SEBAHAGIAN ahli kelab yang menyertai konvoi santai di Taiping baru-baru ini.
SEBAHAGIAN ahli kelab yang menyertai konvoi santai di Taiping baru-baru ini.
Teks dan foto Shaiful Shahrin

Ahmad

KUMPULAN mat motor kerap diberi gelaran negatif oleh segelintir anggota masyarakat antaranya dengan jolokan mat rempit.

Namun, sebenarnya, mereka juga berjiwa besar terutama dalam menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan termasuk menjalankan aktiviti keagamaan.

Perkara itu dibuktikan Semut Taiping Rain Town apabila kelab yang ditubuhkan sejak 1984 ini aktif membantu golongan dan ahli yang kurang bernasib baik atau ditimpa bencana.

Presidennya, Shaharim Ariffin berkata, penubuhan kelab ini adalah untuk menyatukan semua mat motor di Taiping di bawah satu bumbung bagi mengeratkan ukhuwah selain membimbing pelapis muda agar lebih berhemah dan tidak terjebak dalam aktiviti tak bermoral.

Menurutnya, susulan sambutan menggalakkan, kelab terbabit sering melakukan 'Ride Amal@Santai' ke pelbagai destinasi sambil membantu pihak memerlukan.

"Setiap kali berkonvoi, kami akan mengadakan kutipan dana dalam kalangan ahli kelab dan menyalurkan sumbangan kepada penduduk di sesuatu kawasan yang penduduknya kurang berkemampuan.

"Dalam konvoi terbaharu, kami berjaya mengumpul RM4,100 dan wang itu kami serah kepada sebuah surau di Tupai, Taiping yang dalam pembinaan," katanya.

HONDA MBX antara motor era 80-an yang menjadi tarikan dalam konvoi santai.
HONDA MBX antara motor era 80-an yang menjadi tarikan dalam konvoi santai.

Menurutnya, sebelum ini, mereka juga berpeluang membantu dua ahli kelab yang kehilangan sumber

pendapatan dan seorang ahli yang sakit serta tidak mampu untuk bekerja.

"Memandangkan lebih separuh daripada ahli kelab sudah berusia, kini kami sedang membimbing generasi muda sebagai pelapis untuk meneruskan aktiviti kelab.

"Menerusi aktiviti sebegini, ia mungkin dapat mengubah persepsi orang ramai terhadap golongan bermotosikal khususnya anak muda dan kami hendak buktikan bukan semua mat motor itu kaki rempit atau sampah masyarakat," katanya.

Sementara itu, Ketua Marsyal Anuar Mamola berkata, kebanyakan motosikal yang menyertai kelab berkenaan adalah motosikal keluaran era 80-an dan 90-an.

Antaranya Suzuki Gamma/Panther, Honda MBX, Honda Rider, Yamaha TZM, RXZ, RXS, Kawasaki Kips dan Victor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 6:45 AM