Model terbaru Perodua Ativa Hibirid ketika majlis Langganan Perodua Ativa Hybrid di Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Model terbaru Perodua Ativa Hibirid ketika majlis Langganan Perodua Ativa Hybrid di Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) memperkenalkan model hibrid pertama mereka menerusi Ativa Hibrid.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, buat masa ini, model itu terhad kepada 300 pelanggan korporat di lokasi utama seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

"Ia juga sebagai kajian yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu untuk memahami tingkah laku pemanduan berkumpulan kenderaan hibrid,"

"Tujuan lain ialah memahami penerimaan pengguna terhadap perkhidmatan 'langganan' lima tahun yang kami tawarkan kepada pelanggan korporat di bawah EZ MOBi," katanya ketika Majlis Langganan Perodua Ativa Hybrid itu di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Lokman Hakim Ali; Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Pengerusi Daihatsu, Sunao Matsubayashi.

Perodua Ativa Hibrid menggunakan sistem 'hibrid bersiri' di mana set motor elektrik menggerakkan roda kenderaan, manakala enjin bertindak sebagai penjana kuasa untuk mengecas enjin menggunakan enjin 1.2L (WA-VEX).

"Perodua Ativa Hibrid adalah kenderaan terbaik untuk kami mendapatkan pandangan unik tentang tingkah laku rakyat Malaysia sebagai kumpulan terkawal, kerana ia akan digunakan untuk mengenal pasti keperluan pelanggan kami apabila menggunakan kenderaan elektrik," katanya.

Menerusi teknologi ini, Sistem Bersiri Perodua Ativa Hybrid mampu mencapai jarak sejauh 31.3 kilometer seliter (berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia).

"Walaupun kami percaya bahawa pemilikan kenderaan masih lagi menjadi perniagaan utama, ada kemungkinan perniagaan langganan kenderaan ini diterima oleh lebih ramai pengguna dalam masa terdekat.

"Inilah yang kami maksudkan dengan 'langganan' adalah satu perkhidmatan yang mana semua keperluan lain untuk memiliki kenderaan seperti jadual penyelenggaraan, membayar insurans kenderaan dan cukai jalan semua akan diuruskan sepenuhnya oleh Perodua dan pelanggan hanya perlu membayar yuran langganan untuk menikmati pakej berkenaan," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Perodua sememangnya mempunyai perkhidmatan langganan sedia ada yang diuruskan di bawah EZ MOBi, tetapi buat masa ini, perkhidmatan langganan hanya untuk syarikat dan bukan individu.

Perkhidmatan EZ MOBi Perodua mula diperkenalkan pada Januari 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 7:16 PM