PERSEMBAHAN Qasidah pelajar tahfiz.
PERSEMBAHAN Qasidah pelajar tahfiz.

Program Santai Amal Auto 2016 memfokuskan konsep serampang dua mata kerana ia bukan sekadar pameran serta pertandingan kereta dan motosikal tercantik, tetapi turut membabitkan aktiviti amal meraikan anak yatim dan pelajar sekolah tahfiz.

Program di Dataran Econsave Senawang, Negeri Sembilan, baru-baru ini, meriah apabila menarik kehadiran kira-kira 500 pengunjung termasuk 200 peserta yang menyertai pertandingan kereta dan motosikal tercantik.

Peserta yang hadir bukan saja dari Negeri Sembilan, malah dari Kuala Lumpur, Shah Alam, Bangi selain Melaka dan Johor.

Selain menyaksikan pameran dan pertandingan kereta serta motosikal tercantik, program yang bermula jam 4 petang hingga 10 malam itu turut diserikan dengan persembahan qasidah dan nasyid oleh pelajar tahfiz.

Program anjuran bersama Kelab KW Motorsport (KW Motorsport) dan Econsave.

Sebanyak 12 jenis motosikal pelbagai jenis menyertai pertandingan itu antaranya Honda seperti C70, Fame, Street Cup, EX5, Dash, Wave, Future, Spicy, Hurricane, MBX, Raider, NSR dan CBX.

Kategori kereta pula termasuk Proton Ixora, Wira, Toyota Wish, Perodua Myvi, Kancil dan Nissan.

Pertubuhan Anak Yatim Dradathul Ikhwan Nilai (Dradathul Ikhwan) dan Pusat Tahfiz Al-Quran Al-Ghoniah (Al-Ghoniah) Johol, menjadi tetamu istimewa dalam program berkenaan.

Pengarah program yang juga Pengarah Urusan KW Motorsport Rizalman Mohamed berkata, sebanyak lima kelab motor tempatan selain Kelab Belia 4B Wilayah Persekutuan turut memberikan sokongan.

Beliau berkata, program itu bagi mendekatkan peminat kereta dan motosikal tempatan dengan aktiviti kebajikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 2:42 PM