KONVOI membabitkan 70 motosikal.
KONVOI membabitkan 70 motosikal.
vroom

Kerjasama membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam menyemarakkan kebudayaan setempat disemarakkan melalui Program Kembara NGO Seni Budaya 2022 baru-baru ini.

Program bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan Majlis Teater Negeri Selangor ini juga mendapat kerjasama Kelab Sukan DBKL, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Kerajaan Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Konvoi ini membabitkan lebih 70 penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan merentasi lima negeri daripada kelab yang aktif dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bermula di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, konvoi bergerak ke Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sebelum berakhir di Matic, Kuala Lumpur.

Objektif utama program adalah bagi mempromosikan seni budaya selain mengeratkan lagi hubungan antara jabatan, kelab motosikal dan komuniti setempat.

Antara pengisian program ialah penyerahan sumbangan rebana keras dan keperluan bagi Rumah Anak Yatim dan Miskin Sultan Salahuddin Abd Azizi Shah Al Haj, Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka.

Selain itu, aktiviti seni seperti persembahan muzik tradisional ghazal, rebana keras, teromba, bongai dan tarian tradisional juga dipertontonkan kepada peserta.

Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan bersama penduduk kampung serta meraikan anak-anak istimewa di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cahaya Murni, Port Dickson, Negeri Sembilan turut diadakan.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Kebudayaan dan Kesenian JKKN yang mewakili Ketua Pengarah JKKN, Rosnan Nordin berkata, Program Kembara NGO Seni Budaya ini adalah inisiatif JKKN untuk terus menyemarakkan aktiviti seni budaya dan program CSR bersama peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi.

"Ia juga dapat mempromosikan tempat menarik dan mengukuhkan kerjasama antara jabatan bersama NGO serta penggiat seni budaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 11:35 AM