MODEL Kawasaki H2 SX.
MODEL Kawasaki H2 SX.
Lizam Ridzuan


PADA 1937, Kawasaki Heavy Industries mengeluarkan motosikal pertama mereka hasil pengalaman menghasilkan enjin kapal terbang.

Model-model ikonik seperti H1, Z1, Ninja dan Ninja H2 (2015) dengan enjin pengecas super antara yang direka dengan prestasi tersendiri.

Rekaan motosikal ini sememangnya tampil berbeza pada zamannya, malah sehingga kini.

Pada 2021, motosikal Kawasaki bernaung di bawah Kawasaki Motors Ltd (KMC).

Anak syarikat Kawasaki ini menumpukan penghasilan dan rekaan motosikal dengan lebih terperinci.

Vroom berpeluang bertemu dengan Unit Rekaan dan Perancangan Produk Kawasaki Motors Ltd (KMC) daripada K-Tech Corporation, yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.

Ia adalah Ketua Kakitangan Kanan, Bahagian Pembangunan Teknologinya, Keishi Fukumoto dan Pengurus Seksyen, Seksyen Perancangan Produk, Bahagian Perancangan Produk Keiichi Morohara.

Menurut Keishi Fukumoto, sebagai pereka, sekitar empat tahun lalu, motosikal Kawasaki mula menggunakan empat konsep asas rekaan iaitu 'Sugomi', 'Fierce', 'Sharp' dan 'Sexy', terutama untuk model Ninja serta Z.

"Sebelum ini,

Kawasaki tiada konsep rekaan tertentu dan kami memulakan konsep ini yang direalisasikan pada model Kawasaki Ninja H2 SX pada 2017.

"Kami mengambil elemen dalam budaya dan persekitaran masyarakat Jepun untuk diadun ke dalam rekaan jentera ini, seterusnya menjadikan ia berprestasi serta bergaya," katanya.

Menurutnya, setiap rekaan direka berdasarkan lain daripada yang lain.

Ini terutama untuk model Ninja, ia dibangunkan sebagai model prestasi.

Setiap sudut dan bentuk, termasuk posisi menunggang dihasilkan untuk fungsi seperti aerodinamik, 'downforce' serta aliran angin lebih baik supaya penunggang tidak berasa bahang enjin.

Untuk model lain seperti Kawasaki Versys sebagai model pengembaraan, ia lebih ditumpukan kepada ciri fungsi yang terdapat pada motosikal untuk lebih praktikal dalam tunggangan.

Keishi Fukumoto menyertai Kawasaki sejak 1988 dan antara sentuhan awalnya ialah pada rekaan Super Sport Kawasaki ZX-9R.

Selain itu, katanya, antara elemen dan konsep rekaan di Malaysia yang menarik minatnya ialah ciri geomatrik yang terdapat pada masjid.

Katanya, ia sesuai diangkat sebagai antara bahasa rekaan yang patut diketengahkan.

Untuk Keiichi Morohara, dia banyak bekerja rapat dengan pasukan perlumbaan yang sebelum ini, dia berada dalam Unit Sukan Permotoran.

"Ketika berkunjung di sini, saya berpeluang menonton perlumbaan Cub Prix dan melihat rekaan model-model moped di Malaysia. Ia semakin maju dengan konsep yang pelbagai.

"Malah, pada pandangan saya, orientasi penunggang di Malaysia ialah sukakan kelajuan maksimum.

"Ia berbeza dengan di Jepun. Perkara ini akan menentukan reka bentuk model yang akan menjadi pilihan ramai," katanya.

Buat masa ini, KMC tidak berhasrat untuk memasuki pasaran motosikal moped di rantau Asia Tenggara dan kekal dengan produk motosikal berkuasa 250cc dan ke atas.

Berkenaan dengan motor elektrik, mereka sedang mendalami, mengkaji serta menguji kesesuaian terutama teknologi bateri dan elektrik motor.

"Ia adalah sesuatu yang baru buat KMC dan sebagai permulaan, kami akan memulakan ia dalam skala motosikal yang kecil sebelum dibangunkan untuk motosikal yang lebih besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 6:55 AM