama Isabel (lima kanan) dan Timbalan Ketua Misi Duta Amerika ke Malaysia, Manu Bhalla (dua kiri) melancarkan pembukaan pejabat baru Tesla Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad
Lizam Ridzuan


Cyberjaya: Tesla Malaysia, hari ini, secara rasminya membuka ibu pejabatnya di negara ini, yang terletak di sini, sekali gus berperanan sebagai pusat sehenti jenama itu.

Pengarah Serantau Tesla, Isabel Fan berkata, bangunan berkeluasan 55,000 kaki persegi itu turut memuatkan pusat pameran, jualan dan penghantaran kereta pelanggan, ruang kerja, sistem pengecas super bagi kegunaan dalaman dan pusat servis.

"Proses selama dua bulan diambil bagi menyiapkan pusat ini yang kini sudah mempunyai lebih 30 kakitangan, pusat servis bakal dibuka pada hujung tahun bagi melengkapi keseluruhan keperluan jenama Tesla di negara ini," katanya.

Melalui majlis sama, Tesla mengumumkan model 3 akan akan mula dihantar kepada pelanggan pada hujung tahun ini dan model Y, pada awal tahun depan.

Model 3 yang bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi ditawarkan pada harga bermula RM189,000 untuk varian pacuan roda belakang (RWD).

Model Y sebagai model crossover dijual pada harga bermula RM199,000 (RWD) dan sudah dilancarkan di Kuala Lumpur, pada Julai lalu.

Perasmiannya ibu pejabat Tesla itu disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz,

Terdahulu, Zafrul menerusi ucapannya berkata, pembukaan ibu pejabat Tesla ini bukan sahaja sebagai lembaran baharu jenama itu di negara ini, malah ia juga meluaskan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia yang mana proses itu sudah dimulakan sejak Mac lalu.

"Ini juga selari dengan komitmen dan usaha kerajaan dalam meluaskan lagi proses kemampanan dan kelestarian alam sekitar menerusi skim Peneraju Global Battery Electric Vechicle (BEV)," katanya.

Beliau berkata, ia bukan sahaja syarikat sebagai proses jual beli kenderaan, malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, selain menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat di Malaysia.

Selain itu katanya, kerajaan juga kekal komited menyasarkan 15 peratus daripada Jualan Kenderaan Keseluruhan (TIV) pada 2030 adalah EV, sebelum disasarkan kepada 38 peratus (2040) dan 80 peratus (2050).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 4:07 PM