PROTON X70 2022 Baharu.
PROTON X70 2022 Baharu.
HM Digital

SEJAK memasuki pasaran negara pada 2018, kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 terus menambat hati rakyat Malaysia selain menjadi pendahulu jualan dalam segmennya.

Bermula dengan unit import sepenuhnya (CBU), pada Februari 2020, barisan model pemasangan tempatan (CKD) pula ditawarkan.

Model ini dipasang di kilang Proton di Tanjong Malim, Perak dan ia dilengkapi trenkuasa tujuh kelajuan Transmisi Dwi-Klac (DCT).

Vroom berpeluang menyertai sesi pandu uji Proton X70 2022 Baharu ke Desaru, Johor baru-baru ini bagi menilai keupayaannya yang kini ditawarkan dengan enjin 1.5 TGDi.

Melihat kepada rekaan luaran, tiada perubahan ketara kecuali terdapat kemasan baharu dengan padanan hitam berkilat pada gril dan bingkai perumah lampu kabus.

Corak rekaan rim baharu bersaiz 19 inci juga menambah gaya terkini model ini.

Bagi elemen lain, ia masih dikekalkan seperti lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu belakang LED.

Menjengah ke ruang dalaman, antara pembaharuan ketara ialah pada material kulit Nappa dan lapisan bumbung hitam.

Bahagian lain masih kekal seperti sebelumnya dengan sistem infotainmen dengan keterhubungan telefon pintar serta meter LCD.

VARIAN 1.8L dengan bumbung suria.
VARIAN 1.8L dengan bumbung suria.

RUANG kabin kekal elegan.
RUANG kabin kekal elegan.

KERUSI kulit nappa.
KERUSI kulit nappa.

Ia juga dilengkapi sembilan pembesar suara, enam pengecas USB, kerusi pemandu dan penumpang hadapan larasan elektrik empat ketetapan, dwi zon penyaman udara dengan penapis udara kabin N95.

Paling utama untuk model ini ialah, prestasi enjin 1,477cc 3 silinder selari, 12 injap DOHC pengecas turbo ini mampu menjana 177PS pada 5,500 rpm dan tork 255Nm pada 1,500 hingga 4,000 rpm.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, jika dibandingkan dengan enjin 1.8L TGDi pengecas turbo, perubahan daripada segi prestasi secara asasnya tidak terlalu ketara.

Sekiranya memandu secara pemanduan biasa, daripada segi kuasa, tidak banyak beza malah enjin ini tujuh peratus lebih rendah daripada segi penggunaan bahan api.

Perjalanan dari Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Subang Jaya menuju ke Desaru membabitkan jarak lebih 400 kilometer.

Kami turut singgah di Jelebu, Negeri Sembilan dan Simpang Renggam di Johor.

Ketika pulang dari Desaru, penulis dan tiga rakan sejawat daripada media lain berkongsi Proton X70 ini dan dengan satu isian penuh bahan api 60 liter, ia tiba di COE tanpa perlu pengisian semula.

Pergerakan di lebuh raya juga lancar. Kotak gear tujuh kelajuan DCT ini mengalirkan kuasa dengan baik dan untuk gaya sporty, ia juga dilengkapi mod manual.

Ia juga ditawarkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Sport dan Normal bagi disesuaikan dengan gaya pemanduan.

Sudah pasti mod sport menjadi pilihan penulis bagi menguji keupayaan enjin.

PELEPASAN di COE, Proton.
PELEPASAN di COE, Proton.

GAYA kemasan terkini.
GAYA kemasan terkini.

Penulis dimaklumkan, enjin 1.5TGDi ini dihasilkan oleh lebih 100 pakar enjin selain melalui ujian lebih 12 juta kilometer.

Enjin ini juga merekodkan penjualan lebih 750,000 unit di seluruh dunia serta boleh didapati di 22 negara yang memiliki pelbagai keadaan jalan serta cuaca.

Secara keseluruhan, Proton X70 2022 Baharu ini menawarkan pilihan enjin 1.5L TGDi bagi kelebihan pada prestasi dan penggunaan bahan api.

Meskipun enjin 1.8L TGDi masih lagi ada sebagai varian tertinggi, namun untuk enjin baharu ini yang mula diperkenalkan pada X50, ia bakal dipasang pada model-model baharu Proton yang lain.

Elemen keselamatan turut diutamakan Proton X70 2022 Baharu ini yang dianugerahi penarafan lima bintang untuk Program Pemeriksaan Kenderaan Baharu (NCAP) Asean, enam beg keselamatan SRS, Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), Sistem Pemantauan Tekan Tayar (TPMS) dan kamera 360 dengan paparan 3D.

Ia ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu Putih Snow, Perak Armour, Kelabu Jet, Merah Ruby, Coklat Cinnamon Brown dan Kelabu Space.

Lima varian Proton X70 ditawarkan. Bagi varian 1.5 TGDi Standard 2WD, ia dijual pada harga RM93,900, 1.5 TGDi 2WD (RM105,500), 1.5 TGDi Executive AWD (RM111,300), 1.5 TGDi Premium 2WD (RM117,900) dan 1.8 TGDi Premium 2WD berharga RM121,800.

SPESIFIKASI

Proton X70 Baharu 2022

Enjin: 1,477cc 3 silinder selari, 12 injap DOHC pengecas turbo

Kuasa maksimum: 177PS pada 5,500 rpm

Tork maksimum: 255Nm pada 1,500 hingga 4,000 rpm.

Transmisi: 7 kelajuan DCT.

Kapasiti tangki petrol: 60 liter

Ciri keselamatan: Penarafan 5 bintang untuk Program Pemeriksaan Kenderaan Baharu (NCAP) Asean, enam beg keselamatan SRS, Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), Sistem Pemantauan Tekan Tayar (TPMS), dan kamera 360 dengan paparan 3D.

Harga: 1.5 TGDi Standard 2WD (RM93,900), 1.5 TGDi 2WD (RM105,500), 1.5 TGDi Executive AWD (RM111,300), 1.5 TGDi Premium 2WD (RM117,900) dan 1.8 TGDi Premium 2WD (RM121,800). (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 6:51 AM