GAYA vintaj dan lasak.
GAYA vintaj dan lasak.
Lizam Ridzuan


SELEPAS didedahkan kepada umum pada 2019, motosikal pengembaraan lasak Ducati DesertX Serba Baharu menerima maklum balas memberangsangkan daripada peminat.

Bukan sahaja rekaan yang unik, minimalis dan menarik, ia turut menawarkan pengendalian yang mantap untuk pelbagai permukaan jalan.

Untuk pasaran Malaysia, ia sudah pun menerjah ke pasaran baru-baru ini dengan 20 unit tempahan pertama sudah habis dijual.

Ia tampil menarik dengan rekaan berkonsepkan Enduro dan rali 80-an yang diperkemaskan kemasan oleh Ducati Centro Stile.

Lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk bulat, rekaan pelindung angin yang bersepadu dengan fairing menambah serta menyerlahkan gaya rangginya.

Ia juga datang dengan meter TFT bersaiz 5 inci yang dihubungkan dengan Sistem Multimedia Ducati untuk mod maklumatm, sama ada standard atau rali.

Tangki bahan api 21 liter dengan opsyen tambahan lapan liter sesuai untuk mereka yang melakukan perjalanan jauh atau ke lokasi terasing yang jauh daripada stesen minyak.

Jentera ini dikuasakan dengan enjin 937cc Testastretta 11∞ Desmodromic sejukan cecair.

Enjin ini mampu menjana 110 kuasa kuda (hp) pada 9,250 rpm dan tork 92Nm pada 6,500 rpm serta mematuhi peraturan emisi Euro 5.

Bagi memenuhi keperluan menempuh pelbagai permukaan jalan, DesertX dilengkapi enam mod tunggangan dengan empat mod kuasa (Full, High Medium, Low) menerusi Sport, Touring, Urban, Wet dan ciri baharu utama Enduro dan Rally.

Terdapat pelbagai fungsi kawalan elektronik seperti Kawalan Brek Enjin (EBC), Kawalan Cengkaman Ducati (DTC) dan Kawalan Wheelie Ducati (DWC).

Jentera seberat 202 kilogram ini didatangkan dengan tayar tanpa tiub Pirelli Scorpion Rally STR dengan rim jejari depan 21 inci dan belakang 18 inci.

Untuk pasaran Malaysia, Ducati DesertX 2022 dijual pada harga RM112,900 (atas jalan tanpa insurans) dengan dua tahun jaminan pengeluar.

Ia boleh dibeli menerusi penawaran Ducati Corse Credit dengan pembiayaan lebih fleksibel dan kadar faedah serendah 4.88 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 8:16 PM