ANTARA ahli Gabungan Bikers Islam Malaysia yang menyertai karnival di Masjid Al-Munawwarah, Seksyen 27.
ANTARA ahli Gabungan Bikers Islam Malaysia yang menyertai karnival di Masjid Al-Munawwarah, Seksyen 27.

Shah Alam: “Daripada jadi mat rempit dan buang masa, lebih baik ikut kami main motosikal sambil berdakwah,” kata Timbalan Presiden Gabungan Bikers Islam Malaysia Mohd Fauzi Arbain, 51.

Dia yang ditemui di Karnival Geng Masjid di Masjid Al-Munawwarah, Seksyen 27, di sini, kelmarin, berkata, menarik minat anak muda untuk mengimarahkan masjid satu inisiatif persatuannya berdakwah secara santai.

“Ramai orang di luar sana mempunyai anggapan buruk terhadap orang seperti kami. Jadi dengan adanya program seperti ini, kami dapat membuktikan tidak semua geng motor menjurus ke arah negatif.

“Selain mahu memartabatkan dunia permotoran, kami juga ingin mengajak anak muda meminati dunia pemotoran supaya tidak lupa tuntutan agama,” katanya.

Karnival yang bermula Jumaat lalu itu menganjurkan pelbagai aktiviti seperti Qiamullail Perdana, solat Subuh berjemaah, pemeriksaan mata percuma dan sembang santai.

Ia dihadiri selebriti serta pendakwah tanah air seperti Ustaz Don Daniyal, Imam Muda Ashraf, Liyana Jasmay dan Kumpulan Zero.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 5:02 AM