ARTIS yang terbabit dalam Spark Malaysian Club (Spark). FOTO Mahzir Mat Isa
ARTIS yang terbabit dalam Spark Malaysian Club (Spark). FOTO Mahzir Mat Isa
Ridzuan Abdul Rahman


PEMBABITANNYA dalam filem Remp-it dan Mat Motor membuatkan segelintir pihak memanggil Zul Huzaimy sebagai mat rempit.

Zul, 41, ternyata kurang senang dengan panggilan itu dan bagi membuang tanggapan buruk itu, dia menubuhkan kelab motosikal Spark Malaysian Club (Spark) penghujung tahun lalu.

Zul berkata, Spark bermatlamat menghimpunkan mat motor daripada pelbagai latar belakang dan kini berjaya mengumpulkan lebih 4,000 ahli dari seluruh negara.

“Segelintir mat motor rasa seronok dengan panggilan itu. Begitu juga saya yang mulanya bangga dengan gelaran itu. Tapi lama kelamaan saya rasa ia seperti sindiran dan penghinaan. Ini kerana mat rempit sering dipandang serong dan dikaitkan dengan aktiviti negatif.

“Ini antara sebab saya tubuhkan Spark yang juga nama watak dalam filem Mat Motor dan Remp-it. Yuran tahunan hanya RM10. Sekarang pun ramai yang panggil saya dengan nama ini,” katanya yang juga Presiden Spark.

Menurut Zul, kelab ini adalah bukti bahawa mat motor juga insan yang mempunyai visi dan misi dalam kehidupan seperti orang lain.

“Apabila tubuhkan kelab motosikal, perlu ada pengisian. Jadinya, pelbagai aktiviti bermanfaat dan sihat serta menarik untuk semua ahli disusun. Untuk aktiviti tahun ini, kami juga akan mengadakan ekspedisi jelajah ke seluruh negara.

“Spark juga akan menganjurkan acara All Riders Gathering (ARG) Spark Malaysian Club yang akan berlangsung di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor Bahru pada 2 Mac depan,” katanya.

Selain Zul, Spark turut mendapat sokongan kuat daripada nama-nama besar dalam industri hiburan iaitu Datuk Farid Kamil sebagai Timbalan Presiden serta Cat Farish, Mamat Sepah, Kazar dan Dayana Roza.

PRESIDEN Spark Zul Huzaimy Marzuki. FOTO Mahzir Mat Isa
PRESIDEN Spark Zul Huzaimy Marzuki. FOTO Mahzir Mat Isa

Mengulas aktiviti yang akan dijalankan pada program nanti, Zul berkata, antaranya ialah ‘autoshow’, pameran agensi kerajaan, persembahan aksi lasak motosikal serta konsert yang bakal dijayakan Zamani Slam dan kumpulan Sweet Child.

“Sebenarnya sesi jelajah bersama ahli Spark sudah dijalankan sejak tahun lalu dan antara lokasi yang kami singgah adalah Kedah dan Perak.

“Justeru ARG Spark kali ini diadakan secara besar-besaran sebagai menghargai setiap ahli kelab dan pelbagai aktiviti dirangka agar dapat menarik kehadiran ramai pengunjung.

“Paling penting, banyak manfaat kami tawarkan buat ahli kelab antaranya menyediakan khairat kematian selain pelbagai kursus keusahawanan yang akan diadakan bagi memberi nilai tambah kepada ahli,” katanya.

Dalam pada itu, Spark tidak mengabaikan aktiviti kemasyarakatan apabila melakukan program khidmat sosial kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Selepas ini, kami akan membawa pelajar tahfiz untuk program ‘day out’. Mereka akan dibawa bersiar-siar di sekitar Putrajaya dan KLCC selain meneroka Petrosains dan Aquaria,” katanya.

Sementara itu, Cat Farish berkata, dia menyokong penubuhan Spark bagi membetulkan tanggapan serong masyarakat terhadap mat rempit.

“Zul ajak saya buat kelab motor dan mulanya nak letak nama Kelab Rempit Se-Malaya tapi bunyinya kasar. Akhirnya nama Spark jadi pilihan dan ia dipersetujui semua orang. Saya akhirnya dilantik sebagai ikon Spark negeri Perak.

“Semua ikon dan ahli jawatankuasa ada kekuatan masing-masing. Saya diberi tanggungjawab kendalikan motosikal jenis cub atau ‘kapcai’,” katanya.


AKTIVITI jelajah yang dijalankan oleh kelab ini. FOTO Mahzir Mat Isa
AKTIVITI jelajah yang dijalankan oleh kelab ini. FOTO Mahzir Mat Isa

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 5:30 AM